Ahmad Idham, David Teo tak gaduh
Oleh MOHD. ALIF ABU BAKAR
alif.abubakar@kosmo.com.my
KHABAR yang menyatakan berlakunya perselisihan faham antara pengarah, Ahmad Idham dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Metrowealth Movies Production (MIG), David Teo sedang hebat diperkatakan.
Jika dahulu timbul krisis persengketaan antara Pierre Andre dengan David Teo, kini Ahmad Idham pula menjadi individu yang dipersoalkan tentang cerita kurang enak itu.
Seperti sudah menjangka akan dihujani persoalan sedemikian daripada media, Ahmad Idham hanya mampu tersenyum dan merungkai segala kekeliruan yang selama ini telah mengeruhkan hubungan baiknya bersama David Teo.
“Saya tidak pernah bergaduh dengan David malah saya masih lagi meneruskan projek filem 8 Jam bersama MIG.
“Itu hanya persepsi orang yang melihat mengapa projek-projek baru saya tidak lagi bernaung di bawah bumbung MIG.
“Sebenarnya saya tidak pernah menjadi pekerja tetap di MIG dan harus diingat kesemua filem arahan saya bersama MIG merupakan kerjasama syarikat saya, Excellent Pictures dengan MIG.
“Sepanjang kerjasama dengan MIG, saya telah mengarahkan 16 buah filem dan kontrak saya bersama mereka juga baru sahaja tamat Mac lalu,” jelas Ahmad Idham tanpa selindung.
Pengarah filem Senjakala itu hanya menganggap berita seumpama itu sekadar cerita biasa yang tidak perlu digembar-gemburkan.
Dia turut memberitahu hubungannya bersama David Teo masih utuh malah David Teo sentiasa membuka pintu buat Ahmad Idham untuk bekerjasama dengan MIG pada masa akan datang.
0 ulasan:
Catat Ulasan