OSAMA Bin Laden itu fenomena. Walaupun di sebelah pihak melihatnya sebagai pengganas, di sebelah pihak lagi meletakkannya sebagai wira. Namun yang paling untung ialah karyawan yang mengambil kesempatan daripada publisiti tentang Osama.

Sejak serangan 11 September 2001, permintaan untuk bahan bacaan mengenai Osama menyebabkan penerbit tidak menang tangan. Pada tahun itu, Amazon memberi tempoh menunggu antara tiga keenam minggu kepada pembacanya yang ingin membeli buku berkaitan Osama.

Ada sesetengah buku yang dulunya dicetak tanpa menyertakan nama penulis, diterbitkan kembali dengan nama penulisnya. Meskipun bukan semua buku itu terperinci mengenai Osama, namun ia tetap laris. Bukan hanya golongan wartawan yang pernah menemubual Osama atau wartawan politik yang menulis buku mengenainya, bekas kakitangan pasukan tentera Amerika dan agensi risikannya turut mencuba nasib mencuri sedikit keuntungan daripada publisiti Osama yang melimpah ruah.

Kegilaan terhadap buku berkaitan Osama bermula sebaik saja terjadinya tragedi 11 September 2001. Buku Osama bin Laden's al-Qaida oleh Yonah Alexander dan Michael Swetnam, yang terbit pada 1998 secara tiba-tiba melonjak di tangga ke-16 dalam carta jualan laris di pasaran Amazon pada 2001. Sebelum 11 September 2001, buku itu hanya terjual sebanyak 300 naskhah saja, namun selepas tarikh itu ia ia melonjak ke 50,000 naskhah.

Selain buku tulisan Yonah dan Michael, buku karya Yossef Bondansky (1999) Bin Laden: The Man Who Declared War on America juga antara buku laris di pasaran dan berada dalam carta hangat di pasaran New York Times.

Ini diikuti dengan buku Bin Laden, al-Jazeera... and Me karya Jamal Ismail yang menulis berdasarkan pengalamannya ketika berkhidmat di stesen tv Al-Jazeera pada 1998. Buku itu bukan sekadar catatan pengalaman sebaliknya turut memuatkan transkrip temubual.

Sehingga penghujung 2002, buku berkaitan Osama kebanyakannya berjaya memanjat carta jualan laris di pasaran New York Times, sama ada edisi buku berkulit keras atau kulit biasa. Malah sebuah buku yang diterbitkan sebagai buku esei bergambar edisi mewah dicetak beberapa kali dan turut berada dalam carta jualan laris di pasaran.

Sesetengah daripada buku ini memang ingin berkongsi dengan pembaca mengenai Osama, daripada seorang anak hartawan yang berubah menjadi pemimpin berkaliber. Namun ada sesetengahnya hanya cuba meraih keuntungan daripada publisiti tentang Osama yang melimpah. Sejak 2002, buku berkaitan Osama masih diterbitkan, namun jualannya tidaklah serancak pasca 11 September 2001.

Antara buku tentang Osama ialah The Bin Ladens karya Steve Coll. Jika sebelum ini Coll bercerita tentang Osama secara kasar, dalam buku terbaru itu Coll menambahkan lagi pemahaman pembaca terhadap Osama yang datang daripada keluarga bangsawan, tetapi memilih jalan jihad selain memutuskan pertalian dengan keluarganya yang kaya raya.

Sebelum ini Coll menulis Ghost Wars (2004), bercerita mengenai peranan CIA yang membantu jihad antiSoviet di Afghanistan sekitar 1980. Namun, Amerika mengabaikan negara itu apabila Russia meninggalkannya huruhara, tetapi penuh dengan tentera bersenjata dan terlatih pula. Situasi yang dianggap cukup sempurna untuk menyuburkan alQaeda dan Taliban.

Sesuatu yang perlu diakui dalam beberapa buku yang ditulis oleh penulis barat, mereka meletakkan Amerika dalam sebagai satusatunya pihak yang wajar dipersalahkan apabila berlakunya Tragedi 11 September 2001. Bekalan senjata, sokongan, panduan taktikal yang dibekalkan dalam jihad antiSoviet diibaratkan sebagai senjata makan tuan. Semua kesalahan itu dilonggokkan kepada pentadbiran Bush pada peringkat mana pun kerana mereka gagal melihat dan meramal bantuan yang diberi, akhirnya menjadikan mereka sasaran.

Namun, buku The Longest War karya Peter L Bergen dan Lawrence Wright, Looming Tower, pula membawa pembaca menyelami kehidupan di kem latihan alQaeda.

Selepas Osama didakwa mati ditembak oleh sepasukan tentera elit Amerika minggu lalu, publisiti mengenai penerbitan buku mengenainya sudah dicanang bakal terbit. Sementara, sebaik saja Presiden Amerika, Barrack Obama mengumumkan kematian Osama, industri perfileman Hollywood sudah pun mengumumkan penghasilan filem mengenainya. Justeru, siapa sebenarnya Osama di mata Amerika?

Oleh Hafizah Iszahanid

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top