akhil hayy
Pengakuan isteri Akil Abdul Hai (Akhil Hayy), Maizawati Zainal mengenai suaminya mempunyai hubungan cinta dengan pelakon, Norwahida Abdul Wahab (Waheeda) turut mengejutkan mereka yang rapat dengan penyanyi nasyid itu.

Seperti yang disiarkan Harian Metro (HM), kelmarin, Maizawati membuat pengakuan bahawa Akhil tidak pulang ke rumah untuk menjenguknya dan enam anak mereka sejak Februari lalu, menyebabkan dia mahu menuntut cerai.

Puas dihubungi bagi mendapatkan penjelasan, penyanyi yang muncul dengan dua album iaitu Nasyid Lagenda II dan Album Zikir Kembara Sufi di bawah syarikat rakaman Inteam Records itu tidak berjawab.

Masalah yang sama turut dihadapi rakannya juga Pengarah Urusan Inteam Records, Izham Mat Shah.

Katanya sewaktu dihubungi, mereka cuba menghubungi Akhil bagi mengetahui perkara sebenar tetapi sehingga kini usahanya itu gagal.

"Secara jujur saya, mahupun kakitangan di Inteam Records tidak mengetahui langsung mengenai perkara itu. Sudah tentu apabila membacanya dalam HM membuatkan kami semua terkejut.

"Memang benar sepanjang berurusan, sesekali Maizawati ada menghubungi saya tetapi biasanya ia membabitkan urusan kerja dan tiada kena-mengena dengan perkara peribadi.

"Biasanya Maizawati akan bertanya mengenai kerja rakaman yang dilakukan Akhil sama ada berjalan lancar atau tidak. Dia juga tidak pernah bertanya mengenai hubungan suaminya dengan Waheeda," katanya.

Bercerita lanjut mengenai usaha Akhil yang mahu membantu Waheeda menerbitkan album nasyid, kata Izham pihaknya tidak mengetahui perkembangan lanjut mengenainya.

"Cuma sebelum ini dia ada berkata mengenai usahanya itu dan meminta kami membantu dari sudut rakaman dan pengedaran.





"Bagaimanapun saya menjelaskan yang Inteam Records tidak menerima artis wanita," katanya.

Izham mengakui apabila berita ini disiarkan, imej ditampilkan Akil selama ini sedikit sebanyak terjejas, lebih-lebih lagi apabila ramai peminat menghubungi Inteam Records dan mempertikaikan tindakannya itu.

Sementara itu Penerbit Cafe Akhil Hayy, Zahrul Alam sewaktu dihubungi menafikan pemilihan Waheeda sebagai pelakon pembantu dengan menjadi isteri Akhil untuk musim baru adalah kehendak penceramah bebas terbabit.

"Sebenarnya ia bukan keputusan individu tetapi membabitkan semua pihak termasuk pengarah dan pihak Astro Oasis sendiri. Sebelum penggambaran dilakukan kami berbincang terlebih dulu bagi melihat kesesuaiannya dengan konsep rancangan," katanya.

Menjelaskan mengenai keserasian 'luar biasa' yang wujud antara Akhil dan Waheeda sepanjang rancangan Cafe Akil Hayy dilakukan, katanya perkara itu tidak berlaku.

"Selaku penerbit saya jarang berada di lokasi, bagaimanapun apabila turun saya nampak hubungan mereka biasa saja. Akhil melayan Waheeda seperti rakan artis lain," katanya.

Menyentuh mengenai jumlah penonton untuk musim baru ini selepas timbul gosip cinta antara Akhil dan Waheeda, kata Zahrul pihaknya menggabungkan mereka berdua dalam satu rancangan bukan kerana mahu menaikkan rating.

"Itu bukanlah tujuan kami. Lagipun sebagai penerbit saya belum menerima laporan membabitkan jumlah penonton untuk musim terbaru.

"Bagaimanapun saya mengharapkan rancangan itu tidak menjadi bahan sensasi selepas timbul isu ini," katanya.

Oleh Rudy Imran Shamsudin

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top