Sohaimi diminati pelbagai usia
Oleh KHADIJAH IBRAHIM
khadijah.ibrahim@utusan.com.my
Gambar ISMAIL KAMADIN
|
Sohaimi tekun melayan pertanyaan peminat menerusi program Jom Chat Bersama Sohaimi Mior Hassan di pejabat Utusan Melayu, Kuala Lumpur, baru-baru ini. |
SIAPA kata penyanyi lama sudah hilang sengatnya? Kalau kena gaya dan lagunya, tidak siapa boleh menafikan penyanyi lama juga punya bisa dan taringnya untuk menepis populariti artis baru dan muda hari ini.
Bukan itu sahaja, malah kalau calang-calang orang memang sukar untuk menundukkan artis yang mempunyai karisma dan para peminatnya yang tersendiri.
Begitulah dengan Sohaimi Mior Hassan, penyanyi evergreen yang telah lama menyepi, tiba-tiba berjaya mencuri hati para peminat seni suara bukan sahaja yang seusianya malah golongan remaja juga bagaikan terfana mendengar lagunya.
Sohaimi yang cukup popular suatu ketika dulu dengan lagu malar segar dendangannya, Epilog Cinta Dari Bromley tiba-tiba mencipta fenomenanya tersendiri
Kalau Berpacaran dendangan Sohaimi Mior Hassan bersama Ana Raffali dan Altimate kini meletakkan penyanyi ini di kelasnya yang tersendiri.
Sebabnya tidak siapa yang menduga ‘comeback‘ penyanyi berasal dari Bruas, Perak itu berjaya mengumpul kelompok peminat di kalangan generasi muda.
Tanpa perlu mencipta cerita sensasi penyanyi berusia 54, yang telah muncul dengan album Prolog (1981), Dedikasi (1983), Misteri Cinta (1984) dan Suatu Hari Nanti (2007) terus mendapat tempat di hati peminat.
Suami kepada Rosdina Hashim, 53, dan bapa kepada Syaida Syarafina, 26, Syaza Sorfina, 24 dan Syaima Sabila, 21, itu amat istimewa kerana kebanyakan lagu dendangannya dihasilkan berdasarkan pengalaman dan situasi semasa.
Seperti kata Sohaimi, lagu Kalau Berpacaran yang dicipta semasa program Bengkel Cipta Ekspres Mei lalu di Port Dickson, Negeri Sembilan dituju khas untuk para remaja.
“Kalau Berpacaran bukan sekadar lagu tapi ada mesej yang ingin saya sampaikan kepada kumpulan sasar iaitu remaja di luar sana termasuklah untuk tiga anak perempuan saya.
“Liriknya bukan sekadar satu pesanan dan nasihat tetapi juga mengingatkan remaja supaya sentiasa menjaga adab dan sopan kalau bertemu janji, agar tidak menconteng arang di muka keluarga,” kata Sohaimi yang diundang di Kempen Kami Prihatin di Program Latihan Khidmt Negara, Kem Sri Perkasa, Mantin, Seremban berduet bersama Heliza menyanyikan lagu berkenaan.
Beliau juga baru-baru ini turut diundang sebagai tetamu program Jom Chat Bersama Sohaimi Mior Hassan, di laman web Utusan Online, 22 Februari lalu, mengaku walaupun lambat menaip tapi seronok dapat berinteraksi dengan pembaca Utusan Malaysia.
Sohaimi yang mula melayan setiap pertanyaan pembaca dari pukul 9.30 malam sehingga kira-kira 11 malam itu, turut membuka rahsia tentang makanan kesukaan, pasukan bola sepak kegemaran dan pelbagai lagi.
“Saya paling suka capati dan sejak 1970-an penyokong setia pasukan Liverpool,” beritahunya yang mengelak dari minum minuman berais untuk menjaga suara.
Penyanyi yang diminati pelbagai peringkat usia itu juga akan membuat penampilan istimewa dalam teater Kenangan Mengusik Jiwa 60-an di Istana Budaya pada 1 hingga 5 Jun ini.
Sepanjang tempoh mengadap skrin komputer, Sohaimi telah menjawab kira-kira 200 soalan dan dicatatkan lebih 1,000 pembaca melayari laman web tersebut.
Beliau yang turut mendendangkan lagu Epilog Cinta Dari Bromley dan Kalau Berpacaran secara acapella di hadapan warga Utusan Melayu juga tidak melepaskan peluang menjayakan kempen Kami Prihatin anjuran akhbar Utusan Malaysia.
Lagipun, lagu Kalau Berpacaran amat releven dengan objektif Kami Prihatin yang bertujuan untuk mengekang gejala sosial terlarang di kalangan generasi muda.
Kalau Berpacaran lagu ciptaan dan lirik oleh Sohaimi sendiri berduet dengan Ana Raffali dengan penampilan khas, Altimate bukan sahaja berjaya mencipta populariti tersendiri.
Malah ia bagaikan satu fenomena apabila ke mana sahaja Sohaimi pergi, lagu yang menjadi siulan remaja itu pasti menjadi lagu wajib yang diminta.
Ini amat nyata apabila Sohaimi muncul di Kem Sri Perkasa, Mantin, Seremban, Negeri Sembilan sempena kempen Kami Prihatin. baru-baru ini.
0 ulasan:
Catat Ulasan