Akhirnya Amir disingkirkan

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar AHMAD ZAKKI JILAN


hi 02.1

PESERTA Maharaja Lawak yang masih lagi bertahan akan meneruskan perjuangan mereka malam ini.



PENANTIAN untuk melihat peserta dari Kelantan, Mohammad Amirullah Azmi atau Amir disingkirkan sejak Maharaja Lawak membuka gelanggangnya akhirnya menjadi kenyataan minggu lalu.

Ternyata, Amir gagal memberikan persembahan yang meninggalkan kesan menerusi tema komedi senyap yang dipertaruhkan pada minggu ketujuh.

Lebih malang lagi, persembahannya itu juga tidak mampu memikat hati ketiga-tiga juri Maharaja Lawak iaitu Mamat Khalid, Ahmad Idham dan Saiful Apek.

"Memang tidak dinafikan peminat memang sukakan Amir dan kerana itu mereka akan tetap ketawa melihat Amir di atas pentas waima apa jua persembahan yang Amir lakukan.

"Amir harus ingat ini adalah Maharaja Lawak dan bukan Raja Lawak di mana Amir harus mempersembahkan lawak yang memiliki standard jauh lebih tinggi.

"Saya hargai kesungguhan Amir tetapi minta maaf, saya melihat persembahan Amir kali ini hanyalah untuk diri Amir sendiri sahaja kerana saya tidak faham apa yang Amir cuba persembahkan," ulas Ahmad Idham sewaktu memberikan komennya selepas Amir membuat persembahan.

Ternyata memang ada kebenaran apa yang diperkatakan oleh Amir kerana persembahannya pada minggu lalu benar-benar mengecewakan.

Bayangkan, tiada siapa yang menunjukkan keikhlasan mereka untuk ketawa sewaktu peserta berusia 23 tahun itu sedang gigih membuat persembahan di atas pentas.

Apa yang dapat didengar dari sudut lain dalam studio itu hanyalah ketawa sinis segelintir penonton yang barangkali kasihankan Amir.

Walaupun persembahannya mendapat kritikan juri dan mengundang kebosanan di kalangan penonton, hakikatnya Amir tetap optimis dengan keputusan yang tidak berpihak kepadanya untuk meneruskan perjuangan.

"Saya tidak pernah memikirkan soal penyingkiran kerana ini adalah peluang untuk mengembangkan lagi bakat saya di pentas Maharaja Lawak ini.

"Setidak-tidaknya saya dapat bertahan sehingga ke minggu ketujuh dan itu satu pencapaian yang memuaskan buat saya.

"Mengenai orang yang tidak faham dengan lawak saya untuk minggu silent comedy ini, ia terpulang kepada masing-masing untuk ketawa atau tidak. Saya memang buat persiapan rapi untuk minggu ketujuh ini.

"Apa yang saya nampak bukannya tidak ada orang ketawa. Masih lagi ada yang ketawa dan menerima lawak saya," katanya dalam nada yang cukup yakin.

Siapa tahu dengan kejutan terbaru yang diperkenalkan iaitu Maharaja Lawak Masuk yang hanya boleh diundi menerusi laman rasmi Maharaja Lawak di Facebook, membolehkan Amir meneruskan perjuangannya pada minggu ini.

Mengulas mengenai kejutan terbaru itu pula, Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani menjelaskan ia merupakan perancangan yang telah dilakukan lebih awal.

Katanya lagi, seiring dengan prestij Maharaja Lawak, pihaknya mahu mempersembahkan sesuatu yang luar biasa bagi memastikan perjalanan program realiti itu cukup menarik untuk ditonton.

"Pihak kami membuat keputusan untuk melakukan pelbagai kejutan bermula daripada minggu keenam selaras dengan strategi kami untuk meletakkan program ini di tahap paling tinggi.

"Begitu juga dengan tema silent comedy ini yang berjaya memberikan pendekatan yang berbeza untuk program ini dan juga kepada para peserta.

"Dengan adanya tema seperti ini, ia dapat mencungkil lagi bakat dan kreativiti peserta untuk memberikan persembahan terbaik setiap minggu," kata Nizam lagi.

Dalam perkembangan lain, Nizam juga melahirkan rasa gembiranya apabila langganan untuk pakej Mustika terus meningkat sehingga 60 peratus sebaik sahaja Maharaja Lawak mula bersiaran bulan lalu.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top