Kumpulan yang dianggotai Fify Emielia Shazlin Ahmad Murshaidi (penyanyi), Muhammad Shahwalnaz Hussain, Mohammad Syahnaaz Shuib, Muhammad Helmi Shahuddin dan Mohd Firdaus yang menamakan diri mereka One ‘E’ and ‘A’ ini membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 serta hadiah bonus kontrak rakaman dengan label syarikat rakaman E’rama Records.
Mereka yang membawakan lagu Bisikan Asmara nyanyian Datuk Siti Nurhaliza dan lagu ciptaan sendiri, Bukan Milikmu Lagi, menewaskan 10 kumpulan lain yang bertanding iaitu Nastia, Kekabu, Alphabetical Theory, The Crave, Classmate, Malaaiqa Sofea, Burst Of The Messkid, Melody Of Malaya, Green House dan A Dare Morning.
Pertandingan anjuran Suria FM ini diadakan bertujuan mencari bakat baru melalui saluran profesional di kalangan kumpulan band pelajar di institusi pengajian awam dan swasta. Siri pertandingan yang bermula dari bahagian utara iaitu Pulau Pinang pada 29 Januari 2011, berakhir di bahagian selatan tanah air, Johor Bahru pada 5 Februari 2011.
Uji bakat peringkat saingan dan separuh akhir diadakan di Lembah Klang iaitu di Plaza Metro Kajang, pada 6 Februari lalu. Peserta bebas membawakan semua genre muzik dan penyertaan adalah percuma dengan syarat penyertaan memerlukan peserta terdiri daripada pelajar kampus sahaja.
Mengulas kemenangan mereka, Mohd Firdaus selaku ketua kumpulan berkata, usaha gigih serta keserasian menjadi faktor kepada kejayaan yang diraih. Terikat dengan jadual belajar yang ketat memaksa mereka menjalani latihan pada tengah malam.
“Untuk persediaan menghadapi peringkat akhir, kami buat latihan selama seminggu untuk memantapkan persembahan. Selepas diberitahu layak ke akhir, kami mula mencari lagu yang sesuai. Fifi pernah masuk pertandingan One In A Million, jadi itu satu bonus buat kami. Tawaran menjadi artis rakaman pula kami sambut baik. Rasanya kami tiada masalah untuk membahagikan masa dengan pelajaran,” katanya.
Kumpulan yang turut merangkul hadiah persembahan terbaik ini menganggap wang kemenangan yang diraih sangat berbaloi memandangkan mereka mengeluarkan kos sendiri untuk membayar studio ketika latihan. Mereka bercadang menggunakan wang itu bagi membiayai pengajian.
Persembahan mantap dan menarik yang ditunjukkan kumpulan Nastia dari Aswara membolehkan mereka muncul tempat kedua dan menerima wang tunai RM5,000 manakala kumpulan Kekabu juga dari UiTM yang menggubah tempo lagu Seribu Impian nyanyian Casey menjadi lebih menarik, menduduki tempat ketiga dan menerima wang tunai RM3,000.
Kumpulan lain yang berjaya ke peringkat akhir membawa pulang hadiah sagu hati. Hadiah untuk semua peserta disampaikan Timbalan Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Yusry Abu Samah.
Pertandingan akhir ini diadili Suby dari Suria FM, pemuzik handalan Sham Kamizake dan penyanyi popular Nurul Wahab.
Selain juri profesional, keputusan ini juga banyak dibantu undian SMS yang dibuka selama dua minggu menerusi Suria FM sebelum pertandingan akhir berlangsung. Penyanyi Stacy dan kumpulan Pesawat ditampilkan sebagai artis undangan.
Sementara itu, Yusry menyifatkan program ini suatu permulaan yang baik buat Suria FM. Namun dia mahu melihat kekurangan yang ada dan bercadang memperbaikinya lagi pada tahun depan.
“Bukan mudah untuk buat program ini kerana ia pertandingan realiti pertama untuk Suria FM. Bukan sahaja memerlukan komitmen yang tinggi, malah memerlukan perangkaan strategi yang tepat dan betul bagi memastikan segalanya berjalan dengan lancar. SURIASHOWDOWN! adalah pentas untuk mencungkil bakat di kalangan pelajar IPT.
“Saya puas hati kerana ia berakhir dengan berjaya. Janji Suria FM kepada band yang menang, kami akan sedaya upaya membantu menaikkan mereka dan pastinya bakat mereka tidak akan di sia-siakan begitu sahaja kerana mereka yang terbaik di antara yang terbaik,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan