KPKK, MinDef anjur Konsert Untukmu Loloq
Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar FIRDAUS LATIF
MOHAMED Juhari Shaarani (empat depan dari kiri) dan anggota Spider serta tenaga kerja di sebalik tabir Konsert Untukmu Loloq selepas sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) serta Kementerian Pertahanan (MinDef) buat pertama kalinya akan bergabung menganjurkan Konsert Untukmu Loloq bagi menghargai penulis lirik, Allahyarham Loloq di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 22 hingga 24 April ini.
Menurut Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani, konsert dengan kerjasama Badan Kesenian MinDef dan Global Network Entertainment Sdn. Bhd. itu diilhamkan oleh Menteri KPKK, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Jarang sebuah konsert diadakan sebagai menghargai seorang penulis lirik tetapi disebabkan allahyarham Loloq merupakan antara penulis lirik yang hebat di negara ini, maka ini adalah salah satu cara kita mengenang bakat dan sumbangan beliau dalam bidang seni.
“Ia juga sekali gus meletakkan mereka yang bergiat di belakang tabir setaraf dengan rakan seperjuangan mereka di negara-negara maju. Kita mahu berkongsi nilai-nilai positif dan membudayakan karya-karya mereka dalam masyarakat,” katanya pada pelancaran Konsert Untukmu Loloq di IB baru-baru ini.
Konsert dengan tiket-tiket berharga RM65, RM85, RM125, RM165, RM205, RM295 dan RM450 itu akan dijayakan Ramli Sarip, Ella dan Tam Spider selain persembahan istimewa isteri Allahyarham, Hariah Yaakob, 39, serta anak bongsunya, Yasha, 10, menerusi puisi berjudul Papa Jangan Kau Pergi.
Tambah Mohamed Juhari, pihaknya juga bercadang untuk menyerahkan sebahagian kutipan tiket itu akan disumbangkan kepada tiga anak Allahyarham Loloq atau nama sebenarnya Rosli Khamis yang meninggal dunia 30 Januari 2008 bagi membiayai pelajaran mereka.
Sementara itu, balu Loloq, Hariah Yaakob pula berkata, dia terharu dengan inisiatif KPKK dan MinDef dalam usaha mereka menghargai allahyarham suaminya yang banyak kali terbabit dengan pelbagai aktiviti seni anjuran dua kementerian terbabit.
“Saya juga terbabit dalam konsert selepas mendapati adanya unsur nostalgia antara arwah suami saya dengan Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang agak rapat sewaktu hayatnya,” ujar ibu kepada Krysty, 15, Jaevn, 12 dan Yasha, 10 ini lagi kepada Hits sewaktu ditemui pada majlis tersebut.
Selain artis-artis popular terbabit, difahamkan Hariah dan anak bongsunya, Yasha akan muncul pada konsert dengan durasi dua jam itu dengan mendeklamasikan puisi berjudul Papa Jangan Kau Pergi yang ditulis oleh anaknya itu beberapa bulan selepas Loloq meninggal dunia.
Penampilannya itu julung kalinya di atas pentas di mana ia katanya sebagai salah satu cara dia mengingati pemergian suaminya yang turut dikenali sebagai pelakon dalam filem seperti Man Laksa dan perunding kepada ramai artis popular tempatan.
Bersyukur
“Saya juga bersyukur kerana biarpun suami saya sudah tiga tahun meninggal dunia tetapi para peminat dan kawan-kawan masih mengingati beliau. Royalti lirik-lirik arwah saya masih terima daripada MACP (Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia) sehinggalah ke hari ini.
“Bayaran yang saya terima itu mencukupi untuk menyara kehidupan saya dan tiga anak saya. Saya bersyukur dengan sokongan semua pihak termasuklah IB dan penganjur yang menganjurkan konsert ini,” katanya.
Pengarah Persembahan Untukmu Loloq, Lokman Ghani berkata, selain elemen nyanyian, konsert itu juga akan menampilkan sketsa yang memerlukan seorang pelakon tampil melakonkan watak Loloq.
Sehubungan itu, pihaknya akan mengadakan satu sesi uji bakat bagi mencari seorang pelakon yang mempunyai karekter seperti allahyarham bagi menjayakan beberapa segmen yang berkaitan dengan penulis lirik tersohor terbabit.
“Kami bukan hendak mencari rupa tetapi biarlah calon watak Loloq itu mempunyai karekter tersendiri. Baru-baru ini sewaktu makan di kafe IB, kami ternampak seseorang yang ada iras wajah Loloq. Tetapi sayangnya tiada seorang pun yang terfikir untuk menegur lelaki tersebut.
“Jika tidak, kami mungkin akan menawarkan lelaki itu watak Loloq pada pementasan itu nanti. Saya akan mengarahkan persembahan ini berdasarkan pemahaman saya sambil dibantu oleh isteri allahyarham.
“Secara peribadi saya tidak begitu rapat dengan Loloq tetapi kami pernah berlakon bersama-sama dalam drama Hujan Di Hati Kamariah. Kami menjalani penggambaran drama itu di Kuala Kangsar, Perak selama seminggu,” ceritanya.
Sementara itu, kumpulan Spider yang dipilih sebagai salah seorang artis bagi menjayakan Konsert Untukmu Loloq berasa berbesar hati apabila mereka dipilih bagi menjayakan konsert yang mampu mengimbau nostalgia para peminat terhadap lirik-lirik tulisan komposer terbabit.
“Kami hanya akan menyanyikan lagu-lagu Spider yang liriknya ditulis oleh Loloq. Buat masa ini kami sedang meneliti lagu-lagu yang sesuai untuk konsert tersebut. Boleh dikatakan separuh daripada lagu-lagu dalam album Spider liriknya ditulis oleh arwah,” kata vokalis Sprider, Tam (Rustam Mustafa).
0 ulasan:
Catat Ulasan