Sinopsis Kasih Najihah


Kasih Najihah berkisarkan mengenai usaha seorang wanita muda, Najihah, mencari ibu dan bapa kandungnya.

Selama ini, Najihah, watak yang dibawakan oleh Neelofa, kakaknya Natilia (Rozita Che Wan) dan adiknya Taufiq (Amar) hidup tanpa kasih sayang ibu bapa dan dibesarkan oleh nenek mereka, Nek Som.

Pada suatu hari, naluri Najihah memberontak untuk mencari ibu bapa kandungnya sehingga memaksa Nek Som untuk memberitahu ke mana ibu bapa mereka menghilang. Pelbagai cara dilakukan oleh Najihah supaya Nek Som bercerita, namun Nek Som tetap membisu seribu bahasa.

Nalurinya kuat untuk mencari ibu bapanya. Perjalanan Najihah, pelajar tahun akhir jurusan perubatan di Universiti Malaya ini penuh kesabaran dan sarat dengan konflik dalaman, secara tidak langsung membuatkan teman lelakinya, Fendi (Redza Minhat) berasa risau.

Sementara itu, Natilia sebagai kakak sulung amat menitik-beratkan pelajaran adik-adiknya dan bangga kerana kini kedua-dua adiknya berjaya ke peringkat universiti. Natilia bekerja sebagai pengarah urusan di sebuah perusahaan kecantikan dan amat menyayangi adik-adiknya, sehingga sanggup menolak tepi kepentingan diri sendiri.

Natilia tidak bersetuju keputusan Najihah untuk mencari ibu dan bapa kandung mereka. Seperti ada sesuatu yang dirahsiakan oleh Nek Som dan Natilia daripada adik-adiknya.

Timbul konflik apabila Taufiq terjumpa keratan artikel yang menceritakan mengenai bapanya yang dipenjarakan seumur hidup kerana mengedar dadah. Taufiq berkongsi penemuan artikel itu bersama Najihah dan akhirnya gadis itu berjaya menemui bapanya.

Natilia menjadi marah apabila mendapat tahu perkara itu. Nek Som dan Natilia enggan menceritakan kehilangan ibu dan bapa mereka kerana mengenangkan kesengsaraan yang dilalui mereka ketika menyelamatkan Najihah dan Taufiq, daripada dijual oleh kedua-dua orang tua mereka.

Natilia pula diperkosa oleh orang yang tidak dikenalinya. Peristiwa hitam ini membuatkan Nek Som membawa ketiga-tiga beradik itu jauh daripada ibu dan bapa mereka.

Peperiksaan akhir semester semakin hampir namun perjuangan Najihah menjejaki ibu dan bapanya diteruskan menyebabkan Natilia meminta bantuan Fendi, kekasih Najihah agar mematahkan niat Najihah, sebaliknya memberi tumpuan terhadap peperiksaan yang bakal tiba.

Kasih Najihah, sebuah drama bersiri menerusi slot Ratu menemui penonton setia TV9 pada setiap Isnin dan Selasa, jam 8.30 malam mulai 14 Mac lalu.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top