Tindakan Inggeris membicarakan pembesar Perak, Datuk Seri Maharajalela dan Datuk Sagor di mahkamah Inggeris kerana dianggap sebagai pemberontak dan dikenakan hukuman gantung sampai mati menimbulkan kemarahan orang Melayu pada masa itu.
Inggeris mengambil keputusan meminggirkan penduduk di tepi Sungai Perak terutamanya keturunan Datuk Seri Maharajalela dan Datuk Sagor daripada arus pembangunan selepas peristiwa berkenaan, bagaimanapun keadaan berubah apabila negara mencapai kemerdekaan pada 1957.
Peristiwa suka duka keturunan Datuk Seri Maharajalela dan Datuk Sagor turut dilalui moyang, datuk serta nenek bekas Menteri Besar Perak itu, lalu beliau mengambil kesempatan menceritakan sejarah dan sosiobudaya kehidupan sebahagian besar masyarakat Melayu di sekitar Pasir Salak.
Ramli dalam bukunya ini mengisahkan realiti kedaifan masyarakat luar bandar selepas Perang Dunia Kedua dan ia berdasarkan peristiwa benar pada zaman kanak-kanak dan dewasa pengarang, selain turut memaparkan peristiwa sebelumnya yang membabitkan orang penting dalam sejarah.
Kebangkitan menuntut kemerdekaan negara yang bermula dengan Datuk Seri Maharajalela di Pasir Salak dan Datuk Seri Agar DiRaja (Datuk Sagor) di Kampung Gajah dikisahkan melalui cerita yang didengar secara langsung daripada datuk nenek dan moyang beliau.
Beliau yang mengambil masa hampir dua tahun, cuba mengingatkan peristiwa silam dengan mencatatkannya semula, di samping bertanya kepada beberapa individu yang masih hidup terutamanya ahli keluarga terdekat Ramli bagi memastikan bukunya memberi gambaran sebenar peristiwa pada masa itu.
Tujuan utama buku ini ditulis dan diterbitkan adalah untuk memberi peluang kepada generasi muda mengetahui sejarah mahupun sosiobudaya Melayu sebelum serta selepas merdeka sebagai ingatan kerana selama ini semua perkara terbabit banyak ditulis orang luar termasuk penulis Barat dengan sesetengah fakta sengaja ditulis tidak tepat bagi mengaibkan Melayu.
Catatan peristiwa dalam Meniti Zaman ini patut dibaca dan diketahui generasi baru agar jati diri mereka kekal di sanubari masing-masing dan buku ini sewajarnya dibaca pelajar sekolah, guru, pensyarah, penyelidik dan mahasiswa mahupun orang awam bagi menggali sejarah serta sosiobudaya bangsa mereka.
Dengan membaca buku ini, pembaca dapat meningkatkan kefahaman sejarah dan sosiobudaya bangsa Melayu yang hidup pada zaman penjajah Inggeris dan selepas negara mencapai kemerdekaan, selain ia akan merangsang semangat patriotik dan jati diri masingmasing.
Penulis yang juga keturunan Datuk Sagor begitu yakin bahawa generasi akan datang tidak mungkin boleh menolak peristiwa sebenar yang berlaku sebelum mereka dan ia boleh membantu menyelesaikan pertikaian isu tertentu di negara ini.
Dunia penulisan jadi pilihan
TAN SRI Ramli Ngah Talib yang dilahirkan di Pasir Salak, Perak, pada 16 Mac 1941 adalah bekas Menteri Besar Perak dan bekas Speaker Dewan Rakyat.
Anak ketiga daripada lima bersaudara ini menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Pasir Salak, Perak adalah graduan dari Queen University, Belfast.
Beliau mendirikan rumah tangga dengan Raja Puan Sri Datuk Noora Ashikin Raja Abdullah dan dikurniakan empat cahaya mata, kini tidak lagi bergiat aktif dalam politik, banyak menghabiskan masa lapangnya dengan menulis buku sehingga terbit Meniti Zaman.
Buku setebal 320 halaman berbentuk biografi ini memaparkan kehidupan beliau sewaktu kecil, iaitu sejak zaman pendudukan Jepun, penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union sehinggalah kepada pembentukan UMNO.
Selain itu, buku terbabit juga memaparkan amalan dan budaya masyarakat dulu yang sudah tidak diamalkan lagi oleh generasi sekarang yang tentunya menjadi panduan kepada generasi muda hari ini.
INFO
Meniti Zaman - Sebuah Catatan Kenangan oleh Ramli bin Ngah Talib
Pengarang: Tan Sri Ramli Ngah Talib
Penerbit: MPH
Harga: RM69 senaskhah
Bintang: ****
Penilaian Dunia Buku
* Teruk
** Cuba baca dulu
*** Tak rugi baca
**** Patut baca
***** Rugi tak baca

0 ulasan:
Catat Ulasan