Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 18 Julai ini keputusan permohonan seorang lelaki untuk menukar namanya dalam MyKad kepada nama wanita selepas menjalani pembedahan tukar jantina, hampir dua tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa menetapkan tarikh tersebut selepas selesai mendengar hujah kedua-dua pihak hari ini berhubung permohonan yang dikemukakan oleh Mohd. Ashraf Hafiz Abdul Aziz, 25.

Mohd. Ashraf yang mengemukakan permohonan untuk menukar namanya kepada Aleesha Farhana Abd. Aziz, hadir dengan berbaju kurung merah putih dan bertudung merah jambu.

Terdahulu, peguam Horley Isaacs yang mewakili pemohon dalam hujahnya menyatakan, Mohd. Ashraf telah melakukan pembedahan menukar jantina di Thailand kira-kira dua tahun lalu setelah disahkan layak dari segi psikologi oleh Pusat Perubatan Pantai (PMC).

Menurut beliau, anak guamnya itu berhasrat menukar nama bagi memudahkannya diterima masuk ke universiti tempatan untuk menyambung pelajaran.

Tambahnya, pemohon yang juga pemegang diploma dalam jurusan berkaitan perubatan itu turut mendapat sokongan penuh daripada ibu bapanya untuk berbuat demikian.

‘‘Sebelum ini, dia (Mohd. Ashraf) pernah bekerja di farmasi, tetapi sukar untuk memakai pakaian lelaki kerana sejak kecil dia lebih cenderung untuk menjadi seorang perempuan disebabkan hormon lelakinya kurang stabil,’’ katanya.

Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan, Adha Abu Bakar yang mewakili Ketua Pengarah Pendaftaran Malaysia pula berhujah, sifat kewanitaan yang ada pada pemohon hanyalah pada luaran dan tidak secara dalaman.

Katanya lagi, sekalipun telah membuat pembedahan, tiada laporan lengkap daripada doktor yang mengesahkan penukaran jantina pemohon berlaku seperti wanita semula jadi.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top