Pujian ikhlas ini telah dinyatakan oleh Ogy sebaik saja selesainya majlis tayangan perdana filem...Dalam Botol terbitan Pengedaran JAS Sdn Bhd di panggung GSC Signature @The Gardens, Mid Valley, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
"Selama 38 tahun menceburkan diri di dalam industri perfileman tempatan, ini adalah kali pertama saya melihat suatu filem yang amat berbeza sekali. Perbezaan paling ketara pada filem ini terletak kepada penceritaannya yang amat jujur.
"Selain itu, dialog yang dipaparkan juga tidak terikat. Terdapat juga banyak plot-plot yang tidak menipu. Sebelum ini, kalau kita melihat filem-filem yang sudah sedia ada, kebanyakan skripnya seakan-akan menipu atau pun cuba berpura-pura. Seperti dibuat-buat cara bercakap.
"Terus-terang, saya suka dengan cara penyuntingannya. Saya cakap sebegini bukan disebabkan saya adalah sebahagian daripada pelakonnya tetapi apa yang saya katakan ini adalah dari sudut pandangan sebagai seorang yang cukup berpengalaman dalam bidang filem," katanya kepada portal murai.com.my
Dalam waktu yang sama, Ogy juga dengan berani mengatakan bahawa dia amat berbangga untuk menonton filem ini kerana perwatakan yang ada dalam filem berkenaan sukar untuk dicari.
"Saya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan krew filem ini. Saya pun amat berbangga kerana dapat menerima pengarahan dari seorang pengarah filem yang juga bergelar pelakon seperti Khir Rahman. Ini adalah pengalaman yang paling bagus sepanjang saya bergelar pelakon filem.
"Walaupun saya sudah pernah menang beberapa anugerah, tetapi ia tidak bermakna saya ni bagus dari pelbagai sudut. Saya juga manusia dan tidaklah sempurna. Saya juga perlukan seorang pengarah yang betul-betul boleh mengarahkan saya berlakon.
"Saya dapat itu semua dari Khir. Saya juga dapat berbincang dan berhujah dengannya untuk mendapatkan babak yang terbaik. Sebagai contoh sewaktu babak saya nak beritahu Diana Danielle bahawa dia tak jadi kahwin. Kami mencari sesuatu yang menarik dan Alhamdulilllah kami mampu menghasilkan babak sebegitu,"jelasnya.
Tambahnya lagi, babak tersebut merupakan babak yang paling mencabar kreadibiliti sebagai pelakon kerana ianya memerlukan dia menggunakan banyak tenaga serta penghayatan dalaman tanpa banyak menggunakan dialog. Mujurlah juga, Diana yang menjadi pasangannya dapat membantu Ogy untuk memberikan impak yang terbaik pada babak tersebut.
Teks oleh Razif Rosdi
.jpg)
0 ulasan:
Catat Ulasan