DI sebalik sibuk dengan pelbagai aktiviti seni dan urusan perniagaan kosmetik, SimplySiti yang diusahakannya sejak setahun lalu, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 32, sentiasa bijak membahagikan masa antara karier serta keluarga tercinta.
Malah, masa bersama suami paling penting dan menjadi keutamaannya. Dua minggu lalu, Siti dan suami, Datuk Seri Khalid Muhd Jiwa menghabiskan cuti bersama di Cape Town, Afrika Selatan. Bahkan, ketika di sana mereka berseronok dengan hobi baru.
Ditemui di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, kelmarin, ketika majlis sidang media sempena persembahan Malam Gala SimplySiti yang akan berlangsung di Dewan Agong Tuanku Canselor, UiTM 9 Julai depan, Siti terbuka berkongsi cerita.
Ujar Siti, ketika percutian itu beliau dan suami berkonvoi motosikal berkuasa tinggi ke seluruh Cape Town. Katanya aktiviti bermotosikal itu pertama kali dilakukan bersama suami tersayang.
"Biarpun membonceng, ia pengalaman percutian yang sangat menyeronokkan buat kami berdua. Kami menunggang Harley Davidson dan ekspedisi bermotosikal itu disertai lebih 20 orang yang juga memiliki minat sama.
"Pada hari pertama, ekspedisi sejauh 400 kilometer (km). Ia cukup mencabar kerana hujan dan cuaca sejuk menyebabkan kami terpaksa berhenti di pertengahan jalan kerana saya kesejukan. Mujur hari kedua, cuaca baik.
"Cuaca yang cantik dan panas memberikan kami peluang menikmati pemandangan indah sepanjang perjalanan. Apapun, tak dinafikan saya terpaut hati dengan aktiviti sukan bermotor. Malah, ia kini menjadi hobi baru dan minat kami berdua," katanya.
Siti berkata beberapa hari menyertai konvoi bermotosikal itu membuatkan beliau seronok. Bagaimanapun, selain gembira dengan hobi itu, karier Siti juga berjalan lancar kerana akan mengadakan konsert di negara jiran, Indonesia.
Penghibur tersohor tanah air ini akan memulakan siri jelajah itu di beberapa bandar Indonesia yang bermula 1 hingga 7 Julai depan. Memandangkan ia konsert kerohanian, Siti berkata artis terkenal Indonesia, Opick turut menjayakannya.
"Konsert ini akan menjelajah bandar seperti Jogjakarta, Banjamasin, Padang dan Jakarta. Saya sangat teruja dan berminat menjayakannya kerana sudah lima tahun tidak melakukan persembahan di Indonesia. Justeru, ia peluang yang baik buat saya.
"Ia muncul pada masa yang sesuai. Malah, pada kunjungan ke Indonesia sekitar Februari lalu memperlihatkan betapa ramai peminat di negara itu yang rindu untuk menyaksikan persembahan Siti. Mereka juga mengambil tahu perkembangan
saya.
"Jadi, apabila ada penganjur di negara itu (Indonesia) berminat memberikan peluang kepada saya, mengapa perlu ditolak," katanya memaklumkan selain Opick, komposer dan pemuzik terkenal Indonesia, Erwin Gutawa juga terbabit sama membuat persembahan.
Menyanyi dengan iringan orkestra, Siti mengakui banyak juga tawaran nyanyian dari Indonesia ditolaknya sebelum ini atas sebab tertentu. Malah, katanya sebaik mendirikan rumah tangga beliau terus mengurangkan aktiviti seninya.
"Selepas berkahwin, saya ambil masa dua tahun memberi tumpuan terhadap suami dan keluarga. Kemudian, sibuk pula dengan produk SimplySiti yang diusahakan. Jadi, sudah tentu sekarang adalah masa sesuai untuk kembali aktif menyanyi semula.
"Ditambah lagi, saya juga baru menyiapkan album Inggeris pertama dijangka berada di pasaran sekitar Jun ini. Selain di Indonesia, saya membuat perancangan mengadakan konsert di negara ini selepas hari raya nanti," katanya.
Berbicara mengenai produk produk SimplySiti keluaran syarikatnya, Siti berkata selama setahun beroperasi, beliau bersyukur produk kosmetik itu berjaya mencapai sasaran.
Katanya, beliau kini dalam perbincangan meluaskan perniagaannya di Brunei dan Indonesia.
"Pertumbuhan perkembangan produk SimplySiti cukup menggalakkan kerana berjaya memasuki beberapa gedung jualan terkemuka seperti Watson's, Carrefour, Guardian dan Tesco. Malah, tidak lama lagi, mungkin akan muncul beberapa produk baru.
"Barangkali ia produk penjagaan badan dan wangian," katanya memaklumkan SimplySiti bukan saja boleh digunakan wanita, tetapi juga lelaki.
Katanya, bagi tujuan promosi dan publisiti SimplySiti, pelbagai program dan aktiviti menarik dirancang.
"Antaranya, Malam Gala SimplySiti ini. Tidak dinafikan, pengguna produk SimplySiti lebih tertumpu kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT). Jadi, persembahan ini juga sebagai penghargaan kepada pengguna.
Bekerjasama dengan empat fakulti iaitu Fakulti Teknologi Kreatif & Artistik, Fakulti Pengajian Media & Komunikasi, Fakulti Muzik dan Fakulti Seni Lukis & Reka UiTM, Siti turut bergandingan dengan artis popular tanah air seperti Amy Search, Aizat, dan Ana Raffali manakala Faizal Ismail sebagai pengacara majlis.
Selain Siti selaku Presiden SimplySiti Sdn Bhd, hadir sama memberi sokongan kepada pada sidang media itu ialah suaminya, Naib Canselor UiTM, Datuk Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar dan Naib Presiden SimplySiti, Rozaina Zainul Abidin.
PROFIL
NAMA: Siti Nurhaliza Tarudin
PANGGILAN PENTAS: Siti
TARIKH LAHIR: 11 Januari 1979
USIA: 32 tahun
ASAL: Kuala Lipis, Pahang
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Datuk Seri Khalid Muhd Jiwa
KARIER: Penyanyi, penulis lirik, model iklan, usahawan, pengacara
PROGRAM TV: Citarasa Bersama Datuk Siti Nurhaliza, Siti…Hiburan dan Inspirasi
ANUGERAH/PENCAPAIAN: Antaranya Juara Bintang Hiburan Minggu Ini (1995) Juara Lagu – Jerat Percintaan (1996), Artis Baru Wanita Terbaik AIM (1997), Penyanyi Wanita Popular ABPBH, Persembahan Terbaik Juara Lagu – Aku Cinta Padamu (1997), Juara Lagu – Cindai (1998), Persembahan Vokal Terbaik AIM (1999), Bintang Paling Popular ABPBH (2000), Penyanyi Wanita Terbaik Anugerah Planet Muzik Singapura (2001), Artis Wanita Terbaik Anugerah Planet Muzik Singapura (2002), Pemenang Grand Prix Voice Of Asia di Kazakhstan (2002), Anugerah Planet Muzik Artis Wanita Terbaik (2003), Anugerah Industri Muzik Anugerah Kembara (2004), Persembahan Vokal Terbaik Wanita AIM (2006), Anugerah Planet Muzik Lagu Terbaik – Biarlah Rahsia (2007), Anugerah Malaysian Artiste Professional Award Recipient – Malaysian Professional Centre (2008), Anugerah Industri Muzik – Album Terbaik: Lentera Timur (2009), Bintang Paling Popular ABPBH (2009)
PERNIAGAAN: SimplySiti Sdn Bhd
0 ulasan:
Catat Ulasan