Usai sudah segala episod kelam yang menemani sepanjang setahun menjalin cinta dan apa terbentang kini adalah laluan kebahagiaan yang akan dilakar bersama pasangan pengantin berbeza negara, atau BCL.

Seperti pasangan lain yang mengimpikan ikatan perkahwinan yang disempurnakan di Masjid Al Bina, Senayan, Jakarta petang Sabtu lalu kekal hingga ke akhir hayat, Ashraf dan BCL juga mendoakan cinta mereka sentiasa ditemani bahagia berpanjangan.

Titisan air mata BCL yang mula dikenali dengan lagu Cinta Pertama (Sunny) dipetik daripada runut bunyi filem lakonannya, Cinta Pertama saat dahinya dikucup Ashraf usai upacara pernikahan menterjemahkan kesediaannya untuk melayari fasa baru dalam kehidupan mereka berdua.

Upacara pernikahan yang berlangsung mengikut adat Padang, dengan sekali lafaz gadis yang berasal dari Bukit Tinggi, Sumatera itu selamat bergelar isteri kepada Ashraf.

Majlis akad nikah pasangan selebriti yang pernah mencipta kontroversi apabila rakaman foto mereka bercium ketika bercuti di Bali tersebar di internet tidak lama dulu itu disempurnakan Pegawai Pejabat Agama Daerah Tanah Abang, Ashras Syahroni.
DETIK mendebarkan sebelum bersatu sebagai suami isteri.

Bergaya sedondon dalam persalinan putih, acara bersejarah itu turut disaksikan ibu bapa Ashraf, Mohamed Sinclair dan isterinya, Khadijah Abdul Rahman bersama rombongan pihak lelaki seramai 50 orang.

BCL yang mengenakan rekaan pereka pakaian pengantin tersohor Indonesia, Anne Avantie ditemani ibu bapanya, Muchlis Rusli dan Emmy Syarif serta ratusan ahli keluarga terdekat.

Pada acara yang berlangsung kira-kira jam 4 petang waktu Indonesia itu, Ashraf menyerahkan anting-anting bertatahkan berlian 1.5 karat sebagai mas kahwin berserta 25 dulang hantaran. Berlangsung penuh adat, majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada keluarga pengantin perempuan menyambut kedatangan keluarga pengantin lelaki dari Kuala Lumpur untuk menyempurnakan upacara bersejarah itu.

Selesai mengambil tempat, majlis diteruskan dengan bacaan selawat dan satu juzuk Al-Quran disusuli khutbah nikah.
KUCUPAN Ashraf untuk isteri tercinta.

“Rasa antara percaya dan tidak kini saya sudah bergelar isteri kepada Ashraf. Alhamdulillah, semuanya selamat dan berjalan sempurna,” kata BCL yang ditemui media selesai upacara akad nikah.

Kini mahu dikenali sebagai BCLS, dia menyifatkan anting-anting berlian yang diterimanya sebagai mas kahwin itu menjadi pengikat kasih sayangnya dengan Ashraf untuk selamanya.

“Mas kahwin ini boleh dipakai di mana saja apabila saya mahu. Menggayakannya akan membuatkan saya sentiasa teringat kepada janji suci yang diucap ketika kami berdua membina hidup baru,” kata BCL lagi.

Ashraf yang semakin selesa membina karier seni di Jakarta, malah bakal menetap di ibu negara Indonesia itu selepas selesai segala urusan persandingan mereka mengakui tidak dapat menyembunyikan perasaan debar ketika menanti saat diijab kabul.

“Tadi saya gementar sangat, dari awal sampai akhir. Untung semuanya berjalan lancar,” katanya.

Tambah Ashraf, dia cukup bahagia apabila menatap wajah isterinya yang disolek cantik hasil sentuhan mekap artis terkenal Indonesia, Mia.

“Biasanya dia cantik untuk menghibur orang lain. Sekarang saya bahagia kerana dia berhias khusus untuk saya. Ia cukup menyenangkan,” katanya tersenyum.

Merahsiakan rencana bulan madu mereka, namun ibunya memberitahu anak kesayangannya itu ingin sekali menikmati keindahan Kepulauan Maldives, BCL dan Ashraf menyerahkan kepada Allah apabila ditanya mengenai cahaya mata.

“Kami tidak meletakkan sasaran, jika diberikan Allah cepat, kami terima,” kata BCL.

Malam tadi, pasangan pengantin baru itu diraikan pula pada majlis persandingan yang diadakan di Grand Ballrom Hotel Sultan.

Acara dimulakan dengan tarian gelombang ditemani paluan gendang tambui mengiringi langkah mempelai ke pelamin yang dihias indah.

Ketika tetamu enak menikmati makan malam, suasana romantis yang menemani detik istimewa itu diserikan lagi dengan persembahan hiburan oleh artis terkenal dijayakan Afgan, Vina Panduwinata dan Krisdayanti.

BCL turut mengalunkan lagu Aku Dan Dirimu, duetnya bersama Ari Lasso sebagai tanda rasa cintanya kepada Ashraf.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top