Prolog
Gabenor Melaka (Lord Arthur Barring) pada 1847 mahukan sesuatu untuk diingati oleh generasi seterusnya. Beliau melantik seorang pembuat jam untuk mencipta sekeping setem. Tetapi setem tersebut ditertawakan oleh Gabenor India kerana terdapat kesilapan. Lord Arthur Barring marah lalu membuang setem tersebut, yang kemudiannya dikutip oleh cucunya….
Tahun 2008
Charles Barring IV mengadakan sidang akhbar di Kuala Lumpur. Beliau mempamerkan warisan keluarganya, Setem Barring. Setem Barring melalui perjalanan yang panjang dan kini kembali ke bumi Melaka, di mana ia dihasilkan. Ianya akan dipamerkan di Muzium Melaka. Sid dan Joe menghadiri sidang akhbar itu, dengan tujuan mahu mencuri setem yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit. Sebenarnya, Pak Ramli yang memaksa Sid dan Joe mencuri setem tersebut. Mahu tidak mahu, Sid dan Joe terpaksa melakukannya kerana budi Pak Ramli yang menjaga mereka di rumah anak yatim tersebut.
Namun, bukan hanya Sid dan Joe yang mahukan setem itu. Piranha Lim, seorang ketua kumpulan Ah Long juga berminat. Begitu juga dengan Vellu yang bekerja sebagai pemandu di syarikat keselamatan yang akan membawa setem tersebut ke muzium.
Masing-masing merancang untuk mendapatkan setem tersebut. Malangnya bukan semudah itu untuk mendapatkan setem tersebut. Oleh kerana begitu banyak perancangan yang dilakukan untuk setem tersebut, keadaan menjadi kacau-bilau. Setem tidak sampai ke tangan Sid & Joe, Piranha Lim mahupun Vellu. Ianya singgah di tangan Aryanto, seorang pendatang tanpa izin yang tidak mengetahui apa-apa. Aryanto membawanya ke rumah kongsi Marcello. Malangnya sekali lagi setem tersebut singgah ke tangan orang lain pula iaitu Iskander, pemuda buta yang juga tidak mengetahui apa-apa tentang setem tersebut. Yasmin, kakak Iskandar yang ternampak setem tersebut, lalu menampalnya pada surat permohonan untuk membiayai pembedahan mata Iskandar.
Siapakah yang memilikinya? Apa pula berlaku kepada mereka semua? Tontonlah‘SETEM’ di pawagam berhampiran anda…..
Filem komedi aksi arahan Kabir Bhatia ini dibintangi Afdlin Shauki, Rashidi Ishak, Que Haidar, Vanidah Ibrahim, Isma Yusoof, Bront Palarae, Chew Kin Wah, Sathiya dan Indi Nadarajah, dibantu oleh Datuk Aziz Sattar, Harun Salim Bachik, Diana Danielle, Adam Corrie, Richard Gardner serta penampilan istimewa Aziz M. Osman dan Jalaluddin Hassan.
Laman web: http://www.setemmovie.com/
0 ulasan:
Catat Ulasan