Aliff Aziz kini muncul dengan album ketiganya berjudul, 'Aliff Aziz'. Walaupun masih mengekalkan konsep Pop seperti mana album-albumnya yang terdahulu, namun album terbitan Sony Music ini menampilkan sisi kematangan Aliff yang sudah lima tahun berkecimpung dalam bidang seni muzik.

"Album pertama dan kedua menyaksikan saya masih mencari identiti sebenar di mana saya memuatkan pelbagai jenis genre lagu dalam album lalu. Walaupun masih menetapkan arah tuju yang sama iaitu Pop bagi album terbaru ini, namun untuk menunjukkan kematangan, saya turut menyelitkan unsur Balada dalam album ini," ujar Aliff ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbarunya di The Bee Publika, Solaris Dutamas, petang tadi.

Aliff Aziz

Album yang diterbitkan oleh Zimi Sofazr dan Azlan Abu Hassan telah pun berada di pasaran sejak 20 Mac lalu ini memuatkan sebanyak 10 buah lagu antaranya Jangan Ganggu Pacar Ku, Cinta Ya Cinta, Hanya Lagu, Sudah Nasib Ku, Cinta Dusta, Setiap Detik, Nada Cinta dan Dilema Cinta (menampilkan Hao Ren) termasuklah dua lagu berbentuk 'minus one'.

"Saya kini terlibat dengan bidang lakonan jadi ini merupakan satu cabaran baru buat saya. Saya kena jaga waktu di studio dan juga di lokasi penggambaran. Tidak dinafikan, saya memang rasa penat sangat, namun alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Saya bersyukur kerana akhirnya saya berjaya menyiapkan segala proses rakaman lagu dan klip video dalam masa tiga minggu lebih saja."

Ditanya tidakkah tiga minggu terlalu cepat untuk menyiapkan sesebuah album di mana tidak seperti artis lain yang mengambil masa bertahun-tahun untuk menghasilkan album, Aliff memberitahu, "Dulu masa album pertama, saya hanya mengambil masa selama 12 hari saja untuk menyiapkan album saya. Saya terpaksa bekerja keras dari pagi hingga lewat malam setiap hari, untuk menyiapkannya. Walaupun nampak agak terburu-buru, namun tidak bermaksud saya tidak mementingkan kualiti untuk album saya. Saya amat berpuas hati dengan hasilnya dan saya harap peminat dapat menerima album terbaru saya ini."

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top