Sekiranya anda berpeluang ke Yangon, Myanmar pastikan anda singgah ke hotel mewah, The Strand. Ia adalah salah satu hotel lima bintang yang paling terkenal dan eksklusif di negara Myanmar. Ia berhampiran dengan Sungai Yangon di daerah diplomatik dan komersial kota ini. Kedudukannya juga sangat strategik kerana jaraknya hanya 30 minit dari lapangan terbang Yangon. Sekali lihat, ia seperti sebuah rumah agam di zaman Inggeris. Namun apa yang membuat The Strand istimewa adalah ia bukan sekadar sebuah hotel mewah tetapi juga sebuah bangunan peninggalan sejarah yang sangat terkenal di Yangon kerana kewujudannya yang telah menjangkau lebih daripada satu abad.
The Strand di Yangon telah dibuka pada tahun 1901, di Strand Road, ketika Yangon masih lagi dikenali sebagai Rangoon sewaktu zaman penjajahan Inggeris. Kala itu, Rangoon masih lagi ibunegara Burma (nama lama Myanmar) dan dianggap salah sebuah bandar paling berharga bagi pihak British India. The Strand telah dibina oleh usahawan Inggeris yang bernama John Darwood dan kemudian diperolehi oleh Sarkies bersaudara, adik-beradik yang mengumpul lebih daripada beberapa hotel-hotel termewah era penjajahan kuasa-kuasa Eropah termasuklah Raffles Hotel di Singapura, Eastern and Oriental Hotel di Pulau Pinang serta Hotel Majapahit di Surabaya, Indonesia.
Dari mula lagi, The Strand memang dianggap sebagai ‘the finest hostelry east of Suez’ atau tempat penginapan terbaik di timur Suez. Menurut Murray’s Handbook for Travellers in India, Burma and Ceylon, edisi 1911, hotel ini pernah didiami oleh kerabat-kerabat diraja, golongan bangsawan, orang-orang elit dan mereka yang terkenal pada era itu. Antara orang-orang terkenal yang pernah bertamu di sini termasuklah, George Orwell, Sir Peter Ustinov, Somerset Maugham, David Rockerfeller, Sir Noel Coward, Rudyard Kipling dan His Royal Highness, Raja Taufa’ahau, Raja Tonga (pada tahun 1936).
The Strand juga sering diiktiraf sebagai sebuah mercu tanda kebangsaan kerana peninggalan sejarahnya. Pengaruh Victoria yang terdapat di hotel ini jelas kelihatan dengan laluan masuknya yang dipenuhi barisan tiang-tiang gah. Bahagian dalamannya juga menceritakan suasana yang sama berlantaikan marmar dan dihiasi kayu jati serta perabot-perabot rotan di samping tumbuhan-tumbuhan di dalam pasu, serta lampu gantung atau chandelier yang diselang-selikan dengan kipas-kipas siling berwarna hitam – di mana kesemuanya mencerminkan keperibadian The Strand yang tidak mampu ditiru sebegitu mudah.
Selepas pengubahsuaian pada awal 1990-an, jumlah bilik telah dikurangkan daripada 50 ke 32 sahaja dan ini menjadikannya lebih eksklusif lagi. Kesemua 32 bilik mewah ini bertaraf suite dan dihiasi dengan begitu anggun sekali. Kesemua suite dilengkapi dengan khidmat seorang pembantu khas (butler), yang terdiri daripada warga Myanmar berbusana tradisional – berjaket ‘tighpone’, atau berblaus Shan bagi yang wanita sambil memakai kain sarung khas mereka yang dikenali sebagai ‘longyi’.
Kesemua suite mempunyai ruang tamu khas di dalamnya dan setiap bilik mandi dilengkapi dengan tab mandi serta ruang air semburan (shower) yang dipisahkan. Setiap kali anda keluar dari bilik, butler anda akan memastikan semuanya dibersihkan dan dikemas seperti sediakala.
Sesuatu lagi fakta menarik mengenai hotel ini ialah, hidangan sarapan anda sangat istimewa kerana ia disediakan khas buat anda sahaja kerana tiada hidangan buffet. Ini kerana hotel ini mempunyai 32 buah bilik sahaja jadi jumlah pengunjungnya tidak ramai. Lantas, semua hidangan anda dimasak dan dibakar khas atas permintaan anda sendiri. Dengan itu, croissant anda lebih segar dan lembut kerana dibawa panas dari ketuhar. Begitu juga dengan hidangan sarapan anda yang lain!
Kesempatan untuk menjenguk hotel ini tidak harus dibiarkan seandaiya berada di Yangon. Jika tidak berkesempatan bermalam di sini, paling tidak, anda harus singgah untuk sarapan eksklusif mereka di Strand Cafe, ataupun minum petang di Strand Bar dan makan malam di The Strand Grill. Atau mungkin anda ingin mencuba urut tradisional Myanmar di spa khas mereka yang sangat menenangkan. Apapun pilihan anda, percayalah bahawa ia benar-benar merupakan satu pengalaman yang hebat seolah-olah anda berada di era kolonial dan pasti tidak akan dapat anda dilupakan!
Terima Kasih: Pihak Pengurusan The Strand, Yangon
0 ulasan:
Catat Ulasan