Jadual Asmawi Ani atau Mawi, sentiasa padat. Bagaimanapun sejak kebelakangan ini, penyanyi berasal dari Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu memperlahankan sedikit kegiatan seninya.
Sesekali pihak media turut melihat kemunculannya bersama isteri, Norashikin Abd Rahman atau Ekin ke majlis tertentu yang mana sebelum ini amat susah untuk dilakukan Mawi.
Ditemui baru-baru ini sewaktu menjayakan rakaman klip video nyanyian duetnya bersama ustaz Akhil Hayy, Hambamu yang juga lagu tema untuk rancangan realiti TV, Imam Muda musim kedua, Mawi akui, melihat dari sudut lain apabila jadualnya tidak padat seperti dulu membolehkan dia melakukan banyak aktiviti tidak mampu dilakukan sebelum ini.
"Paling utama, saya dapat pulang ke kampung selalu melawat emak. Selain daripada itu, apa saja aktiviti ahli keluarga mahupun mentua saya dapat hadir, sebagai contoh kenduri-kendara," katanya.
Selain itu jelas Mawi, aktiviti seni yang agak perlahan kebelakangan membolehkan dia membawa Ekin, ibunya Ramlah Sarlan dan empat anggota keluarga lain menunaikan umrah, pada 20 April lalu.
"Alhamdulillah apa yang dirancang sebelum ini sudah tertunai. Sebenarnya, saya mengikut rombongan pakej yang disediakan syarikat ustaz Akhil.
"Dia mengajak saya dan isteri menyertai rombongannya sejak puasa tahun lalu. Lama juga perancangan dibuat namun April lalu barulah kami dapat melaksanakannya," katanya.
Jelas Mawi, dia juga memanjatkan syukur kerana sepanjang melaksanakan ibadat umrah segalanya berjalan lancar termasuklah ibunya dan ahli keluarga yang lain. Turut sama 30 rombongan lain.
Menceritakan pengalamannya sewaktu berada di tanah suci, kata Mawi, dia berasa sangat tenang dan ia tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. Perasaan itu diperoleh sebaik menjejakkan kaki di Jeddah.
"Sebelum pergi, perasaan saya tidak menentu. Gemuruh pun ada. Tetapi apabila sampai ke Tanah Suci, lain pula yang berlaku. Saya berasa seronok dan tidak pernah berasakan ketenangan seperti apa yang saya peroleh sepanjang mengerjakan ibadat umrah. Tiada satu pun gangguan berlaku, semuanya berjalan lancar," katanya.
Bercerita lanjut kata Mawi, sepanjang di sana doa paling utama yang minta adalah semoga Tuhan mengampunkan segala dosa-dosa yang pernah dilakukan sebelum ini.
"Memanglah ada juga perkara lain yang dipinta tetapi bagi saya, meminta Allah mengampunkan segala dosa saya adalah jauh lebih penting.
"Saya berasa diri benar-benar kerdil dan mengharapkan saya sentiasa diterima di sisi-Nya," katanya.
Mengenai aktiviti seninya, Mawi yang sebelum ini muncul dengan album Idola menjelaskan, buat masa terdekat dia tidak merancang menerbitkan album baru sementara lagu duetnya bersama Akhil dalam Hambamu berupa projek khas.
"Mungkin saya akan menghasilkan album nasyid kontemporari pada masa akan datang. Perkara itu tidak ada masalah kerana saya pernah menyanyikan lagu berentak R&B sebelum ini," katanya.
Bintang Jin Notti dan Magika itu juga turut menerima tawaran membintangi filem tetapi ia masih lagi dinilai pihak pengurusan sebelum memutuskan sama ada ia sesuai diterima atau tidak. Produksi ditubuhkan juga kini sedang menunggu untuk memulakan penggambaran dramanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan