"BILA besar nanti, adik nak kahwin dengan 'mummy'," itulah pengakuan naif seorang insan seni bersama Shaheizy Abd Samad (Sam) ketika masih bersekolah rendah.
Kenyataan didedahkan ibunya, Khaty Fauziah Musa, cukup membuktikan betapa Sam seorang anak yang manja dan tidak hairanlah mengapa sehingga usia 29 tahun pun dia masih mahu ditemani Khaty yang panggil 'Mummy'.
Bagi yang tidak mengenali keluarga ini, barangkali membuat andaian Sam dikawal ketat ibunya. Sedangkan ramai yang tidak tahu pemuda sinonim watak Adnan Sempit itu sendiri yang mahukan ibunya berada di sisi ke mana saja dia pergi.
Kerana kasih pada ibu, Sam menghadiahkan barangan kemas tajaan Rafflesia Pearl Centre bernilai RM180,000 yang dimenanginya atas kejayaan meraih anugerah Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010) tidak lama dulu.
Pada majlis penyerahan barangan kemas berkenaan di Holiday Inn, Glenmarie, Shah Alam, Isnin lalu, Sam memakaikan kalung edisi Primadona Klasik itu kepada ibunya.
Tambah bermakna, detik bersejarah itu dapat disaksikan penonton menerusi siaran langsung program bual bicara Wanita Hari Ini (WHI), bertema sambutan Hari Ibu.
Pengarah Rafflesia, Winnie Sin turut menjadi saksi bersama pelakon adik-beradik, Linda dan Diana Rafar serta Dynas Mokhtar, Sari Yanti serta Yatt Hamzah. Masing-masing membawa bersama anak kesayangan mereka manakala Sharifah Sakinah ditemani ibunya.
Sengaja menduga Sam, lazimnya orang lelaki akan mengutamakan kekasih hati sebelum memikirkan ibunya. Bagaimanapun, tegas Sam, tiada orang lain terbayang dalam fikirannya melainkan ibunya.
"Saya memang berniat menghadiahkan kalung ini kepadanya. Tambahan pula, 'mummy' memang pencinta mutiara. Malah sebelum menang Bintang Paling Popular tempoh hari, saya menyedari usaha 'mummy' yang sanggup membeli akhbar Berita Harian setiap hari semata-mata mahu mengundi saya.
"Jadi saya berniat, jika menang mahu hadiahkan kalung ini kepadanya. Saya mahu berkongsi kejayaan ini dengan 'mummy' kerana sejak kecil lagi saya melihat susah payahnya membesarkan kami dengan statusnya sebagai ibu tunggal," katanya yang kematian bapa, Abdul Samad Jaaman pada 9 April 1995.
Anak bongsu daripada lima beradik dan tinggal bersama ibunya mengakui dia bukan jenis individu yang menyambut Hari Ibu kerana percaya seorang anak harus membahagiakan ibunya setiap hari.
"Terus terang saya tidak pandai membelikan orang hadiah termasuk untuk 'mummy'. Satu lagi alasan saya tidak suka membelanjakan sesuatu yang orang lain tidak suka.
"Kalau 'mummy' ingin membeli sesuatu, saya akan bagi duit dan biarkan 'mummy' memilihnya. Yang penting, dia gembira," katanya.
Jarang berselisih faham dengan ibunya, Sam mengakui dia memang bimbang jika perkara itu berlaku kerana dia sendiri akan menjadi murung apabila mengetahui hati ibunya terluka.
Bahkan, jujur Sam mengatakan dia tidak pernah terbayang andai satu hari mendirikan rumah tangga dan tinggal berasingan dengan ibunya.
"Saya tidak pernah terfikir atau terbayang apabila berkahwin kelak, 'mummy' tidak tinggal bersama lagi. Saya faham kebanyakan wanita tidak boleh menerima mentua tinggal sebumbung dan itulah yang membuatkan saya agak memilih dalam soal jodoh.
"Wanita yang mahu bersama saya perlulah menerima 'mummy' dan bersama-sama menjaganya. Selain menghormati 'mummy', wanita itu juga perlu ringan tulang," katanya.
Apabila diminta komennya mengenai kelakuan remaja yang semakin hari semakin meminggirkan ibu bapa sehingga ada tergamak mencederakan ibu bapa, Sam yang memegang watak ganas dalam filem Kongsi arahan Farid Kamil, tidak menafikan
ada remaja memberontak.
Katanya, mungkin ini disebabkan ibu bapa mereka masih dibelenggu cara pemikiran orang dulu-dulu yang tidak mengikut peredaran zaman.
"Dalam hal ini, saya sangat beruntung mempunyai ibu yang cukup memahami dan 'sporting'. Pun begitu, sebagai anak tidak kira apapun kita perlu menghormati ibu bapa.
"Saya percaya kalau anak pandai memainkan peranan mereka dan meminta sesuatu secara berhemah, tiada ibu bapa yang akan marah. Saya selalu berterus terang mengenai apa saja yang dilakukan kepada 'mummy'.
"Seperkara yang harus diingat, sementara orang tua kita hidup hargailah sebelum mereka tiada. Waktu itu, menyesal pun sudah tidak berguna," katanya.
Selain Kongsi yang menjengah pawagam sejak semalam, Sam juga memegang watak aksi dalam filem 8 Jam mengenai kisah penjenayah sebelum dijatuhkan hukuman gantung. Filem lain yang sudah siap dan menanti tayangan ialah Sekali Lagi berpasangan dengan Lisa Surihani, Aku Ada Kamu Ada, Bini-Biniku Gangster, Adnan Sempit 2, Aku Bukan Tomboy dan Songlap.
Mewarisi bakat lakonan dari ibunya, Sam bangga kerana adik-beradiknya yang lain turut menceburi dunia seni apabila kakaknya, Zizie Ezette mula berlakon ketika usia 14 tahun. Begitu juga Samzy Fuzette manakala Ahmad Shah Al-Jeffry (Jeff) lebih dikenali sebagai penyanyi dengan menganggotai kumpulan A To Z. Hanya kakak sulung, Jozieta Ronalie tidak berminat dengan dunia seni.
Apabila kerjaya lakonan kini berada di puncak, jejaka Virgo ini ingin menyambung minatnya dalam nyanyian yang sudah diceburi sejak dulu bersama kumpulannya, MOB.
Meski hanya satu single yang bakal dimuatkan sebagai runut bunyi filem Aku Ada Kamu Ada, ia dilihat sebagai permulaan untuknya mejayakan cita-citanya sebagai penyanyi.
"Antara lakonan dan nyanyian, cita-cita utama saya dulu mahu jadi penyanyi, tetapi rezeki lebih berpihak pada lakonan. Saya juga tidak pernah tahu yang saya boleh berlakon.
"Sampai sekarang minat menghasilkan 'single' ada, tetapi saya terlalu sibuk. Memandangkan Aku Ada Kamu Ada, Sam dan Yana diminta menyanyikan lagu tema, maka jadilah rakaman lagu ini.
"Diterbitkan Ajai, saya gementar juga saat merakamkannya walaupun berada dalam studio bukan perkara baru buat saya. Tetapi disebabkan sudah lama, saya sedikit cuak," katanya mengambil masa kurang tiga jam merakamkan lagu itu.
PROFIL
NAMA SEBENAR: Shaheizy Sam Abd Samad
TARIKH LAHIR: 4 September 1982
ASAL: Kuala Lumpur
UMUR: 28 tahun
BINTANG: Virgo
KERJAYA: Pelakon
ANTARA TELEFILEM/ DRAMA BERSIRI DISERTAI: Pa'e, Sama Tak Serupa, Graduan, Impak Maksima, KL Menjerit, Jangan Pandang Belakang 2, Legasi 43 Karat
FILEM: Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Evolusi KL Drift 2, Adnan Sempit, Jangan Pandang Belakang Congkak, Syurga Cinta, Kongsi, 8 Jam, Kongsi, Sekali Lagi, Aku Bukan Tomboy, Songlap, Aku Ada Kamu Ada dan Adnan Sempit 2.
PENCAPAIAN: Pernah dicalonkan di Festival Filem Malaysia Ke 22 (2009) – kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam filem Bohsia, Pelakon Lelaki Paling Popular Anugerah Berita Harian 2010, Bintang Paling Popular Anugerah Berita Harian 2010.
0 ulasan:
Catat Ulasan