Kerajaan tahun ini mula memberikan insurans kepada keluarga berpendapatan rendah terutamanya ketua isi rumah (KIR) jika berlaku kematian atau kecederaan kekal, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata, skim itu adalah satu inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Isi Rumah Berpendapatan Rendah bertujuan membantu isi rumah dari segi kewangan jika terjadi kematian dalam kalangan KIR.

"Terdapat tiga skim di bawahnya iaitu skim perlindungan hayat, skim kemalangan dan skim khairat kematian yang meliputi ketua keluarga, pasangan dan juga anak-anak.

"Skim ini layak diterima semua ketua isi rumah yang disahkan berdaftar dalam sistem eKasih di bawah Jabatan Perdana Menteri sehingga Januari 2011," katanya selepas menyerahkan sijil insurans skim itu di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di sini, hari ini.

Shahrizat berkata, kerajaan membelanjakan RM12 juta untuk mendapatkan insurans dari Syarikat Allianz General Insurance Company (Malaysia) Bhd (Allianz) untuk diberikan kepada 100,000 ketua isi rumah seluruh negara.

Skim itu, katanya, memberi manfaat kepada kira-kira 500,000 orang ahli keluarga jika berlaku sesuatu kepada KIR mereka dengan perlindungan selama setahun dan ia akan dibuat setiap tahun.

"Selepas dimulakan Januari lalu, sehingga kini Allianz sudah pun membayar wang tuntutan skim itu sebanyak RM3 juta membabitkan kematian kira-kira 200 orang KIR," katanya.

Jika berlaku kematian, waris KIR akan menerima wang pampasan sebanyak RM10,000 manakala jika mengalami kecederaan KIR akan menerima RM20,000 manakala pasangan menerima RM10,000 dan anak menerima RM5,000 melalui skim itu, kata Shahrizat.

Pada majlis hari ini, Shahrizat menyerahkan pembayaran insurans kepada 19 keluarga dengan pembayaran RM295,000 di sekitar Selangor.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz, Zakri Mohd Khir, berkata sebagai tanggungjawab sosial korporat skim itu, pihaknya menubuhkan bahagian khas untuk membantu penerima skim insurans memberi pendedahan menguruskan wang pampasan supaya kehidupan mereka lebih terjamin. - BERNAMA

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top