Aktres Nur Fazura Sharifuddin (Fazura), 28, Khamis tampil membuat penjelasan berhubung desas desus dalam beberapa ruangan gosip baru-baru ini mengatakan dia melakukan pembedahan payudara sehingga silikon yang dimasukkan itu pecah.
Fazura berkata, dakwaan yang mengatakan dia sedang dirawat di Hospital Serdang kerana masalah tersebut adalah tidak benar sama sekali.
“Saya tidak faham mengapa orang ingin mereka-reka cerita yang tidak benar dan saya hanya ketawa apabila mengetahui pihak itu bercerita mengenai diri saya.
“Perkara tersebut nyata khabar angin semata-mata dan ia jelas bertujuan menjatuhkan kerjaya saya sebagai seorang pelakon,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran minyak wangi terbaru keluaran Avon, Herve Leger, di sini, Khamis.
Dia bagaimanapun enggan memperbesar-besarkan perkara tersebut dan memaafkan pihak yang menyebarkan fitnah itu.
“Ada perkara lebih penting yang harus saya beri tumpuan dan bukannya melayan cerita yang tidak benar mengenai diri saya,” katanya yang telah pun menyambung kontrak sebagai jurucakap Avon selama setahun.
Ditanya adakah dia tahu siapa yang menyebarkan fitnah tersebut di Internet, Fazura berkata, dia tidak berani menuduh mana-mana pihak yang menjadi dalang dalam perkara berkenaan.
“Saya percaya pihak yang menabur fitnah itu akan menerima akibatnya. Saya tidak risau mengenai perkara itu,” ujarnya.
Sementara itu, Fazura turut menjawab pertanyaan wartawan mengenai dakwaan dirinya cepat melenting apabila ditanya mengenai soalan berkaitan peribadinya.
Katanya, dia bukan mudah melenting tetapi ada kalanya rimas apabila cerita lama mengenai dirinya sering disebut-sebut.
“Apa yang sudah berlaku tidak boleh berpatah balik dan memperbetulkan kesilapan itu. Saya cuba memajukan diri dan tidak menoleh ke belakang, tetapi perkara lama yang sering disebut membuatkan saya rimas dan lemas,” katanya yang berangkat ke Jakarta pada Jumaat (hari ini) atas urusan kerja.
Dalam pada itu, Fazura melahirkan rasa syukur kerana di sebalik semua kontroversi yang melanda dirinya, rezeki dalam bidang seni semakin murah.
Fazura memberitahu, selain kontraknya sebagai duta produk Avon disambung, beberapa lagi kontrak dengan produk lain seperti Lux, Hair Dreams masih diteruskan selama setahun.
Malah katanya, selain akan terlibat dalam beberapa penerbitan drama seperti Tahajud Cinta dan Pahitnya Madu, Fuzara memberitahu dia juga telah dilamar oleh Red Communication untuk berlakon dalam dua buah filem tahun ini.
Namun dia enggan mendedahkan butiran mengenai filem terbabit.
“Alhamdulillahlah, rezeki menyebelahi saya walaupun pelbagai cerita kurang enak diperkatakan mengenai diri saya sejak akhir-akhir ini,” katanya mengakhiri perbualan.
0 ulasan:
Catat Ulasan