PADA ketika personaliti TV3, seorang demi seorang mengumumkan berita pertunangan mereka, tanpa kecoh personaliti RTM (Radio Televisyen Malaysia) yang tidak kurang cantiknya, Siti Murni Abdul Aziz, 25, mengambil keputusan untuk bernikah dengan rakan seperjuangan.

Sejak menceburi bidang penyiaran enam tahun lalu, Siti Murni yang mesra dipanggil Uni tidak sunyi cuba didekati pelbagai golongan lelaki termasuklah kalangan ahli perniagaan dan VIP, namun pembaca berita Wilayah dan Parlimen itu, tidak memberi kata putus.

"Di peringkat awal bertugas, sukar saya menidakkan, ada yang mahu melamar saya tetapi saya belum bersedia.

"Bidang penyiaran adalah bidang yang saya minati sejak bersekolah, tentu saja tidak wajar jika saya membuat keputusan tergesa-gesa untuk berkahwin.


"Berilah saya masa untuk betul-betul bersedia dan saya kira inilah masa yang sesuai bagi memulakan episod baru hidup saya," katanya.


Siti Murni juga pembaca Berita Nasional memilih pengacara Selamat Pagi Malaysia (SPM), Hisham Salleh juga pengacara Biz Malaysia setiap jam 6 petang di RTM sebagai pasangan hidup.

Mereka akan bernikah pada 7 Mei (Sabtu) ini di rumah kakak Siti Murni di Bukit Cerakah, Shah Alam.

Resepsi diadakan keesokannya di restoran terkenal di Bangsar, untuk keluarga dan sahabat handai terdekat.

Menurut Siti Murni, hakikatnya dia sendiri tidak menyangka hatinya terbuka memilih Hisham sebagai suami.

"Ikutkan Hisham sama seperti rakan media saya yang lain di RTM. Kami sarapan dan makan tengahari bersama. Cuma dua tahun kebelakangan ini ada tanda-tanda serius perhatian diberi Hisham kepada saya.

"Sehinggalah pada hujung tahun lalu, Hisham meluahkan hasrat melamar, saya nampak dia bersungguh-sungguh. Ciri-ciri penyayang dan tegas yang ada pada Hisham itu menarik minat saya, jadi mengapa tidak, saya menerimanya," katanya.

Selama berkawan dengan Hisham, Siti Murni yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan, belum pernah mengajak Hisham balik ke kampung.

Sementara itu, Hisham ketika dihubungi berkata, kali pertama dia memperkenalkan Siti Murni pada keluarganya pada pertengahan tahun lalu.

Hisham berasal dari Miri, Sarawak, menyifatkan Siti Murni adalah wanita yang menepati ciri-ciri isteri yang dicarinya.

"Kebetulan kami dari zodiak yang sama, Virgo, dan sama-sama minat melancong. Saya ini jika di televisyen banyak bercakap tetapi hakikatnya bila tiba bab peribadi begini senyap sikit.

"Justeru keputusan yang saya buat memilih Siti Murni juga ada juga bersandarkan pandangan daripada ahli keluarga saya ketika kali pertama memperkenalkan Siti Murni pada mereka.

"Walaupun kali pertama bertemu, saya dapati Siti Murni dapat menyesuaikan dirinya untuk kami duduk dalam satu famili. Saya mengharapkan doa dari keluarga, rakan taulan serta penonton SPM dan RTM sendiri agar majlis pernikahan kami Sabtu ini diberkati dan berjalan lancar," katanya.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top