MAR Energetic Industries Sdn Bhd (MEISB) dilihat mengambil langkah cukup berani apabila memutuskan untuk menghasilkan filem pertama berjudul Tokak dengan menampilkan pelakon kurang dikenali.

Malah, mereka juga turut mengambil pengarah yang belum teruji kemampuannya di layar lebar, Sabree Fadzil.

Biarpun menyedari risiko yang ditanggungnya bukan kecil, namun penerbitnya yang juga Pengarah Urusan MEISB, Datuk Marina Mahammad tetap bersemangat untuk meneruskan projek itu, sebagaimana dapat disaksikan pada majlis prapelancaran filem berkenaan di Hulu Klang, baru-baru ini.


Filem bergenre seram komedi dengan kos penerbitan lebih RM2 juta itu menjalani penggambaran pertengahan Mac ini.

Walaupun sambutan hangat diberikan penonton kepada filem dalam kategori itu sejak akhir-akhir ini, namun MIESB tidak ghairah dengan keadaan itu, sebaliknya mereka lebih suka mengambil pendekatan menyajikan filem yang mengikut kehendak penonton.

Menurut Marina juga, pelakon dan pengarah dianggap suatu yang subjektif untuk diperkatakan, namun apa yang ingin disajikan ialah produk yang mengikut kehendak penonton masa kini.
“Saya sering melihat pawagam tanah air dihiasi filem yang dilakonkan pelakon popular saja. Ke mana perginya pelakon yang tidak mempunyai nama besar, tetapi berbakat besar dalam bidang itu?

"Jadi saya berasakan, peranan saya adalah untuk mengangkat pelakon yang kurang diberi pendedahan, untuk menjadi antara pelakon utama dalam filem ini, seterusnya bakal menjadi hero dan heroin baru tanah air.

“Mereka bukan saja terikat dengan projek filem ini, malah sebahagian daripada pelakon terbabit juga sudah bersetuju untuk bernaung di bawal label Mar Energetic, sebagai artis saya untuk projek akan datang,” katanya.

Diminta pandangannya berhubung senario kegagalan syarikat baru untuk bertahan selepas menerbitkan hanya sebuah judul, Marina berkata, nasib tidak menyebelahi syarikat terbabit kerana kekurangan mereka dari segi pengurusan.

“Kebiasaannya, syarikat yang bersemangat membuat filem tetapi akhirnya jatuh mungkin disebabkan mereka gagal menguruskan kewangan dengan baik. Lagi satu, mungkin mereka menganggap membuat filem ini seperti makan kacang saja. Bagi saya pula, bukan senang untuk kita menghasilkan filem sekiranya tanpa persediaan mental dan fizikal.

“Saya memberi jaminan segala hal berkaitan kewangan, kebajikan pelakon dan pengarah akan saya selaraskan sendiri. Saya mempunyai tenaga pakar dalam soal kewangan. Saya juga berani untuk mengambil pinjaman Dana Industri Kreatif bernilai RM1.5 juta kerana saya yakin sekiranya disokong promosi yang cukup, industri perfileman boleh menjadi bentuk perniagaan utama hari ini,” katanya.

Mengenai pemilihan Sabree sebagai pengarah, Marina melahirkan keyakinannya pelakon itu mampu melaksanakan tugas diberikan dengan baik.

Katanya, Sabree berjaya mempersembahkan idea menarik sejak awal pertemuan mereka lagi. Bahkan lelaki itu juga mampu membuka mindanya untuk menceburkan diri dalam bidang penerbitan filem.

"Saya juga sudah melihat filem arahannya, Datin Ghairah, yang dihasilkan dengan cukup baik,” katanya.

Antara pelakon yang bakal membintangi filem ini ialah Abon, Joey Daud, Faiz (Raja Lawak 4), Airis Yasmin, Kazar, Keena (Mentor 3), Lana Nordin, Diana Johor dan penampilan khas Julia Ziegler serta Latif Borgiba.

'Bukan filem syok sendiri'

SEMENTARA itu, Sabree yang berpengalaman luas dalam lakonan mengaku peka dengan segala kehendak penonton, justeru dia berani mempertaruhkan genre seram komedi sebagai buah tangan pertama menerusi MEISB.

“Saya sedar dengan kehendak penonton. Mereka bukannya mahukan filem yang berat dan harus memerah otak untuk berfikir. Saya buat filem bukan untuk saya atau untuk syok sendiri, tetapi mengikut kehendak penonton masa kini. Bagi saya, filem seram yang memaparkan hantu kini sudah menjadi satu hiburan keluarga," katanya.

Sabree turut mendedahkan, Tokak dipilih daripada bahasa pasar masyarakat di Kedah, yang bermaksud gigit.

“Saya berharap filem yang sesuai untuk tontonan seisi keluarga ini akan menjadi satu lagi fenomena baru dalam industri, dengan mempertaruhkan pelakon tidak dikenali namun memberi hiburan yang sepenuhnya,” katanya yang akan melakukan penggambaran di sekitar Kemensah, Hulu Klang dan Port Dickson, Negeri Sembilan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top