PENGALAMAN pertama bertugas sebagai produser merangkap pelakon pembantu bagi filem romantik komedi, Hello…Inginku Mengenalmu… membuat Isma atau Ismaliza Ismail, 32, mengambil langkah berani menyahut cabaran bergelar pengarah pula.
Biarpun sebagai pengarah bersama Zamatul Amri Zakaria atau Tauke Raja Lawak bagi filem komedi, Sofazr The Movie… Jiwa Kacau terbitan Nusanbakti Corporation Sdn Bhd yang menjalani penggambaran baru-baru ini, ia tetap pengalaman cukup berharga buat Isma.
Bekas pelajar Akademi Fantasia 7 (AF7) ini tidak teragak-agak dan memaklumkan sudah jatuh cinta dalam bidang pengarahan.
"Walaupun pertama kali mengarah filem. Saya sudah dapat merasakan mula menyukai bidang ini.
"Saya mengambil alih tugas pengarahan apabila Tauke melakonkan wataknya. Hampir 50 peratus Tauke terbabit dari aspek lakonan. Saya pula hanya menumpukan sepenuh perhatian kepada pengarahan.
"Saya bertuah kerana diberi kepercayaan Nusanbakti untuk memangku tugas di kerusi pengarah.
"Pengalaman terbabit dalam penggambaran filem Hello…Inginku Mengenalmu… pada tahun lalu menjadi titik tolak membuatkan saya banyak belajar dan ingin tahu mengenai penghasilan filem.
"Begitupun, saya sentiasa menganggap saya masih terlalu baru dalam bidang ini dan bertatih lagi. Justeru, saya sedia menerima kritikan atau teguran," katanya.
Mengulas mengenai cabaran dihadapi ketika menyiapkan filem yang menjalani penggambaran di sekitar Ulu Yam dan Lembah Klang itu, Isma memberitahu, cabaran bekerja dengan pasukan yang mahir dan berpengalaman adalah dugaan penting.
Begitupun, dia tetap tabah dan meyakinkan diri untuk melaksanakan amanah yang sudah diberikan.
Sebagai individu yang gemarkan cabaran, dia menganggap ia sebagai satu proses yang perlu dilalui oleh semua untuk menceburi sesuatu bidang yang baru.
Isma bersyukur kerana mendapat sokongan daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang ini.
Apatah lagi pengarah dan pelakon veteran, AR Badul turut terbabit sebagai pelakon menerusi filem ini juga memberikan beberapa tip dalam pengarahan.
Pendekatan secara tolak ansur dan perbincangan dalam penggambaran filem berkenaan membuatkan semuanya berjalan lancar.
Filem ini berkisar kepada kehidupan kumpulan muzik tanah air terkenal iaitu Sofazr yang dianggotai enam pemuda. Mereka berkawan rapat sejak kecil dan tinggal bersama di sebuah rumah teres. Mereka mempunyai keletah dan minat yang amat berbeza dari semua aspek.
Pelbagai kisah lucu dan peristiwa menarik dilalui dalam kehidupan harian mereka.
Filem ini menampilkan barisan pelakon seperti Jepp Sepah, Jeff Sepah, Yassin Senario, Hamid Gurkha, Dina, Herman Tino, Leez AF, Saiful Apek serta anggota Sofazr sebagai teraju utama iaitu Ameer, Zimi, One, Shah, Rodie dan Fairuz. Ia dijangka ditayangkan di pawagam tahun depan.
Mengenai nyanyian pula, Isma yang kini bernaung di bawah Global Records dijangka kembali mempromosikan single terbaru berjudul, Hatiku Bukan Untuk Kau ciptaan Mohd Atlas.
Lagu berkenaan yang kini dalam proses diedarkan di beberapa stesen radio tempatan.
Pembabitan Isma dalam bidang pengarahan dan nyanyian mendapat sokongan kuat suami, Zulkefli Majid atau Zul 2 By 2. Ibu lima anak yang pernah bernaung di bawah Heliza Helmi Production Sdn Bhd (HHP) ini tidak menghadapi masalah dengan syarikat rakaman lamanya itu. Sebaliknya, dia menjadi artis kedua selepas Sofazr yang menyertai Global Records apabila dilepaskan HHP atas persetujuan bersama.
Sememangnya hasrat untuk menjadi penyanyi tidak pernah padam.
Sebagai anak seni, Isma mahu mempelbagaikan pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai bidang.
"Saya masih menyanyi. Buat masa ini saya tidak terbabit dengan penggambaran, jadi ini peluang terbaik untuk terus mempromosikan lagu selain menerima jemputan menjayakan persembahan.
"Memang saya meletakkan sasaran untuk berjaya dalam kedua-dua bidang ini.
Sebagai pengarah, bukan saja berharap filem ini akan dapat mencacat kutipan box-office, malah saya teringin menjadi pengarah yang berjaya. Saya akan terus belajar," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan