KEMBALI SEMULA…Juliana berlakon filem ketiga Jun ini.
WATAK Kiah, pelacur yang sering didera pelanggan dalam filem Gubra arahan Allahyarham Yasmin Ahmad antara lakonannya masih diingati peminat.
Kerana Gubra, ramai orang mula membuka mata dengan bakat besar pelakon dan pengacara remaja serba boleh, Juliana Ibrahim.
Kali terakhir, Juliana, 30, berlakon adalah dalam drama bersiri Saka dan drama realiti impian Illyana di TV3. Sebelum ini, dia pernah mengendalikan program kanak-kanak Chicky Hour (TV3), program pengembaraan Memori (RTM) dan program realiti tarian, So You Think You Can Dance (8TV).
Namun selepas berkahwin dengan jejaka dari Belanda, Pelle Aardewerk, 37, pada 2007 dan dikurniakan dua anak, Luna Alyssa, 2, dan Alaia Zahira, 1, Juliana terus berehat seketika dari bidang seni demi memberi fokus kepada rumah tangga yang dibinanya itu.
Maklumlah, sebagai isteri dia perlu berasa di sisi suaminya yang bertugas sebagai pengurus audit teknologi maklumat dan sering berulang alik dari Kuala Lumpur ke Amsterdam ketika itu. Bagaimanapun, selepas dua tahun menyepi, Juliana yang sudah menetap di Malaysia ingin kembali menyemarakkan persada seni tanah air.
Dalam satu sesi fotografi khas yang diatur bersama Rap di Studio Balai Berita, baru-baru ini, Juliana meluahkan rindunya yang mendalam pada bidang lakonan dan pengacaraan yang sudah sebati dengan dirinya sejak dulu.
"Selepas sekian lama berehat, saya percaya, sampai masanya saya kembali semula dalam bidang seni.
"Bagi memastikan karier seni dan pengacaraan berjalan lancar, saya memilih untuk bernaung di bawah pengurusan artis, Aquila Emas Sdn Bhd pada penghujung Februari lalu.
"Saya juga ingin beritahu berita baik ini kepada semua kerana ramai produser dan pengarah filem dan drama kita tidak tahu saya sudah kembali dalam bidang seni," katanya.
Juliana yang pernah berlakon dalam filem Jarum Halus berkata, dia bertuah kerana suami merestuinya untuk kembali berlakon kerana memahami minatnya.
"Walaupun sudah kembali berlakon, saya pastikan ia tidak menjejaskan tanggungjawab saya sebagai isteri dan ibu kepada dua anak kami yang masih kecil," ujar pelakon berambut cantik ini.
Sekalipun berkahwin dengan orang Belanda, Juliana tetap mendidik anak-anaknya dengan budaya timur sejak kecil.
"Mungkin orang tidak tahu suami, saya juga boleh berbahasa Indonesia dan dia juga bercakap Melayu di rumah. Saya juga bercakap Melayu dengan anak-anak kerana saya dan suami mahu pastikan anak-anak kami menguasai tiga bahasa sekali gus iaitu Melayu, Inggeris dan Belanda.
"Bukan saja cakap Melayu, saya juga selalu memasak makanan Melayu di rumah. Makanan kegemaran suami saya adalah nasi beriani dan nasi lemak.
"Anak-anak juga suka nasi dan sayur seperti ayam masak kicap dan sayur lemak," katanya.
Sesibuk manapun berlakon, Juliana mengakui tetap cari masa untuk meluangkan masa bersama keluarga di rumah.
"Kalau saya terbabit dengan mana-mana penggambaran, saya pastikan bangun awal memasak untuk anak-anak sebelum keluar rumah. Saya memang suka memasak dan suka masak sendiri untuk keluarga saya.
"Kanak-kanak selalunya susah nak makan, tetapi dua anak saya pula tidak suka makan makanan ringan, sebaliknya suka biskut oat. Kami juga ada pembantu rumah yang membantu menjaga anak-anak apabila saya keluar bekerja," katanya.
Muncul dalam filem ketiga
BERKONGSI perkembangan karier seninya, kata Juliana, dia bakal beraksi dalam filem ketiganya pula Jun ini.
"Apa yang boleh saya katakan, filem ini arahan Zahim Al-Bakri dan produser filem ini adalah abangnya, Zarul Al-Bakri.
"Saya tidak dapat mengulas lebih lanjut kerana produser sendiri akan mengadakan sidang media mengenai filem ini apabila tiba masanya nanti.
"Ini filem pertama arahan Zahim. Saya sudah kenal lama dengan Zahim sejak saya berlakon di pentas teater dulu," katanya.
Tambah Juliana lagi, dia juga rasa selesa berlakon dan mengacara, sekali gus kerana kedua-duanya cabang seni diminati sejak dulu.
"Saya akui masih banyak watak yang diidamkan dalam lakonan dan pada masa sama saya juga ingin pelbagaikan watak yang dipegang dalam drama dan filem selepas ini," katanya.
Ditanya kenapa artis ada nama sepertinya masih memerlukan syarikat pengurusan, kata Juliana, dia perlu mempunyai pengurus untuk merencana perjalanan karier seninya supaya lebih teratur.
"Terus terang, agenda saya memang padat setiap hari kerana saya juga berstatus isteri dan ibu di rumah.
"Saya perlu fokus satu projek dalam satu masa dan kalau terlepas saya pasti ketinggalan.
"Secara peribadi, saya memang sudah lama ingin bernaung di bawah payung pengurusan Aquila Emas dan baru sekarang ia kesampaian," katanya.
Juliana juga menjadi pengacara bersama dengan pelakon Zizan Nin yang juga artis Aquila Emas dalam program kecantikan Ayu & Tampan – Penyiasat Imej yang disiarkan setiap Isnin, jam 5.30 petang di TV3.
PROFIL
NAMA PENUH: Juliana Ibrahim
ASAL: Shah Alam, Selangor
TARIKH LAHIR: 5 September 1980
USIA: 30 tahun
KERJAYA: Pelakon dan pengacara
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Pelle Aardewerk, 37
ANAK: Luna Alyssa, 2 dan Alaia Zahira,1
TELEFILEM & DRAMA: Drama bersiri Saka dan drama realiti Impian Illyana di TV3
PROGRAM: Ayu & Tampan – Penyiasat Imej, program kanak-kanak Chicky Hour (TV3), program pengembaraan Memori (RTM) dan So You Think You Can Dance (8TV)
FILEM: Jarum Halus (2008), Gubra (2006)
ANUGERAH PENCALONAN: Pelakon Wanita Harapan pada Festival Filem Malaysia ke-19
# Selingan Berita Hiburan dan Isu Semasa
0 ulasan:
Catat Ulasan