Ramai yang bersikap skeptikal bila 8TV mengambil keputusan untuk menongkah arus dengan menerbitkan program realiti tarian jalanan, Showdown.

Bagi segelintir pihak, program seumpama itu tidak mungkin mampu diterima baik memandangkan konsep tarian jalanan dilihat masih baru di negara ini.

Namun, 8TV sentiasa mengambil sikap optimis dan berpandangan jauh dengan keputusan mereka untuk menerbitkan Showdown.

Buktinya, sepanjang musim pertama bersiaran, ia telah mencatatkan kejayaan yang cukup membanggakan dengan rating yang mencecah hampir satu juta merangkumi siaran televisyen dan di laman web.

Juara sulung Showdown 2010, Wakaka Crew membuktikan kehebatan mereka apabila sehingga kini, terus menjadi pilihan penganjur dan artis popular untuk mengiringi persembahan.

Dengan kejayaan itu, 8TV berjaya mengubah persepsi masyarakat terhadap tarian jalanan di negara ini dan sekali gus mengangkat tarian itu ke peringkat lebih tinggi.

Showdown ternyata mencetuskan fenomena luar biasa dan walaupun baru bersiaran untuk satu musim namun penerimaan terhadap rancangan itu ternyata begitu membanggakan.

Berkat kesungguhan 8TV dalam memberikan variasi kepada santapan rancangan di negara ini membuahkan hasil apabila berjaya memenangi tiga anugerah berprestij baik dari segi populariti mahupun kualiti.

Tahun lalu, Showdown 2010 berjaya merangkul dua anugerah di Shout! Awards 2010 apabila peminat dan pengundi sebulat suara menobatkannya dengan gelaran Favourite TV Programme.

Showdown juga mencipta sejarah apabila turut menjadi pilihan juri profesional yang mengangkat program itu sebagai Program Realiti TV Terbaik pada Anugerah Skrin 2011 dan Anugerah Seri Angkasa 2010 dengan menewaskan program-program realiti popular lain.

Menyedari Showdown semakin kuat pengaruhnya, 8TV kini bersedia untuk menggegarkan industri hiburan tanah air dengan musim kedua, Showdown 2011 yang akan memulakan siarannya malam ini ( 6 April).

Dengan sasaran untuk membawa tarian jalanan ke pentas yang lebih berprestij, Showdown 2011 pastinya memberi kepuasan maksimum kepada peminat dan pengikut setia rancangan itu.

Ditambah dengan aksi penari yang dilihat lebih energetik dan kreatif dalam mempersembahkan tarian mereka, tanpa ragu lagi, Showdown 2011 mampu menjadi tontonan wajib setiap malam Rabu.

Pengurus Besar Kumpulan 8TV dan ntv7, Airin Zainul melahirkan rasa gembira dan bangga apabila Showdown 2011 telah menerima respons di luar dugaan daripada peminat tarian jalan yang menghadiri uji bakat pada Januari lalu.

"Bayangkan, lebih daripada 100 krew tarian jalanan hadir untuk sesi uji bakat yang telah diadakan di beberapa lokasi. Malah, ia juga mencatatkan peningkatan daripada musim pertama.

"Ternyata, kesan Showdown musim pertama telah membuka mata ramai pihak akan kehebatan tarian jalanan yang juga mempunyai keunikan tersendiri.

"Mungkin ramai yang bertanya objektif penerbitan Showdown ini. Jawapan kami mudah iaitu mahu membawa tarian jalanan ini ke peringkat yang lebih tinggi setanding dengan tarian lain seperti tradisional serta ballroom dancing," katanya dalam nada optimis.

Daripada jumlah itu, hanya 23 krew sahaja yang terpilih untuk mara ke peringkat Meltdown yang telah pun diadakan pada Februari lalu.

Ternyata, pada sesi itu memperlihatkan pertarungan sengit antara 23 kumpulan untuk menempatkan diri mereka dalam kelompok 12 kumpulan terbaik.

Kemudian, mereka akan bertarung di peringkat Dance Off untuk membuat persembahan secara langsung setiap minggu di hadapan penonton dan juri.


Setiap minggu, empat krew yang mendapat undian terendah akan beradu sesama sendiri untuk meneruskan lagi cabaran sehingga ke peringkat akhir, Final Showdown.

Pengumuman rasmi 12 kumpulan terbaik yang terpilih ini akan diumumkan tidak lama lagi.

Showdown 2011 juga masih lagi mengekalkan pengacara yang juga penyampai radio Fly FM iaitu Hafiz Hatim.

Buat peminat Showdown, pastikan anda tidak ketinggalan menontonnya pada setiap hari Rabu pukul 9.30 malam secara eksklusif di 8TV atau layari laman web, www.8tv.com.my.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top