SEBAIK saja muncul naib juara pertandingan realiti TV popular, Akademi Fantasia 8 (AF8), kerjaya seninya dilihat meluncur laju. Malah sewaktu beraksi di konsert final ramai yang meletakkan harapan tinggi gadis berasal dari Ranau, Sabah itu akan muncul sebagai juara.
Sekalipun tewas di tangan Shahir, ia bukan halangan buat Adira untuk terus melangkah dan mencipta nama. Berkat kesungguhan dan kerja keras single pertamanya, Ku Ada Kamu layak bertanding pada final di Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL25), awal Januari lalu. Bukan itu saja namanya turut tersenarai dalam dua kategori Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH 2010) iaitu Artis Baru Wanita Popular dan Penyanyi Wanita Popular.
Ditemui pada sesi fotografi khas sempena kelahiran Harian Metro Edisi Sabah, Adira tidak putus-putus mengungkapkan kata-kata syukur dan berterima kasih kepada peminat yang selama ini menyokongnya.
“Bagaimanapun saya anggap apa yang berlaku satu titik permulaan untuk melangkah. Banyak lagi perkara perlu saya lakukan termasuklah bekerja keras kerana saya mahu berikan yang terbaik buat semua,” katanya.
Selain itu, Adira tidak menafikan hidup sebagai artis bukan mudah kerana banyak pancaroba terpaksa diharungi. Selain memastikan mutu vokal mantap sewaktu beraksi, penyanyi berdarah Kadazandusun ini juga harus berhadapan dengan pelbagai gosip yang tempias ke arahnya.
“Saya faham gosip asam garam dunia hiburan. Ia boleh memberi kesan kepada seseorang artis dan kalau boleh biarlah peminat saya kenal saya dengan cerita-cerita positif bukan yang menjatuhkan maruah mahupun keluarga,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai perkara itu jelas Adira, paling membimbangkan dirinya apabila timbul dakwaan dia membawa lelaki pulang ke rumah dan bermalam, selain gosip menjalin hubungan cinta dengan Shahir.
“Kalau setakat gosip bercinta, saya masih boleh terima dan anggap ia perkara biasa tetapi kalau sampai membawa lelaki pulang ke rumah, ia tuduhan melampau.
“Pada saya bukan saja menjatuhkan maruah saya tetapi juga keluarga. Tentulah ibu bapa menjadi orang yang paling sedih. Kalau orang sudah mula memandang serong, tentu saya kena betulkan keadaan,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan