PM masuk konti Hot FM

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my

hi 03.1

TELADAN yang baik. Najib tiba di konti Hot FM lebih awal daripada waktu yang dijadualkan.


SIAPA sangka apabila hanya bermula dengan sebuah gurauan, tanpa disangka hasrat mahu mengundang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjadi tetamu di konti radio akhirnya menjadi kenyataan.

Itulah pengalaman paling manis yang telah dilalui oleh tiga penyampai radio Hot FM iaitu Fara Fauzana, Faizal Ismail dan Kieran setelah hasrat untuk bertentang mata dengan pemimpin nombor satu negara itu tercapai.

Meskipun jadual harian sebagai seorang Perdana Menteri sememangnya ketat, namun Najib masih sempat meluangkan masa selama satu jam untuk menjadi tetamu istimewa program Hot FM AM Crew yang dikendalikan ketiga-tiga penyampai tersebut.

Tampil dengan gaya yang cukup ringkas, Najib tiba lebih 15 minit lebih awal daripada jadual beliau ke udara di saluran tersebut yang bermula pada pukul 7.30 hingga 8.30 pagi.

Sepanjang berada di konti radio berkenaan, pemimpin tersebut sempat ditanya beberapa soalan yang agak santai berkaitan dengan aktiviti harian sebagai seorang Perdana Menteri, makanan kegemaran dan waktu beliau mengemaskini Facebook dan Twitter.

Menurut Fara, dia sendiri tidak menyangka idea untuk mengundang Najib ketika bersiaran di radio bersama Seelan Paul minggu lalu akhirnya menjadi kenyataan.

"Ketika itu kami telah mengemukakan topik mengenai Twitter dan ada salah seorang pendengar mengatakan yang dia adalah pengikut setia Najib Tun Razak menerusi Twitter.

"Kemudian tiba-tiba timbul idea untuk mengundang beliau hadir ke konti Hot FM dan saya terus menghantar pesanan kepadanya menerusi Twitter," ujarnya.

Menurut Fara, pada mulanya dia sendiri tidak yakin Najib akan membaca pesanannya itu, malah hasrat tersebut dianggap tidak masuk akal oleh Seelan.

Bagaimanapun, dia telah dimaklumkan oleh Seelan bahawa salah seorang pegawai Najib memaklumkan mengenai persetujuan beliau untuk hadir ke konti Hot FM pada 2 Mei lalu.

"Sebelum ini saya memang pernah berjumpa dengan beliau, namun ini adalah kali pertama saya dapat menemu bual secara bersemuka dan pastinya ia adalah kenangan yang cukup bermakna sepanjang menjadi penyampai radio.

"Mulanya saya ingatkan beliau mempunyai perwatakan yang serius, tetapi setelah menemu bualnya saya dapati beliau seorang yang ceria dan kelakar," jelasnya.

Ujarnya lagi, dia turut mengagumi sifat yang dimiliki oleh pemimpin tersebut, terutamanya apabila beliau tiba di konti Hot FM lebih awal dari yang telah dijadualkan untuk beliau ke udara.

"Kita semua tahu jadual harian seorang Perdana Menteri yang sangat padat setiap hari, namun pada hari ini beliau masih mampu tiba lebih awal.

"Seharusnya sifat sebegini perlu diikuti dan dijadikan contoh kepada artis-artis di Malaysia. Tidak dinafikan ada sebilangan artis yang diundang untuk ditemu bual akan tiba lewat ke konti," tegasnya.

hi 03.2

FARA dan Kieran sedang menyaksikan perlawanan dam aji antara Najib dan Faizal.


Selain ke udara di saluran radio Hot FM, kehadiran Najib juga dapat disaksikan secara langsung melalui saluran 8TV serta rancangan Malaysia Hari Ini dan Nasi Lemak Kopi O.

Dam aji

Salah satu aktiviti menarik yang diadakan adalah perlawanan dam aji yang membabitkan perlawanan antara Najib dan Faizal.

Difahamkan, Faizal yang masih lagi bercuti sanggup mengorbankan cutinya itu semata-mata mahu bertemu dan bermain dam aji dengan Najib.

"Pada saya, ia merupakan satu peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan. Mungkin ini adalah satu-satunya peluang yang ada untuk mendekati pemimpin nombor satu negara yang turut terkenal di peringkat antarabangsa.

"Pemilihan permainan dam aji pula dibuat kerana kami merasakan ia adalah sebuah permainan yang sememangnya sangat sinonim dengan masyarakat di negara ini," ujarnya yang berjaya menewaskan Najib dalam perlawanan tersebut.

Menurutnya lagi, pengalaman yang dilalui ketika menemu bual dan bermain dam aji dengan Perdana Menteri akan tetap tersimpan dalam lipatan sejarah hidupnya sampai bila-bila.

Sementara itu, Kieran pula merasakan dirinya cukup bertuah apabila bertugas pada waktu pagi bagi menggantikan AG atau nama sebenarnya Muhammad Azmir Selamat yang sedang bercuti di luar negara.

"Mulanya saya ingatkan tidak terlibat untuk program ini. Kemudian saya diberitahu turut terlibat dan tentunya ia merupakan kenangan yang paling bermakna.

"Pada awalnya memang rasa agak berdebar juga ketika berhadapan dengan beliau, namun perasaan tersebut terus hilang setelah beberapa minit menemu bualnya," ujarnya.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top