Karya jujur Osman Ali
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar MOHD. FARIZWAN HASBULLAH dan ihsan NUANSA
|
|
|
KARYAWAN filem Cun! yang menghadiri majlis tayangan di GSC Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, baru-baru ini. |
BAGI mereka yang mengikuti perkembangan pengarah filem terkenal, Osman Ali pasti cukup kenal dengan sentuhan dalam setiap karyanya.
Genre drama berat dengan pelbagai isu sering kali menjadi pilihan utama Osman untuk karya-karyanya kecuali Puaka Tebing Biru yang dikategorikan dalam genre seram.
Sentuhan Osman untuk setiap filem-filemnya bermula dengan Bukak Api, Malaikat Di Jendela dan Anak Halal semuanya mendapat kritikan yang positif serta diterima dengan baik.
Lalu, apabila Osman mengumumkan dia akan mengarahkan sebuah filem komedi romantik, keputusan itu dilihat sedikit 'mengejutkan'.
Pelbagai persoalan mula timbul sama ada Osman mampu memberikan impak menerusi karya terbarunya yang diberi judul Cun! itu.
Apatah lagi, Osman memiliki trek rekod yang tidak begitu memberangsangkan sewaktu mengarahkan filem cereka pertamanya, Puaka Tebing Biru.
Bimbang juga seandainya Cun! akan mengalami nasib yang serupa seperti Puaka Tebing Biru.
Bukan mudah untuk Osman keluar dari kepompong untuk menarik perhatian pencinta filem tempatan dengan mengarahkan filem komedi romantik.
Namun, pandangan itu berubah serta-merta sewaktu menyaksikan Cun! pada majlis tayangannya di GSC Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, Mac lalu.
Ternyata selama satu setengah jam menonton filem tersebut, tanpa ragu lagi, Cun! merupakan sebuah karya yang cukup menghiburkan tanpa timbul sedikit rasa bosan sewaktu menontonnya.
Pada hemat penulis, Cun! merupakan sebuah karya yang cukup jujur dan paling utama, ia sarat dengan nilai kasih sayang serta kekeluargaan yang cukup tinggi.
Cun! cukup segala rencah. Sepanjang menontonnya, terbit pelbagai rasa yang membuatkan kita senyum, ketawa sehingga air mata mengalir di pipi pun tidak disedari.
Pujian juga harus diberikan kepada kecemerlangan sinematografi yang berlatar belakangkan kehidupan kampung dan sawah padi di Kedah yang menghijau membuatkan mata begitu sejuk menonton filem ini.
Kecemerlangan Cun! bukan sahaja terletak kepada naskhah yang ringkas namun, berisi tetapi juga kepada keberkesanan setiap pelakon yang berjaya mewarnakan karakter masing-masing.
Setiap karakter dibentuk dengan seimbang sehingga tiada seorang pun yang ketinggalan dan dilupakan dalam filem ini. Percaya atau tidak, sang kerbau bernama Kembang juga memberikan impaknya.
Dua tonggak utamanya, Maya Karin dan Remy Ishak berjaya mencipta keserasian dan mereka layak untuk digelar pasangan ideal layar perak alaf baru.
Pelakon lain seperti Faezah Elai, Nadia Nissa, Kartina Aziz, Ning Baizura, Jehan Miskin, Mislina Mustaffa, Marsha Londoh serta bakat baru, Siti Nor Faridah telah membuktikan kemampuan masing-masing kepada Osman yang ternyata tidak silap percaturan memilih mereka.
Bayangan Osman
Menyentuh aspek pemilihan pelakon, Osman tidak menafikan sewaktu menulis naskhah Cun! dia telah membayangkan setiap pelakon yang akan membawakan watak yang diciptanya.
Kata Osman, watak-watak seperti Luna Latisya, Tom dan Manis sememangnya dicipta khusus untuk Maya, Faezah dan Nadia kerana dia memiliki kepercayaan yang tinggi kepada tiga aktres itu.
Namun, untuk watak Atan, Osman mengakui dia memiliki kesukaran memilih aktor yang mampu membawakan watak berkenaan.
"Sebelum Remy dipilih, saya telah membuat uji bakat kepada tiga orang aktor untuk digandingkan bersama Maya. Saya tidak nafikan mereka memang bagus tetapi ciri-ciri pemuda kampung tiada pada diri mereka.
"Sehinggalah, saya terfikirkan Remy tetapi, saya masih ada sedikit keraguan kerana bimbang dia tidak dapat mencipta keserasian itu bersama Maya.
"Apabila Remy dipanggil uji bakat untuk digandingkan dengan Maya, mereka memang kelihatan kekok dan janggal untuk bersama.
"Selepas menjalani bengkel lakonan selama sebulan, barulah mereka dapat menyesuaikan diri sehinggalah tamat penggambaran," jelas Osman dalam sidang media selepas tayangan filem Cun! terbitan bersama Tayangan Unggul Sdn. Bhd. (TUSB) dan Nuansa Sdn. Bhd.
Turut hadir pada majlis tayangan itu ialah Penerbit Eksekutif TUSB, Gayatri Su-Lin Pillai dan Penerbit Eksekutif Nuansa, Julian Jayaseelan.
0 ulasan:
Catat Ulasan