Sesiapa warga Johor yang ingin menjadi pelakon, ada berita baik untuk anda.

Warga Johor berusia antara lima hingga 50 tahun berpeluang menceburi dunia seni dengan menjadi pelakon tambahan dalam filem seram 'Aku Akan Muncul', apabila penggambaran dilakukan di Gunung Ledang dekat sini, September ini.

Pengarah filem, K Roy, 36, berkata filem terbabit akan memulakan penggambaran awal September ini dan mereka kini mencari 150 bakat baru termasuk kanak-kanak hingga golongan dewasa di negeri ini.

Menurutnya, individu terpilih akan diberi latihan kelas lakonan percuma bagi memantapkan lakonan mereka sekali gus memastikan mereka mampu menjiwai watak diberikan kelak.

"Memandangkan cerita itu mengisahkan kehidupan di perkampungan Melayu pada tahun 70-an dan kehidupan moden, pelbagai watak ditawarkan kepada pelakon tambahan termasuk gadis kampung, wira kampung, kanak-kanak, ibu bapa dan kumpulan pelajar.

"Ia menjadi peluang keemasan bagi individu terpilih kerana bakal berlakon bersama artis terkenal seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Zaibo, Kuswadinata, Musli Ramli, Cham Raja Lawak, Maimon, Zulkifli, Aida Aris, Aiman Hakim, Izara dan Sheila Mambo," katanya.

Roy berkata, tujuan utama pihaknya memiliki Gunung Ledang kerana ia menjadi lokasi sesuai mampu mengembalikan nostalgia kehidupan pada tahun 70-an selain mempunyai pelbagai tarikan semula jadi dan secara tidak langsung mempromosikan kawasan riadah itu.

Menurutnya, filem seram terbitan RM Vision Film Production itu mengisahkan sumpahan seorang gadis kampung yang cantik dan berlarutan hingga puluhan tahun.

"Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 017-7361770 atau 013-2620914," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Redfires Film Production di Taman Impian Emas di sini, baru-baru ini.

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top