Sebelum ini kami tidak pernah ada masalah sehingga membawa kepada pergaduhan besar. Malah, sikap dia terhadap saya sebelum ini membuatkan saya percaya bahawa dia betul-betul sayang pada saya. Tapi sejak akhir-akhir ini semuanya berubah terutama sikap dia terhadap saya sejak dia balik ke Kuala Lumpur pada cuti akhir tahun lalu.
Dia sering kali meminta putus daripada saya namun saya pertahankan hubungan kami. Tapi sehinggalah Februari lalu, dia nekad memutuskan hubungan kami. Saya cuba berbincang dengannya dan memujuknya tapi dia tetap berkeras.
Alasan dia meninggalkan saya disebabkan saya tidak pandai menjaga hatinya berbanding dengan cinta pertamanya. Yang paling membuatkan saya terluka apabila dia mengatakan bahawa dia menjalinkan kembali hubungan dengan bekas kekasihnya.
Ternyata selama ini dalam diam dia masih berhubungan dengan bekas kekasihnya. Untuk pengetahuan Dang Setia mereka pernah berpisah kerana bekas kekasihnya berlaku curang terhadapnya. Namun saya keliru sama ada benar atau tidak dia menjalinkan kembali hubungan dengan bekas kekasihnya kerana dia ada hubungan dengan lelaki lain di sekolah saya.
Saya sering melihat mereka berduaan sejak akhir-akhir ini. Malah rakannya juga mengatakan kepada saya bahawa mereka menjadi rapat sejak bertukar nombor telefon dan sering berbalas mesej. Saya juga ada terbaca komen mereka di facebook. Hati saya sakit apabila melihat mereka bersama.
Sejak dia memutuskan hubungan kami, kami tidak pernah bertegur walaupun sekelas. Malah dia tidak pernah menghubungi saya lagi dan menganggap saya tidak wujud. Begitu cepat dia melupakan saya dan begitu cepat perasaan dia terhadap saya berubah sedangkan selama ini dia kata bahawa dia sayang pada saya sangat-sangat dan tidak sanggup kehilangan saya tapi dia sanggup mengakhiri hubungan kami dan lebih memilih lelaki lain.
Kali terakhir saya bercakap dengannya, dia menengking saya agar menjauhkan diri daripadanya dan jangan pernah mengganggunya lagi. Hati saya sangat terluka dengan perbuatannya sedangkan saya setia padanya selama ini.
Saya sangat menyayanginya dan sampai sekarang saya tidak dapat melupakannya walaupun saya sudah mencuba. Kadang-kadang saya keliru dengan perasaan saya sendiri. Saya kecewa kerana orang yang saya sayang sanggup menduakan saya. Apa yang harus saya lakukan, Dang Setia? Adakah saya perlu berusaha dapatkan hatinya kembali atau melupakannya?
HATI TERLUKA,
Kelantan.
Jawapan
Minta maaf Dang Setia katakan, usia 16 tahun bukan waktu untuk bercinta. Usia itu adalah masa untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran supaya dapat menjamin masa depan cerah di kemudian hari.
Ingatlah pengorbanan ibu bapa sama ada miskin, sederhana atau kaya untuk membesarkan kita sebagai anak. Duit dan rezeki tidak datang bergolek, semuanya hasil usaha dan keringat bekerja demi kesejahteraan keluarga.
Dang Setia tidak dapat nafikan naluri untuk bercinta, disayangi dan menyayangi pasti ada bagi remaja seperti adik. Namun, individu bijak tidak akan membiarkan cinta menjadi racun hidupnya.
Kalau adik mahu bercinta sekalipun, pastikan cinta itu sebagai pembakar semangat untuk berjaya dalam pelajaran, bukannya membawa masalah hingga memberi tekanan yang tidak diperlukan.
Sebagai lelaki, adik seharusnya belajar untuk membina perwatakan kental. Lelaki berjiwa kental tidak akan membiarkan perempuan menguasai dirinya sebaliknya dia seharusnya mengawal gadis itu.
Kalau gadis itu tidak mahu meneruskan hubungan dengan adik, lupakan saja dirinya kerana sebagai lelaki, peluang adik masih terbuka luas pada masa depan.
Jangan sesekali sempitkan peluang kerana terlalu cintakan seorang gadis. Kalau adik anggap gadis itu cantik, masih ramai sebenarnya gadis yang lebih cantik di luar sana. Itulah hakikat kehidupan yang mungkin adik tidak nampak pada usia semuda itu.
Berusahalah untuk menjadi pelajar terbaik. Cuba bayangkan situasi ini. Adik bukan saja yang seorang tampan, aktif dalam persatuan dan sukan serta pada masa sama pelajar cerdas. Dang Setia pasti adik akan dapat ramai peminat.
Jika ini berlaku, adik sebenarnya di pihak yang menang dan gadis itu berkemungkinan kelak merasakan dia melepaskan `emas' yang satu ketika berada dalam genggamannya.
0 ulasan:
Catat Ulasan