Borneo Crew yang ditemui selepas program berakhir melahirkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan yang dibuat oleh juri. Menurut kumpulan ini, juri buat keputusan yang salah.
“Kami memang tidak puas hati dengan pihak juri, terutama Maple Loo. Memang dia seorang penari yang berpengalaman dan tahu tentang teknik-teknik tarian, tetapi kami rasa dia tidak tahu atau mengenali B-Boy. Kami rasa tidak dihargai kerana komen-komen yang diberikan banyak negatif daripada positif. Kami telah cuba lakukan yang terbaik untuk terus berada di dalam pertandingan ini tetapi nampaknya kehadiran B-Boy tidak begitu mendapat sambutan di kalangan peminat. Mungkin peminat atau penonton di Malaysia masih tidak faham dengan B-Boy.
Selain itu, kami juga berasa cukup kecewa dengan penonton yang seolah-olah tidak mahu menyokong kru dari Sabah. Buktinya, minggu lepas Dejavu Breakerz tersingkir dan minggu ini giliran kami pula. Kami yakin peminat di Sabah dan Sarawak mengundi untuk kami, cuma peminat di Semenanjung kurang memberi sokongan. Kekurangan SMS inilah yang menyebabkan kami berada di kedudukan empat terbawah. Walau apa pun, kami puas hati dengan persembahan kami sepanjang berada di dalam Showdown 2011,” ujar Abdul Kadir mewakili rakan-rakan yang lain.
Dalam masa yang sama, kumpulan ini juga mengakui terkilan dengan pihak produksi yang bertindak memilih lagu-lagu untuk setiap kru.
“Kami rasa lagu-lagu yang dipilih pada setiap minggu tidak begitu berpihak kepada kumpulan B-Boy. Sebaliknya ia cenderung kepada kumpulan Hip Hop. Jadi, berlaku sedikit ketidakadilan di sini. Pemilihan lagu ini penting kerana ia mempengaruhi teknik dan koreografi kami. Kalau lagu itu tidak bersesuaian, mestilah kami rasa tersekat untuk menghasilkan gerak tari yang boleh memikat juri dan penonton. Perkara ini pernah kami suara kepada penerbit, tetapi dia kata anggap ini sebagai satu cabaran. Memang kami perlu berhadapan dengan cabaran, tetapi biarlah pertandingan ini adil untuk semua,” tambah seorang lagi anggota Borneo Crew, Weskarnain.
Ditanya sama ada Borneo Crew akan kembali pada musim hadapan, kesemua anggota kumpulan ini sebulat suara mengatakan tidak. Jelas mereka ini adalah penyertaan pertama dan terakhir mereka dalam Showdown.
“Cukuplah sekali. Selepas ini kami mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjaya menari kami. Jika tidak ada sebarang halangan, bulan September nanti kami akan buka sebuah studio tarian di Kota Kinabalu, Sabah. Kami akan buka kelas untuk mereka yang berminat untuk mempelajari tarian break dance. Kami yakin studio tarian ini boleh berjaya kerana kami bukan baru dalam bidang ini. Kami sudah sampai ke Korea, Thailand, dan Singapura bagi mempelajari teknik-teknik tarian ini. Kalau ada rezeki, mungkin kami akan buka studio di Kuala Lumpur juga,” tambah Weskarnain lagi.
Kini hanya tinggal lapan kru yang akan meneruskan perjalanan dalam Showdown 2011 bagi merebut gelaran juara sekaligus membawa pulang wang tunai RM50,000. Lapan kru yang akan berentap di pentas pada minggu hadapan ialah Panic, Force 136, Bounce Stepperz, Elecoldxhot, Blazin Squad, HMC Phlow, Rokusteps dan Stepholic.
Tema untuk persembahan minggu hadapan ialah New Kids On The Block Back Street Boys . Seperti minggu-minggu sebelum ini, setiap kru harus menggunakan kreativiti masing-masing untuk memikat penonton dan juri professional.
Showdown 2011 bersiaran secara langsung di saluran televisyen hip, 8TV pada setiap Rabu, jam 9.30 malam. Untuk mengikuti kisah-kisah di sebalik tabir dan mengenali kru-kru yang bertanding, jangan lupa menonton Showdown 2011 Diaries ….. From the Streets yang disiarkan pada setiap Selasa jam 11.30 malam.
~ GUA
0 ulasan:
Catat Ulasan