BIARPUN baru dua minggu diserap masuk melalui Operasi Gugur, Hazama terus mengungguli pentas Konsert Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9), minggu kelima apabila berjaya mengekalkan kedudukannya untuk terus berada di puncak undian.

Tampil mendendangkan lagu yang dipopularkan oleh Hafiz AF7, Noktah Cinta, Hazama membuatkan penonton terkesima dengan kemantapan vokal yang dilontarkannya.

Tanpa mengambil kira komen pengkritik, Hazama terus jauh meninggalkan peserta lain untuk selesa berada di kedudukan teratas dengan 32 peratus undian walaupun di awal konsert Hazama diumumkan sebagai peserta yang mendapat undian paling rendah.

Mengekori di tangga kedua adalah seorang lagi peserta yang diserap masuk bersama Hazama iaitu Fina dengan 12 peratus undian.

Manakala peserta lain seperti Lena di tangga ketiga (12 peratus), Azri keempat (10 peratus), Erul kelima (10 peratus), Nera keenam (9 peratus) dan Kay di tangga terbawah dengan 8 peratus.

Bagaimanapun persembahan Hazama pada malam itu tidak disenangi oleh dua daripada tiga pengkritik AF9 minggu berkenaan.

Pengkritik tetap, Hattan menyatakan bahawa persembahan Hazama pada konsert itu tidak mencabar kemampuan sebenar pelajar yang berasal dari Perak itu.

“Lagu yang diberikan kepada awak tidak menunjukkan apa-apa. Saya yakin kemampuan awak lebih dari itu.

“Kalau itu sahaja yang awak boleh berikan kepada kami, ia akan tetap membuatkan awak berada di tangga rapuh,” komen Hattan sebaik selesai persembahan Hazama.

Seakan-akan bersetuju dengan komen Hattan itu, pengkritik jemputan minggu kelima konsert tersebut, Edrie Hashim mengakui, dia agak kecewa dengan persembahan Hazama.

Baginya, dia mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang dilakukan oleh Hazama pada malam itu.

Bagaimanapun, kritikan daripada dua pengkritik itu disangkal oleh Fauziah Ahmad Daud yang mengakui Hazama berjaya menjadikan lagu yang dinyanyikan itu seperti lagunya sendiri.

“Saya tidak nampak Hafiz dalam persembahan awak. Dendangan awak seolah-olah Noktah Cinta adalah milik hakiki awak,” jelas Fauziah dalam komennya.

Kejutan terus-terusan melanda program realiti itu yang akan berakhir lima minggu lagi apabila peserta yang dilihat mempunyai potensi besar untuk bertahan dalam industri hiburan tanah air, Afif, diumumkan tersingkir dari meneruskan perjuangan di pentas AF9.

Riak wajah terkejut dengan keputusan diluar jangkaan itu jelas kelihatan bukan sahaja pada Afif tetapi juga kepada pengetua AF9, Suhaimi Abd. Rahman atau lebih dikenali sebagai Amy Search.

“Penyingkiran minggu ini sememangnya di luar jangkaan saya. Lagu yang diberikan kepada Afif sememangnya sukar untuk dibawa.

“Namun dia berjaya membuatkan yang terbaik dan saya dapat rasakan kehebatannya tatkala dia menyampaikan persembahan malam itu.

“Tetapi apa boleh buat… sudah rezekinya setakat ini sahaja. Saya berharap dia akan lebih berjaya diluar sana,” ujar Amy.

Biarpun perjalanan Afif dalam AF9 hanya separuh jalan, itu tidak mematahkan semangat pelajar kelahiran Pahang ini untuk terus berusaha mengejar impiannya untuk bergelar bintang.

Baginya, penyingkiran itu bukan bererti titik penamat perjalanan dalam bidang seni.

“Masih banyak yang perlu saya belajar. Saya ingin meluaskan lagi bakat saya dan ingin menjadi seorang pencipta lagu.

“Saya memang minat mencipta lagu dan kalau diberi peluang, saya ingin mencipta sebuah lagu buat Hazama sekiranya dia berjaya sampai ke konsert terakhir,” kata Afif atau nama sebenarnya Ahmad Afif Tirmizie.

Pemilihan Hazama untuk menerima sumbangan lagu ciptaan Afif itu berdasarkan mereka berdua mempunyai kecenderungan yang serupa.

“Saya lihat Hazama seperti saya yang agak ‘gila-gila’ dan kami mempunyai kecenderungan yang sama selain saya melihat dia boleh membawakan lagu seperti qasidah,” ujar sepupu kepada aktor yang sedang meningkat naik, Kamal Adli itu.

Ditanya mengenai pengalaman berada di dalam akademi, Afif berkata, dia pasti akan merindu ‘adik beradiknya’ yang masih tinggal dalam akademi itu.

Katanya, pengalaman dapat bersama dengan semua pelajar adalah sesuatu yang paling bernilai bagi dirinya selain daripada ilmu yang dicurahkan oleh semua tenaga pengajar banyak memberi manfaat kepadanya.

Sementara itu, setiap peserta yang muncul akan diiringi dengan pasukan sorak masing-masing.

Sebagai pengubat duka, pasukan sorak Afif berjaya memenangi acara sampingan tersebut dengan menerima hadiah wang tunai RM500.

Seperti sudah dijangkakan, pemilihan lagu yang ditentukan oleh pihak produksi menjadi perdebatan beberapa pihak apabila cabaran yang diberikan kepada pelajar dilihat kurang menonjol.

Lagu-lagu yang bersifat santai yang diberikan kepada pelajar dicanang sebagai punca peserta kurang menyerlah pada setiap konsert mingguan.

Perkara itu diakui sendiri oleh pihak produksi dan pengetua AF9 yang sedar akan hakikat itu.

Namun dalam pemilihan lagu, beberapa faktor perlu dipatuhi bagi memenuhi selera pengikut setia program realiti yang sudah masuk musim terakhir penyiaran.

Bagaimanapun, pengacara AF9, Aznil Nawawi berpendapat, sebagai pelajar, apa juga lagu yang diberikan, itu adalah satu cabaran yang perlu ditempuhi.

Baginya, walaupun mendapat lagu yang mudah, itu bukanlah jaminan untuk pelajar berasa selesa dan membuat persembahan secara bersahaja.

“Kalau lagu itu lagu yang mudah, cabarannya adalah bagaimana pelajar membawakan lagu itu sehingga ia boleh menonjolkan diri mereka.

“Tidak semestinya apabila dapat lagu mudah, ia mudah untuk dibawakan,” jelas pengacara tersohor tanah air itu.

# Selingan Berita Hiburan dan Isu Semasa






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top