SETELAH bintang senior menerusi drama-drama hebat mencetuskan fenomena Korean Wave atau Ombak Korea di Asia, artis-artis muda ini pula memperkukuhkan status itu malah memperluaskan wabak K-Pop merentasi benua sehingga ke Amerika Syarikat dan Eropah.

Mungkin itu yang membezakan industri hiburan Malaysia dengan Korea.

Dunia hiburan tempatan dikatakan dipenuhi insan seni yang agak berusia menyebabkannya agak tepu dan lembap sehinggakan jika dibariskan artis popular tempatan sekarang rata-ratanya berumur melebihi tiga dekad.

Artis lelaki paling popular, Anuar Zain misalnya sudah berusia 40 tahun manakala artis wanita tersohor kita pula, Datuk Siti Nurhaliza dalam lingkungan 30an.

Bukan tak ada yang muda namun sukar mencari yang benar-benar menonjol kecuali seorang dua, antaranya Aizat.

Berbeza dengan industri hiburan Korea, muka-muka baru yang muda belia cukup ramai dan mereka ini menampilkan pelbagai gaya muzik dan imej untuk memenuhi citarasa rencam peminat di sana.

Justeru tidak hairanlah anak muda kita terutama golongan remaja belasan tahun mengalih pandangan ke negara tersebut untuk mencari idola dalam kalangan yang sebaya dengan mereka.

Di Korea kini artis tumbuh macam cendawan lepas hujan dan menariknya bakat mereka dicungkil seawal usia belasan tahun.

Penyanyi berkumpulan baik lelaki mahupun perempuan kini seolah-olah wajib mengambil anggota termuda atau ‘maknae’ dalam usia awal remaja bagi menjangkau sasaran golongan generasi Y khususnya pelajar yang memang dahagakan hiburan.

Dua anggota f(x) iaitu Sulli dan Krystal misalnya baru berusia 16 tahun, begitu juga Jiyoung daripada KARA yang turut dilahirkan dalam tahun 1994.

Dongjun daripada ZE:A atau Children of Empire pula baru mencecah 19 tahun manakala Ricky daripada Teen Top hanya 15 tahun.

Kehadiran artis-artis remaja ini menyebabkan bintang Korea yang berusia lingkungan 20an pun sudah dianggap tua apatah lagi yang sudah menjangkau usia 30 tahun.

Persaingan sengit dunia hiburan negara itu menyebabkan artis lama perlu memikirkan strategi alternatif untuk terus kekal dalam industri – sama ada mengasah bakat lain jika ada atau merangka jadual persaraan lebih awal daripada bintang negara asing yang seusia mereka.

# Selingan Berita Hiburan dan Isu Semasa






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top