Bermula minggu lalu, kesemua peserta yang berada di tangga terendah diwajibkan untuk memberi sumbangan khidmat sosial kepada masyarakat termasuklah membersihkan kawasan perkuburan, rumah anak-anak yatim dan rumah-rumah kebajikan lain.
Memulakan tradisi yang julung kali diperkenalkan itu, Imam Muda Ali, Najdi, Fadli dan Mujahid akan dihantar ke Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh, Selangor untuk melakukan kerja sosial kepada penduduk.
"Kita perkenalkan khidmat sosial ini agar mereka yang mendapat markah terendah ini berusaha dengan lebih gigih untuk meningkatkan lagi prestasi mereka.
"Ini sebenarnya bukan tujuan untuk merendahkan mereka sebaliknya kita mahu mereka lebih bersemangat dan terbuka untuk terus mengejar misi mereka dalam rancangan ini," jelas Pengurus saluran Astro Oasis, Izelan Basar yang ditemui selepas proses rakaman rancangan Imam Muda minggu kedua baru-baru ini.
Tambah beliau, khidmat sosial yang diperkenalkan itu dilihat sebagai salah satu landasan terbaik dalam usaha untuk mendekatkan peserta Imam Muda dengan masyarakat.
"Bukan mudah untuk bergelar seorang imam. Imam yang baik adalah imam yang disenangi masyarakat sekeliling.
"Dalam melakukan kerja sosial mereka boleh mengambil peluang berkenaan untuk mendekati masyarakat sesebuah kawasan itu," tegasnya.
Mengulas berkenaan penyingkiran peserta, Izelan berkata, setakat dua minggu pertama ini tiada penyingkiran yang dilakukan.
Jelasnya, peluang untuk terus kekal dalam rancangan Imam Muda adalah untuk memberi peluang kepada semua 10 imam muda musim ini menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.
"Ini baru permulaan dan kita mahu semua peserta menyesuaikan diri mereka dahulu agar lebih bersedia untuk berhadapan dengan masyarakat luar kelak," ujarnya.
Selain itu, walaupun diminta untuk melakukan kerja sosial ke semua empat imam muda itu turut diberi komen yang memberangkan daripada Mudir dan para Mursyid rancangan berkenaan pada siaran Jumaat lalu.
Buat pertama kalinya sistem kad merah diperkenalkan dalam rancangan yang mula diperkenalkan tahun lalu itu sebagai balasan kepada peserta yang gagal mencapai markah lulus yang ditetapkan.
Namun, kad berkenaan bukanlah simbolik yang bererti perjalanan mereka di dalam misi pencarian seorang imam berwibawa terhenti setakat itu.
"Bagi musim ini, kita memperkenalkan dua sistem markah iaitu markah lulus dan markah rendah yang mana jika mereka gagal mencapai markah 30 peratus kita berikan kad merah.
"Kad itu sebagai amaran untuk mereka meningkatkan usaha bagi mencapai markah lulus pada minggu seterusnya.
"Namun, sekiranya gagal juga mencapai markah lulus dan menerima kad merah sehingga tiga kali secara automatik mereka akan disingkirkan," tambah Izelan.
Sistem kad merah yang mula diperkenalkan minggu pertama lalu menunjukkan imam muda dari Sabah, Ali Khairudin Abdul Marip, imam muda dari Singapura, Mujahid Suhaimi dan imam muda dari Brunei, Zulfadli Awang menjadi tiga peserta pertama dilayangkan kad berkenaan.
Namun bagi minggu kedua kesemua 10 peserta berjaya melepasi markah lulus.
0 ulasan:
Catat Ulasan