Bagaikan sirih pulang ke gagang. Itulah peribahasa yang paling sesuai diberikan buat pengacara Aznil Hj Nawawi yang telah kembali menggalas tugas sebagai hos Akademi Fantasia 9 (AF9).
Kembalinya Aznil ke gelanggang AF telah pun diumumkan secara rasmi oleh pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi sewaktu sidang media pengacara AF9 berlangsung di Hotel Hilton, Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Menurut Azlin, memandangkan AF adalah musim AF yang terakhir, maka pihaknya cuba untuk mengotakan janji untuk mengembalikan kegemillangan AF sepanjang 8 tahun penganjurannya diadakan selama ini.
“Kami juga dapati, kegemilangan AF bukan saja terletak pada kewibawaan pengetua dan tenaga pengajar saja. Hos juga turut memainkan peranan penting dalam menunaikan impian ini. Ia umpama magnet untuk menarik minat penonton untuk terus melekat menonton AF.
“Untuk itu, buat kali yang terakhir, pihak Astro Ria amat berbesar hati apabila dapat membawa kembali Aznil yang pernah mewarnai AF sekaligus mencipta fenomena sejak musim yang pertama mula diperkenalkan pada tahun 2002 hinggalah berakhirnya penglibatannya sebagai hos AF dalam musim yang kelima. Ternyata, penglibatan Aznil menerusi kelima-lima musim ini berjaya memberikan impak yang cukup besar serta cukup meyakinkan buat peminat program realiti ini,” kata Azlin.
Azlin turut menjelaskan, kredibiliti dan keupayaan Aznil dalam bidang pengacaraan sememangnya tidak perlu disangkal lagi. Pelbagai anugerah dan pengiktirafan yang telah diterimanya. Bukan hanya setakat di Malaysia saja bahkan di peringkat Asia juga.
“Kesemua program kendalian Aznil ini berjaya mengungguli senarai program-program terbaik tempatan. Malah, ia menerima jumlah rating yang cukup tinggi seperti AF, Jangan Lupa Lirik, Macam-Macam Aznil, Serasi Bersama, Tom Tom Bak, Merisik Khabar dan Clever! Edisi Malaysia.
“Kami percaya beliau mampu mengembalikan memori kegemilangan AF sekaligus mengemudikan program ini dengan sentuhan dan gayanya yang tersendiri untuk memikat hati para penonton agar terus setia untuk bertumpu di kaca televisyen,” jelas Azlin.
Akademi Fantasia Musim 9 yang akan dikemudikan sepenuhnya oleh pegacara hebat Aznil Haji Nawawi ini ini bakal bersiaran secara langsung di saluran rasmi; Astro RIA (saluran 104) setiap hari Sabtu, bermula 2 April 2011 jam 9.00 malam.
Portal murai.com.my sekali lagi menjadi portal hiburan rasmi AF9 manakala majalah Aksi merupakan majalah rasmi AF9. Era FM pula adalah radio rasmi AF9.
Senarai Pelajar AF Musim Ke-9
1. Afif (25, Selangor)
2. Aida (19, Melaka)
3. Amir (19, Sarawak)
4. Azri (24, Selangor)
5. Eka (22, Kuala Lumpur)
6. Erul (20, Kuala Lumpur)
7. Kay (22, Kuala Lumpur)
8. Laika (22, Kuala Lumpur)
9. Lena (21, Sabah)
10. Miza (28, Selangor)
11. Nera (19, Sabah)
12. Raqib (21, Melaka)
Sumber : Jiwang
0 ulasan:
Catat Ulasan