Kesinambungan cinta Nur Kasih
Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
saphilla.isa@kosmo.com
KABIR (kanan) bersama barisan tiga tonggak utama filem Nur Kasih The Movie (dari kiri), Fizz, Tiz dan Remy.
SELEPAS berjaya menakluk hati 19 juta rakyat Malaysia melalui drama bersiri Nur Kasih, Kabir Bhatia selaku pengarah drama Nur Kasih membawa kesinambungan cerita tersebut ke layar perak.
Tidak keterlaluan jika dikatakan siri drama Nur Kasih membawa satu fenomena baharu kepada penonton Malaysia yang sebelum ini lebih meminati cerita bercorak percintaan dan komedi ringan.
Cerita bercorak percintaan, keagamaan dan kekeluargaan itu berjaya menarik jutaan penonton biarpun ia diulang tayang di kaca TV.
Menurut Kabir, dia tidak menyangka drama tersebut mampu memberi kesan terhadap penonton. Disebabkan tarikannya terlalu luar biasa, maka Kabir memikirkan pula untuk membawa siri Nur Kasih ke layar perak.
"Saya tidak sangka cerita Nur Kasih mendapat sambutan hebat. Disebabkan itu, saya mendapat idea untuk menghasilkan filem Nur Kasih pula.
"Jika dilihat dalam siri drama Nur Kasih ceritanya agak tergantung tetapi di dalam filem ini perjalanan hidup ketiga-tiga pelakon utamanya dapat disaksikan sehingga akhir," katanya ketika sidang akhbar selepas majlis pratonton Nur Kasih The Movie di Tanjung Golden Village, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Keberkesanan skrip
Masih mengekalkan tiga watak utama iaitu Remy Ishak, Tiz Zaqyah dan Fizz Fairuz, filem yang menelan belanja RM2.8 juta itu digarap dengan baik terutamanya dari segi perjalanan skrip.
Keberkesanan skrip yang dihasilkan oleh Mira Mustaffa itu mampu meruntun jiwa penonton. Skrip air mata hasil nukilan Mira bagaimanapun tidak memaksa penonton berlenangan air mata sentiasa. Dia pandai bermain mood penonton di mana ia turut diselitkan dengan suasana gembira dan komedi hasil pertuturan dari adik Mia Sara.
"Skrip filem Nur Kasih telah dihasilkan selama dua bulan. Sebelum menghasilkan skrip Nur Kasih, saya memikirkan dulu setiap karakter dan jalan cerita yang harus dilalui oleh mereka.
"Jadi saya tunjukkan jalan kebahagiaan, kesedihan dan cabaran yang terpaksa dilalui oleh ketiga-tiga watak utama. Begitu juga dengan watak-watak yang lain. Saya harap penonton suka dengan jalan cerita yang digarapkan," kata Mira yang juga merupakan isteri kepada Kabir.
Ini diakui sendiri oleh Kabir. Katanya: "Tanpa skrip tiada inspirasi untuk sesebuah filem."
Ujarnya, skrip yang dihasilkan harus memastikan setiap karakter itu hidup.
Kabir juga berharap filem Nur Kasih terbitan bersama Grand Brilliance, Film Scape Sdn. Bhd. dan Juita Viden Sdn. Bhd. itu yang bakal mula ditayangkan menjekang 19 Mei ini berjaya membuatkan penonton suka seperti mana siri drama tersebut.
Tempias drama bersiri Nur Kasih juga sekali gus berjaya menaikkan nama pelakon-pelakonnya yang sebelum ini tidak dikenali ramai. Fizz mengakui watak Aidil yang dibawanya terlalu besar bagi dirinya. Malah, ia berbeza dengan watak sebenarnya.
"Bila saya tengok filem Nur Kasih, saya lihat diri orang lain. Sebelum ini, lakonan saya sentiasa dibayangi diri sebenar tetapi untul watak Aidil ia benar-benar berbeza," katanya yang kini mengembangkan sayap sebagai ahli perniagaan dengan membuka sebuah restoran yang diberi nama Nur Kasih di kampungnya di Bentong, Pahang.
Air mata Fizz
Fizz juga tanpa segan silu mengakui buat pertama kalinya menangis menonton filem Nur Kasih.
"Ini kali kedua saya menangis selepas sekian lama tidak menangis semasa bapa saya meninggal dahulu. Hati saya sebak selepas menonton dan menghayati jalan cerita ini," tuturnya jujur.
Saat ditanya mengenai cabaran yang dilalui selama dia menjayakan filem Nur Kasih, Fizz memberitahu, dia terpaksa menghafal bahasa Arab dalam masa yang singkat.
Bagaimanapun, saat menjejak kaki ke Jordan untuk penggambaran, dia dapati bahasa Arab yang dituturkan orang di sana adalah berbeza.
"Terdapat empat scene yang memerlukan saya bertutur dalam bahasa Arab. Saya cuma sempat belajar dalam masa yang singkat tetapi bila sampai ke Jordan saya terpaksa menukarkan bahasa Arab saya kerana bahasa pertuturan mereka berbeza," katanya.
Melakonkan watak bapa tunggal kepada dua cahaya mata selepas kematian isterinya lakonan Ayu Raudhah, Fizz dilihat mengawal lakonannya di dalam filem Nur Kasih.
"Tidak dinafikan kerana saya ingin berikan yang terbaik, saya jadi teragak-agak mengawal lakonan saya," katanya lagi.
0 ulasan:
Catat Ulasan