HAKIKATNYA, dua bintang muda yang masih baru wajahnya di pentas hiburan tempatan ini punya pesona dan kejelitaan sendiri. Biar dilanda badai kuat menghempas jiwa kedua-duanya, baik Memey mahupun Miera Liyana, itu semua dugaan yang perlu ditempuh dengan hati terbuka.

Pertama kali disatukan berpaksikan latar belakang kisah yang hampir serupa, dipalit kontroversi dan cerita panas, kedua-dua pelakon popular ini tidak sekalipun mengelak atau lari dari kesilapan sebaliknya dengan mengukir senyuman dan jiwa yang ikhlas, masing-masing berdiri dan mengharungi segala-galanya meskipun pahit yang ditelan hingga kini masih kuat bekasnya.

Kronologi kisah mereka, Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi ditangkap khalwat dengan tunangnya kini juga aktor terkenal, Norman Hakim, dituduh perampas dan meruntuhkan rumah tangga Norman yang ketika itu masih suami kepada dramatis Abby Abadi dan dilabel pelakon muda bermasalah.

Lain bagi pemilik nama sebenar, Miera Leyana Kasmi yang kini baru saja berusia 18 tahun, tidak semena-mena gadis jelita kelahiran Johor Bahru ini menjadi hangat selepas gambarnya mendedahkan dada dalam sebuah majlis tersebar di Internet.


Mahu atau tidak dan persoalan sengaja atau bukan niatnya tidak lagi relevan untuk dibincangkan sebaliknya isu yang sudah pun tersebar luas menjejaskan nama dan perjalanan kerjayanya.


Menurut gadis kelahiran Kota Tinggi, Johor, Memey yang popular menerusi drama Graduan, Elit, Pasrah, Dunia Baru 3, Roda-Roda KL dan Tragedi Oktober sebelum ini menyifatkan kontroversi satu pengajaran yang mendewasakannya. Enggan melihat kisah negatif itu sebagai satu publisiti kepada dirinya sebaliknya dramatis berusia 23 tahun ini percaya setiap yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya.

"Memang isu itu meninggalkan kesan mendalam kepada saya namun ia tidak sekelumit membuatkan saya jatuh dan lumpuh. Saya gagahkan diri untuk mengharunginya dan alhamdulillah keluarga, teman dan abang Norman sendiri sentiasa berdiri di belakang saya. Lantas, saya bangkit dan kekal optimis terhadap apa saja kata nakal yang datang.

"Lihat pada aspek positif, saya lebih kuat dan matang sekarang. Tidak mudah jatuh dan semua itu membentuk peribadi agar lebih kukuh," katanya tersenyum.

Hanya mengangguk setuju pada setiap kata Memey, bintang yang mula mengukir nama menerusi drama Luna Fantasiku dan Kamelia Katrina ini mengandaikan kontroversi yang tercetus adalah satu rencah hidup sebagai anak seni.

Tidak mahu menuding jari kepada sesiapa meskipun gambar yang tersebar bukan disengajakan, Miera yang tidak henti bergurau dan gemar mengusik hanya memekakkan telinga dan terus pandang ke depan.

"Usah terus membebankan diri dengan apa yang berlaku kerana semuanya mustahil untuk diundurkan. Senang cerita, mengakui kesilapan dan memohon maaf kerana tiada apa ruginya jika kita mengaku saja kealpaan sendiri. Ia akan lebih membuka mata orang yang sibuk menghukum dan mengundang rasa tenang kepada diri sendiri.

"Apa yang penting adalah rencana hari esok dan percaturan akan datang. Sebagai bintang baru yang penuh minat dan cinta kepada lapangan seni lakon, saya enggan melihat perkara itu sebagai satu halangan untuk saya membina nama.

"Bukan mudah untuk menyelinap masuk dan diterima peminat namun jujurnya saya akui yang perkara seumpama ini jika tiada kekuatan, ia akan terus membunuh kerjaya seseorang itu.

"Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan kepercayaan pihak produksi juga tidak tergugat untuk terus memberi saya peluang. Itu lebih penting selain berusaha mengasah bakat lakonan sedia ada agar lebih baik untuk akan datang," katanya.

Kenyataan, jawapan dan alasan sudah pun diberikan mereka berdua tatkala diasak media sebelum ini. Walaupun ada yang berbisik kenyataan balas mereka klise bagai menegakkan benang basah, namun itu adalah realiti yang sudah dihentikan.

Jika masih ramai yang mempertikaikannya, tiada apa lagi yang dapat dilakukan selain pasrah dan berharap perkara itu akan hilang lama-kelamaan.

Menarik dan berbeza kali ini, luahan hati dan perspektif mereka tidak lagi ingin diselongkar sebaliknya lihat pula perasaan ibu kepada kedua-dua bintang ini yang menanggung sembilan bulan mengandungkan, bertarung nyawa melahirkan dan separuh jiwa dikorbankan bagi membesarkan dua pesona jelitawan ini.

