Bangkit daripada kritikan terhadap naskhah Cicakman yang didakwa kurang serius dan tanpa jiwa, produksi sekuelnya berjudul, Cicakman 2 - Planet Hitam (Cicakman 2) menerima suntikan emosi.

Bayangkan watak Cicakman lakonan pelakon komedi tersohor negara, Saiful Apek mengalirkan air mata. Aneh? Tidak lagi menerusi Cicakman 2 yang bakal menemui khalayak menjelang 11 Disember ini.

Mungkin ia kelainan yang mahu ditonjolkan kali ini. Namun, persoalannya bukankah Cicakman sebelum ini sudah diterima ramai sebagai filem adiwira aksi komedi berdasarkan kutipan keseluruhannya yang mencecah RM5.15 juta hasil tayangan di pawagam-pawagam Malaysia pada 2006?


Justeru, tidakkah suntikan emosi itu bakal menjadikan karya kedua arahan Yusry Abdul Halim ini agak bercelaru dalam konteksnya sebagai filem adiwira aksi komedi?

Dan bagaimana pula sambutan penonton terhadap Cicakman 2 nanti yang sudah terbiasa dengan karektor gila-gila dan kelakar menerusi Cicakman sebelum ini?

"Saya akui dalam Cicakman 2 sememangnya dikurangkan elemen komedi dan disuntik dengan elemen emosi dengan penekanan diberi terhadap penjiwaan watak-watak, terutama watak utamanya, Hairi/Cicakman yang digali dalaman jiwanya," jelas Yusry saat ditemui pada majlis tayangan perdana Cicakman 2 di Damansara baru-baru ini.


Namun menurutnya, pengurangan elemen komedi dalam Cicakman 2 tidak dibuat secara begitu sahaja tetapi ia sebenarnya diimbangi dengan penambahan lebih banyak elemen aksi.

"Kami sengaja menyuntik elemen emosi yang diterapkan menerusi skrip filem ini berikutan reaksi penonton dan kritikan terhadap Cicakman sebelum ini yang dikatakan banyak mengandungi elemen komedi slapstik, tanpa jiwa dan kurang serius.

"Reaksi yang kami dapat ialah ramai yang mahukan supaya adiwira digambarkan lebih serius, dan hasilnya ialah menerusi Cicakman 2 ini, kita boleh lihat watak Hairi lakonan Saiful Apek yang juga Cicakman, lebih beremosi," jelas Yusry yang bagaimanapun mengakui pembikin filem sepertinya tidak akan dapat memuaskan hati semua pihak.

SEKUEL kedua Cicakman lebih menjentik emosi khalayak.

Dalam pada itu katanya, walaupun Cicakman kali ini menggali jiwa watak utamanya itu, tetapi sifat-sifat asalnya yang gelojoh misalnya tetap diselitkan pada babak-babak yang bersesuaian.

KERJA keras Yusry sebagai pengarah menyerlahkan sisi kejayaan buat filem adiwira Malaysia ini.



"Justeru, kali ini menerusi skrip dan penerangan ringkas kepada Apek, kami ingin menonjolkan sisi lain dirinya dari segi lakonan.

"Apek memang pelawak dan dia ada cara lawaknya yang sudah diterima ramai, tapi menerusi Cicakman 2, Apek membuktikan dia juga boleh berlakon sesuatu yang belum pernah dilakonkannya," ungkap Yusry melihat dirinya sebagai masih di peringkat pembelajaran dalam menghasilkan produk-produk lebih bermutu pada masa hadapan.

Profesor Klon iras Saddam Hussein

Tidak sah menyentuh persoalan tersebut tanpa pandangan dua pelakon watak penting Cicakman 2, Saiful Apek dan Aznil Nawawi yang sekali lagi diberi tanggungjawab menghidupkan watak antagonis utama, Profesor Klon.

Apatah lagi bukan sahaja watak Hairi/ Cicakman yang digambarkan dilanda emosi, tetapi juga watak Profesor Klon.

Cuba bayangkan Profesor Klon yang sering muncul glamor menerusi pelbagai kostumnya yang berwarna-warni dalam Cicakman, tetapi sebaliknya menerusi Cicakman 2, hampir separuh daripada kemunculannya adalah dengan imej selekeh, malah saling tidak tumpah seperti bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein.

Mengulas mengenai kelainan wataknya kali ini, Apek dalam nada serius mengakuinya, "Saya merasakan kelainannya kali ini dan ia menunjukkan sisi sebenar watak Hairi di sebalik perangainya yang gila-gila itu."

Namun tegasnya, perubahan watak Hairi itu bukan secara membabi-buta, tetapi bersebab.

"Emosi dalam diri Hairi menjelma disebabkan kesedihan yang dialaminya selepas kematian rakan baiknya, Danny (lakonan Yusry) menerusi Cicakman.

"Malah, Hairi juga menjadi lebih matang kerana perlu memikul tanggungjawab merealisasikan wasiat arwah Danny yang meminta Hairi menjaga ibu dan adik perempuannya yang buta, Iman (dilakonkan oleh Sharifah Amani)," jelasnya.

Tambah Apek, biarpun terpaksa mengurangkan darjah lakonan lawaknya menerusi Cicakman 2, dia mengakui masih selesa melakonkan wataknya kali ini.

"Ini cabaran baru buat saya, kerana perlu mengawal lakonan saya supaya tidak kelakar seperti lazimnya," ungkap Apek.

Sementara Aznil pula mengakui wataknya lakonannya, Profesor Klon sedikit 'diredupkan' pada babak-babak awal Cicakman 2 bagi menggambarkan dirinya yang berada dalam buangan.

"Memang ada orang kata, wajah Profesor Klon ketika dalam buangan seiras Saddam Hussien," ujarnya.

Ditebak adakah dia puas melakonkan watak itu yang kali ini, kata Aznil, "Saya puas melakonkan watak itu, cuma saya khuatir penonton pula yang tidak puas tengok Profesor Klon kali ni berbanding Profesor Klon yang lebih banyak berdandan glamor dalam Cicakman."

Menyentuh mengenai elemen emosi yang disuntik ke dalam Cicakman 2, Aznil menegaskan dia tidak melihatnya sebagai suatu risiko terhadap penerimaan penonton yang sudah biasa dengan Cicakman yang lebih banyak mengandungi elemen komedi itu.

"Memang ada elemen drama menerusi Cicakman 2 tetapi saya melihatnya sebagai percubaan baru dalam memikat penonton, sepertimana percubaan yang dibuat menerusi apa yang ditampilkan menerusi Cicakman yang kemudiannya berjaya menarik minat mereka," ucap Aznil.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top