Kalau ditanya siapa penyanyi yang paling popular pada ketika ini, pasti ada yang menyebut namanya. Juara yang diangkat menerusi program realiti Akademi Fantasia (AF) musim kelapan baru-baru ini.


Bintang Shahir berkerlipan dan tak hairanlah jika namanya kini cukup popular dan ditambah pula dengan bakat yang semakin bersinar menjadikan dirinya ditatang bagai minyak yang penuh.

Malah jejaka yang baru menginjak usia 22 tahun itu juga dikatakan mempunyai aura dan bakat besar walaupun tidak sampai tahap mencetuskan tsunami seperti mana yang telah berlaku dalam AF3 yang lalu.

Dalam meniti perjalanan seni yang penuh dengan liku ini, Shahir boleh menarik nafas lega apabila lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan yang dinyanyikan semasa konsert akhir AF8 yang lalu kini sedang rancak dimainkan di stesen-stesen radio.

Malah dia juga berbangga apabila dilantik menjadi Ikon Belia Negeri Perak, negeri kelahirannya baru-baru ini yang juga menjadi satu pengiktirafan buat anak kelahiran Perak seperti dirinya.

Ada yang menganggap pengiktirafan sebegitu terlalu besar buat dirinya jika mahu dibandingkan dengan pencapaian selaku juara program realiti. Tak kurang juga yang menganggap lebih ramai lagi calon yang layak diangkat terutama melibatkan bidang yang lain.

Biar apa pun pandangan orang ramai terhadap dirinya, Shahir tahu apa yang dilakukan dan berharap dapat melaksanakan tanggungjawab yang dipikul sebaik mungkin.

Bersama wartawan Pancaindera SYED MUSSADDAD MAHDI, Shahir meluahkan apa yang terbuku di hatinya ketika ini.

Bagaimana emosinya kini? Masih teruja atau perasaan itu sudah berlalu?

Alhamdulillah, saya cukup bersyukur dengan apa yang telah berlaku dan sebagai manusia biasa saya masih merasakan debaran saat diangkat sebagai juara. Ini merupakan kejutan buat saya dan apa juga yang berlaku kena terima sebaik-baiknya. Banyak perkara yang telah berubah dalam hidup saya sejak keluar AF8.

Apa yang berubah?

Banyak. Rasanya suasana cukup berubah ketika ini. Orang mula memberikan perhatian kepada saya dan masa yang ada juga cukup terhad. Jika dahulu keluar ke mana-mana pun tak ramai yang mengenali, tapi kini saya kena melayan peminat yang tak pernah jemu-jemu menyokong saya. Masa dengan keluarga juga semakin terhad. Tapi saya tak menyesal dengan jalan yang saya pilih, cuma saya kena belajar banyak perkara lagi untuk jadi artis yang hebat.

Bagaimana dengan kehidupan sekarang? Adakah ia sesuatu yang cukup indah atau Shahir masih belum menikmatinya?

Saya tak mahu menjadi manusia yang lupa diri. Bagi saya, Shahir tetap akan menjadi Shahir dan tak ada apa yang berubah kecuali suasananya sahaja. Soal popular atau tidak bukan masalah, apa yang pasti saya mahu sentiasa merendah diri dan menjadi yang terbaik.


Adakah Shahir rasa anda layak dijadikan Ikon Belia Negeri Perak?

Itu rezeki saya. Bagi saya kerajaan negeri Perak nampak apa yang ada dalam diri saya dan sebagai penerima sudah pasti saya menghargai apa yang telah diberikan. Mungkin mereka melihat saya sebagai anak Perak pertama yang berjaya menjadi juara AF dan sudah semestinya program itu sendiri mempunyai pengikut yang ramai. Jadi sebagai ikon mereka, saya hanya menjalankan tanggungjawab saya sebaik mungkin sahaja.

Apa yang sudah Shahir rancang dan apa sumbangan yang akan Shahir berikan kepada golongan belia di Perak?

Sudah pasti saya mahu semua belia mengamalkan cara hidup yang sihat dan tidak terlibat dengan gejala sosial yang semakin menjadi barah dalam masyarakat. Nilai-nilai murni dan cara hidup sihat perlu dijadikan contoh kepada mereka. Semasa menerima anugerah tersebut, Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambri Abdul Kadir ada menyebut belia harus menjauhi 3R. Rempit, ragut dan reput. Jadi sudah menjadi amanah untuk saya menyampaikan mesej kepada belia-belia yang ada supaya menjauhi amalan yang tak sihat.

Sebagai ikon sudah pasti segala-galanya diperhatikan. Tidak boleh melakukan kesilapan yang boleh memakan diri. Sudahkah Shahir bersedia dengan semua itu?

Saya juga manusia biasa yang tak dapat lari dari kesilapan. Jadi jangan meletakkan sasaran yang sebegitu tinggi kepada saya sehingga tidak boleh melakukan kesilapan. Sudah pasti saya sentiasa berdoa kepada Tuhan agar dijauhkan segala perkara yang tak baik dan orang di sekeliling saya juga perlu menegur kesilapan saya. Tegur kesilapan agar saya tidak melakukan lagi pada masa hadapan.

Menjadi juara bukan tiket untuk berjaya. Orang kata cepat naik cepat juga turun sehingga ada yang dibenci. Apa komen Shahir?

Memang benar apa yang dikatakan. Bagi saya setiap orang perlu berusaha untuk terus mencapai kejayaan dan jangan terus terhenti setakat itu sahaja. Jangan sesekali leka dengan kedudukan mereka dan apa yang pasti belajar dan terus belajar untuk jadi yang terbaik. Apa yang telah berlaku sebelum ini cukup memberikan tauladan kepada saya. Saya mahu terus belajar dan memperbaiki segala kekurangan. Bukan saya terlalu mencari kesempurnaan tetapi mahu memperbaiki diri menjadi orang yang berguna.

Apa harapan Shahir?

Sebagai manusia biasa, sudah pasti saya harap dapat menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat. Saya kena tabahkan semangat untuk terus kekal dalam industri muzik yang cukup mencabar ini. Ini hanyalah permulaan dan masih panjang lagi perjalanan saya. Terima kasih kepada mereka yang tak pernah jemu menyokong saya.

2 ulasan:

  1. shahir...i love u...

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum Shahir.Shahir mmg layak juara AF8 sbb package lengkap.Sebelum Shahir grooming kami sokong Adira sbb aura Shahir x nampak ms tu. Selepas konsert lagu Ziana Zain tu mmg terserlah aura n karisma Shahir.Moral: style rambut pendek ala2 rock tu sgt2 sesuai utk Shahir.Sangat2lah hensemmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmnya!Hahaha

    BalasPadam

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top