Album sulung juara One In A Million musim kedua (OIAM 2), Norayu Damit atau Ayu berjudul Inspirasi sudah pun berada di pasaran.

Memuatkan sembilan buah lagu, ia menampilkan gabungan komposer baru dan lama dalam menyalurkan sesuatu yang segar terhadap album berkenaan.

Mereka terdiri daripada Aubrey Suwito, Azlan Abu Hassan, Shazee, Eka Shreen, Ajai, Audi Mok, Ashroff Shariff, Anton Morgan, Lady Dee, Tesh RS, Azalea, Nur Fatima, Slen dan Ireani Yaacob.

Bagi Ayu, penantiannya selama setahun dirasakan cukup berbaloi kerana Inspirasi muncul dengan hasil yang sangat menggembirakannya.

Sembilan buah lagu yang terkandung dalam Inspirasi adalah Inspirasi Abadi, Ku Peluk Dunia, Hanya Di Mercu, Cinta Dan Hidup, Menjadi Ayu, Ku Miliki Abadi, Hanya Kita, Alam Asmara dan Janji Kita.

“Awalnya, ada 13 buah lagu yang dirakam tetapi sembilan yang terpilih untuk dimuatkan dalam Inspirasi.

“Ayu rasa puas dengan apa yang dilakukan oleh Monkey Bone dan The8unit. Inspirasi banyak berkaitan dengan kehidupan Ayu,’’ ujar Ayu ketika ditemui pada majlis pelancaran Inspirasi di ibu negara, baru-baru ini.

Katanya, album itu mempunyai sembilan buah track yang mewakili sembilan pihak yang cukup dihormatinya sepanjang bergelar anak seni.

Mereka ialah ibu bapanya, Pengarah Monkey Bone, Ahmad Izham Omar, Monkey Bone, The8unit, kalangan komposer, penulis lirik, media, rakan-rakan serta kelab peminat Ayu.

“Proses rakaman Inspirasi bukanlah semudah yang Ayu sangkakan. Banyak perkara perlu diambil secara serius.

“Ciri-ciri lagu pun perlu tepat dengan diri Ayu. Namun Ayu gembira kerana diberikan ruang untuk menyalurkan idea.

“Apabila album sudah siap, Ayu sendiri pergi menyaksikan proses pembikinan album di kilang. Memang Ayu menangis dan gembira sangat,’’ kata Ayu.

Ditanya pengalaman-pengalaman pahit manis semasa rakaman Inspirasi, Ayu berkata, kenangan yang sukar dilupakannya adalah berkaitan dengan proses rakaman lagu berjudul Cinta Dan Hidup.

“Ayu terpaksa merekodnya sebanyak empat kali. Lagu berjudul Ku Miliki Abadi juga agak susah untuk dirakamkan.

“Ini kerana abang Azlan (Azlan Abu Hassan) amat mementingkan vokal dan kualiti. Ayu suka tukar-tukar melodi tapi abang Azlan mahukan Ayu ikut bulat-bulat demo yang diberikan.

“Alhamdulillah, biarpun susah, lagu itu siap dirakamkan dalam tempoh sehari sahaja. Tidak susah bekerja dengan abang Azlan,’’ jelas Ayu yang kini semakin feminin dalam aspek berpakaian hasil transformasi yang dilakukan oleh Monkey Bone serta The8unit.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top