Gara-gara 'adegan mesra' Dia Isteri Luar Biasa, Fathia akur penggambaran semula

Pelakon, Fathia Latiff menghormati dan memahami sensitiviti penonton terhadap adegan mesra antaranya dengan Shukri Yahaya dalam drama Dia Isteri Luar Biasa (DILB).

Gadis berusia 28 tahun itu enggan melatah dengan tohmahan negatif yang dilemparkan terhadap drama bersiri itu dan meminta maaf menerusi akaun Instagram.

"Buat kali pertama saya berhadapan dengan situasi begini sehingga diarahkan untuk 'reshoot' semula beberapa adegan di dalam drama.

"Selain mempunyai komitmen untuk drama bersiri lain, saya terpaksa mencuri masa untuk berkejar ke lokasi DILB ini. Namun saya memahami situasi ini sepenuhnya dan menghormati sensitiviti penonton.

"Bagi saya, penonton mempunyai pandangan dan pendapat tersendiri. Namun saya memandang positif perkara ini kerana ada betulnya juga kata-kata mereka itu," tegas Fathia.

Fathia yang kini terikat dengan komitmen produksi lain terpaksa meminta pelepasan untuk menjalani penggambaran semula beberapa adegan DILB.


Tambah Fathia, banyak pihak yang memberikan sokongan padu bagi menjayakan penggambaran semula beberapa adegan DILB.

"Ramai yang tidak tahu kerumitan di sebalik tabir 'reshoot' DILB ini. Ia menjadikan drama ini benar-benar luar biasa.

"Alhamdulillah penulis novel turut turun padang bagi membantu untuk menambah semula beberapa adegan yang dirasakan perlu diperbaiki," katanya.

Drama bersiri DILB yang ditayangkan di slot Akasia TV3 mengundang reaksi pelbagai pihak kerana didakwa tidak bermoral dan menggalakkan maksiat. Drama itu yang dijadualkan untuk bersiaran sebanyak 28 episod itu dipendekkan menjadi 26 episod. ~ BH

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top