Alih sebentar pandangan, bagi ibu kepada Memey yang pernah mewarnai produksi drama Jaringan dan Pontianak Air Jernih, Norlela Abdul Rahman, 47, detik hitam yang berlaku pada anaknya itu adalah satu pengalaman dan pengajaran buatnya.

Katanya, meskipun pernah menitiskan air mata sebaik kerana kontroversi itu bertiup kencang, Norlela menerima dugaan itu dengan hati terbuka.

"Saya yang mengizinkan Memey berlakon dan merelakan dia keluar rumah dan membina empayar di Kuala Lumpur.

"Tatkala merestui permintaannya, saya sudah sedia menerima apa saja yang berlaku. Semua itu rencah menjadi selebriti dan sebagai ibu, saya tidak sepatutnya menghukum dia sebaliknya saya perlu setia mendengar dan memimpinnya.

"Kesilapan dan tersilap langkah adalah satu perkara normal terutamanya kepada anak muda seperti Memey.

"Namun sebaik kesalahannya dihukum, itu akan mengingatkan dia agar tidak mengulanginya. Bukan saya mengiyakan atau bersetuju dengan tindakannya, namun naluri seorang ibu kuat dan percaya dengan anak sendiri.

"Biar teruk dia dipijak, namun semua itu satu semangat agar impian yang disimpan selama ini dapat direalisasikan suatu hari nanti. saya percaya dan terus menyokongnya dari jauh," katanya yang mengakui anak ketiganya daripada enam beradik itu seorang yang patuh dan sentiasa mengutamakan keluarga.

Aishah Abdullah, 49, ibu Miera yang begitu akrab dengan anaknya itu mengakui pernah menitiskan air mata ketika isu membabitkan anak keduanya itu namun bukan kerana kerana kecewa dan sedih. Sebaliknya Aishah kagum dengan keberanian dan kekuatan yang ada pada Miera.

"Saya mengagumi Miera yang begitu tenang berdepan dengan kontroversi ini. Mungkin jika saya berada di tempatnya, belum tentu saya sekuat itu. Sebagai seorang ibu, saya tidak semestinya terus melenting dan menyalahkannya sebaliknya kita harus membimbing dan kekal menyokong.

"Sebenarnya hubungan kami berdua memang rapat dan kelakarnya, kami berkongsi minat yang sama. Bayangkan, jika ada masa terluang, kami akan keluar membeli-belah bersama, mengunjungi spa dan rawatan urut serta menghabiskan masa bersama di pusat karaoke.

"Justeru sebaik Miera dipalit kontroversi begitu, dia terus berkongsi perkara itu bersama saya dan kami fikirkan penyelesaiannya bersama.

"Apa yang penting, usah lari daripada masalah. Saya sendiri yang meminta agar Miera berdepan dengan setiap persoalan atau apa saja kritikan yang datang buatnya.

"Mungkin inilah masa sesuai memberinya pengajaran memandangkan dia masih baru dan muda. Masih jauh perjalanannya dan saya percaya, dia akan mencapai apa yang diinginkan nanti," katanya.

Miera yang bakal muncul dengan filem sulungnya, Apokalips turut mengagumi semangat dan kejujuran Memey dalam merentas hari-hari yang pernah meninggalkan impak dalam langkah seninya.

PROFIL

NAMA SEBENAR: Suhaiza Suhaimi
TARIKH LAHIR: 25 Mac 1988
TEMPAT LAHIR: Hospital Kota Tinggi, Johor
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
PROFESION: Model, pengacara, pelakon
KELUARGA: Anak ketiga daripada enam beradik
STATUS: Tunang kepada Norman Hakim
DRAMA TV: Graduan, Elit, Pasrah, Dunia Baru 3, Roda-Roda KL serta Tragedi Oktober, Rahsia Sebuah Pengorbanan, Karipap Istimewa, Kalau Kasih Masih Ada, Jaringan, Pontianak Air Jernih

PROFIL

NAMA: Miera Liyana Kasmi
PANGGILAN KOMERSIAL: Miera Liyana
TARIKH LAHIR: 28 Ogos 1993
USIA: 18 tahun
TEMPAT LAHIR: Johor Bahru
KARIER: Pelakon dan model
KELUARGA: Anak kedua daripada tiga beradik
HOBI: Membeli-belah, berenang dan menari
CITA-CITA: Ahli perniagaan
DRAMA: Luna Fantasiku, Ceria- Ceria Cikgu Rubina, Kecuali Cintamu, Apa Itu Cinta, Ada Ubi Ada Batas, Kamelia Katrina, Aalia, Sejambak Bukan Serumpun dan Nana Naruto
FILEM: Apokalips (arahan Mamat Khalid)






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top