Rosman: Eh! Kau ambil cuti yek? Pergi mana?

Yusri: Ha’ah, balik kampung.

Rosman: Ooo … balik Perak. Ada apa! Tiba-tiba je balik kampung, kan ke baru aje kau balik?

Yusri: Jenguk orang tua …. Mak aku tinggal sorang kat kampung tu.

Rosman: Sakit ke?

Yusri: Tak! Cuma sekarang ni duduk kampung sendiri dah tak seronok … takut memanjang!

Rosman: Takut apa pulak?
Yusri: Budak-budak kampunglah … banta barut!!

Rosman: Banta barut?! Eh! … dah nak bersalin ke?

Yusri: Isy!! Kau ni merepeklah. Mak aku dah tua tau!! Lagipun dia dah tak ada laki … bapa aku dah lama meninggal!

Rosman: He he he he …. Kau ni pun satulah!! Bukanlah dia! Tapi bini kau tulah … cepat betul masa berjalan, kan? Rasanya kau baru aje kahwin …. tup, tup dah nak bersalin, bunting pelamin ke?!

Yusri: Hoi! Kau ni merepek apa laa? Bini aku mengandung pun belumlah!!

Rosman: Bukan ada yang nak bersalin ke?

Yusri: Kenapa kau kata ada yang nak bersalin?

Rosman: Yang kau balik kampung tu?

Yusri: Apa pulak sangkut-paut aku balik kampung jenguk emak dengan orang bersalin? Tak faham aku …. Mamai ke, apa kau ni? Kau makan ubat yek?!

Rosman: Ada pulak kata orang mamai …. Tadi kau sendiri yang cakap, kau balik kampung ambil bantal dan barut, betul tak?!

Yusri: Bantal dan barut?

Rosman: Ha laa … bantal dan barut ni selalunya orang cari bila isteri nak bersalin. Baby kena pakai barut … kalau tak, senang kena kembung!!

Yusri: Eh! Mana kau tau semua ni? Kahwin pun belum ….

Rosman: Aku sendiri tak taulah sebab aku kahwin pun belum, hehehhhe … tapi aku tengok dulu masa emak aku nak bersalinkan adik-adik aku, memang sebelum bersalin tu kena sediakan bantal yang kecil-kecil dan barut.

Yusri: Ah! Itu dulu …. Orang zaman sekarang dah tak pakai barut lagi ... panas!!

Rosman: Habis tu … yang kau balik kampung sebab nak cari barut tu, buat apa pulak?!

Yusri: Bila pulak aku nak cari barut? Kan aku dah cakap tadi, aku balik kampung jenguk emak aku yang tinggal sorang tu … bukan cari barut!

Rosman: Yang kau kata nak cari bantal barut tadi tu?? Aku dengarlah!!

Yusri: Memanglah kau dengar … tapi salah dengar!! Lain kali dengar baik-baik!! Aku bukan cakap bantal dan barut, tapi aku cakap banta barut!!

Rosman: Eh!! Samalah tu, kan?!

Yusri: Tak samalah!! Banta barut ni maknanya orang tak berguna, kerja menyusahkan orang aje … sampah masyarakat!! Orang sekarang ni kata, hampeh!!

Rosman: Siapa yang macam tu??

Yusri: Orang muda kampung sekarang dah ramai yang macam tu, … banta barut, menyusahkan mak bapak, menyusahkan orang keliling!! Dulu tak ramai yang macam ni, sekarang ni dah ramai yang ambik dadah … bila dah berdadah, minta duit kat mak bapak, kalau tak dibagi … tu yang pecah rumah orang. Habis rumah orang kena selongkar … ayam, itik ternakan pun licin, sampai ayam mengeram pun kena curi!!

Rosman: Masalah ni dah merata … bukan kampung kau aje.

Yusri: Emak aku tu dah jadi macam trauma …. Minggu lepas masa dia sapu sampah kat laman, datang sorang budak muda tiba-tiba ragut rantai leher dia. Tu yang kami adik-beradik bergilir-gilir balik kampung untuk bagi semangat balik kat dia. Ajak duduk dengan anak dia tak mau.

Rosman: Isy! Dahsyat tu … itu dah kes ragut. Emak kau tak cedera ke?

Yusri: Nasib baik rantai tu emas tiruan dan kecil pulak, senang le putus masa ditarik. Yang jadi lagi tak seronoknya tu …. Budak tu orang kampung tu juga!!

Rosman: Kenal le yek?!

Yusri: Bukan setakat kenal je … emak bapaknya pun kita kenal!!

Rosman: Adu le kat mak bapak dia.

Yusri: Dah! Tapi dah jenis banta barut, mak bapak pun dah tak boleh nak buat apa lagi dah!!

Rosman: Hisy!! Seram aku dengar … dulu kat Bandar aje keadaan macam ni, sekarang kampung kat pun dah tak selamat.

Mewah Bahasa: Banta baru
Bersama Prof Madya Dr Nor Hisham Osman

GOSARI; Dialek Perak
Banta barut: Orang tak berguna, sampah masyarakat

Nota Kaki
Kolum Mewah Bahasa memperlihatkan adanya beberapa cara untuk menyampaikan sesuatu konsep yang sama dengan perkataan berbeza disebabkan perbezaan slanga, dialek, taraf sosial dan generasi. Dialog menggunakan dialek dan juga bahasa pertuturan yang mungkin tidak sama dengan tatabahasa baku. Prof Madya Dr Nor Hisham Osman adalah Pensyarah Jabatan Linguistik, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top