Jihan ucap selamat tinggal

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar MUHAMAD IQBAL ROSLI


hi 03.1

JIHAN akur dengan keputusan yang tidak berpihak kepadanya.



SEJAK Maharaja Lawak mula bersiaran pada 1 April lalu, Nur Jihan Musa atau lebih dikenali sebagai Jihan sudah menyiapkan dirinya untuk menjadi mangsa penyingkiran.

Namun, selama empat minggu nasib tetap menyebelahinya walaupun berada dalam kedudukan tiga peserta yang mendapat markah paling rendah.

Akhirnya, Jihan reda serta akur dengan keputusan yang telah dilakukan oleh juri dan pengundi yang memaksanya mengucapkan selamat tinggal kepada program realiti paling popular masa kini itu.

Bertemu dengan Jihan usai program tersebut di Studio Finas, Hulu Kelang, Selangor, minggu lalu, dia menerima penyingkirannya itu dengan hati yang cukup terbuka.

Malah, Jihan juga bersetuju dengan pendapat salah seorang juri Maharaja Lawak iaitu Ahmad Idham bahawa dia tidak konsisten dalam persembahannya sejak lima minggu lalu.

” Menyertai pertandingan besar seperti Maharaja Lawak ini memang perlu berdepan dengan cabaran yang bukan sedikit. Apatah lagi, lawan saya semuanya hebat dan mempunyai nama besar.

” Jadi, apabila menjadi satu-satunya peserta wanita tunggal dalam program ini, ia bukanlah satu tugas yang mudah untuk bersaing dengan peserta lain,” katanya tanpa selindung.

Selain Jihan, dua lagi peserta yang mendapat markah terendah untuk minggu kelima ialah Man dan Amir.

Menyambung bicara, Jihan juga tidak menolak faktor masa juga menjadi punca persembahannya gagal menarik perhatian juri dan audiens.

Apatah lagi, dia masih lagi bekerja sebagai juruteknik di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor menyebabkan dia sukar untuk memberi tumpuan dan fokus dalam mencari idea untuk persembahannya.

” Sebenarnya, selepas meninggalkan gelanggang Raja Lawak musim ketiga dulu, saya memang jarang membuat sketsa atau persembahan komedi. Ini kerana peluang saya lebih banyak kepada berlakon drama.

” Jadi, apabila kembali ke Maharaja Lawak, saya memerlukan masa untuk mengaktifkan diri saya ke alam humor dan lawak jenaka. Ia tidak seperti ketika menyertai Raja Lawak dulu kita sentiasa mengikuti kelas serta pembelajaran.

” Itu yang membezakan saya dengan peserta lain kerana mereka masih lagi terlibat dalam dunia hiburan dan meneruskan perjuangan mereka sebagai seorang pelawak,” jelas wanita berusia 28 tahun ini penuh jujur.

Selama lima minggu berentap di Maharaja Lawak, setidak-tidaknya kata Jihan, dia berpeluang memperolehi pengalaman serta nasihat daripada juri untuk menajamkan lagi mutu lawak jenakanya.

Mengulas tentang persembahan peserta Maharaja Lawak minggu lalu, seperti biasa, Jozan, Jambu dan Sepah masih lagi menyengat dan berjaya menggeletek audiens serta juri.

Begitu juga dengan kumpulan Balas yang menampilkan sketsa segar dan melucukan walaupun ia memiliki maksud tersirat yang berbaur lucah.

Sementara itu, yang sentiasa konsisten dari awal pertandingan bermula kelihatan sedikit goyah minggu lalu apabila persembahannya kelihatan agak meleret biarpun unsur jenakanya berada di kelas tersendiri.

Amir juga tidak kurang hebatnya dan Man nampaknya perlu berusaha lebih keras lagi untuk menempatkan dirinya setanding dengan barisan peserta lain.

Pastikan temujanji anda bersama Maharaja Lawak minggu ini secara eksklusif di Astro Warna (saluran 132, Astro) kerana difahamkan ada kejutan besar lagi menggemparkan yang sedang menanti.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top