Jika ada yang berpendapat bahawa irama nasyid sudah semakin pudar, sila buang tanggapan itu jauh- jauh kerana muzik ini sebenarnya masih mempunyai pengaruh yang kuat di negara ini. Buktinya, konsert Maher Zain baru-baru ini mendapat sambutan yang cukup hangat apabila semua tiket habis dijual.
Justeru itu, atas dasar yakin dan percaya bahawa irama ketuhanan dan keislaman masih ada pengikutnya, Out of This World Sdn Bhd (O2TW) sekali lagi menganjurkan Islamic Song Festival yang akan diadakan pada 30 April dan 1 Mei hadapan. Festival selama dua hari ini akan berlangsung di Dewan Plenary, Kuala Lumpur Convention Centre, mulai jam 8 malam.
Menurut Pengarah O2TW, Afizah Ismail, pihaknya terpanggil untuk menganjurkan acara muzik ini sekali lagi kerana peka dan dengan perubahan cita rasa muzik di kalangan remaja. Bukan saja di Malaysia tetapi di seluruh dunia yang lebih menggemari genre muzik terkini.
Selain itu, penganjuran acara ini juga ada kaitan dengan imej Malaysia sendiri yang cukup dihormati oleh Negara Islam yang lain.
"Contohnya, Malaysia di mata dunia dianggap sebuah model Negara Islam yang menuju ke arah status negara maju, namun pada masa masih diimbangi dengan elemen keislaman. Dengan adanya acara seperti ini, sedikit sebanyak ia menunjukkan Malaysia juga berusaha untuk menerapkan nilai-nilai Keislaman yang bukan sahaja menerusi gaya hidup tetapi juga dari segi muzik," ujar Afizah.
Islamic Song Festival yang akan berlangsung selama empat jam setiap malam itu akan menampilkan beberapa artis solo dan berkumpulan dari Malaysia dan juga antarabangsa. Setiap artis yang terlibat akan membuat persembahan selama 30 minit.
"Selepas menghantar surat jemputan, kami merasa cukup bangga apabila undangan kami mendapat maklum balas daripada 40 artis yang menunjukkan minat untuk menyertai acara ini. Bagaimanapun selepas diteliti, kami telah menetapkan hanya 14 artis yang akan beraksi pada kedua-dua malam itu nanti. Setiap artis ini mewakili genre muzik yang pelbagai," ujar Afizah lagi.
Malam pertama festival tersebut akan menyaksikan persembahan daripada Duta Nasyid Indonesia, Opick yang popular dengan lagu 'Rapuh'. Penyanyi ini akan disertai oleh kumpulan Brothers (Malaysia), Kumpulan Nasyid Hip Hop/Rap The Brothahood dari Australia, Khaleel Mohamad (UK), Khalid Belrhouzi (Peranchis) menampilkan Ziryab (Arab Saudi) dan Bennami (Brazil), Fez Meghani & Aftab Ali (AS) dan La Rappel (Peranchis).
Pada malam kedua pula, peminat berpeluang berhibur dengan Zain Bhikha dari Afrika Selatan yang bakatnya diasuh Yusof Islam. Penyanyi ini akan diiringi oleh dua pemain perkusi dari Amerika Syarikat dan tiga penyanyi latar. Selain Zain, festival pada malam kedua akan turut dibarisi oleh Kumpulan Debu (Indonesia), Yasin (Malaysia), kumpulan Aashiq al-Rasul (UK), kumpulan Hip Hop Native Deen (Amerika Syarikat) dan kumpulan Noor (AS).
Untuk keterangan lanjut dan pembelian tiket, anda boleh menghubungi talian 03-77821332 atau emelkan kepada amy@o2tw.com.
0 ulasan:
Catat Ulasan