Datuk Siti Nurhaliza, seperti tahun-tahun sebelumnya, Siti sekali lagi akan menunaikan umrah dan turut merasai nikmat berpuasa di tanah suci Makkah.

"Saya akan berangkat ke Makkah pada 19 Ogos dan kembali ke Malaysia pada 28 Ogos nanti. Saya akan berangkat ke Tanah Suci Makkah bersama suami dan beberapa teman rapat kami.

"Memang saya agak sibuk dengan program rakaman sempena raya sepanjang Ramadan, tetapi saya merancang untuk menghabiskan semua kerja terlebih dulu sebelum berangkat menunaikan umrah.


"Kalau boleh, saya tidak mahu terlalu sibuk dengan program atau undangan persembahan sekembali dari tanah suci sebab saya nak tumpukan pada keluarga, berbuka bersama dengan mereka.

"Bagaimanapun, saya tidak menolak semua tawaran diberikan, ada beberapa undangan persembahan program yang perlu saya selesaikan sebelum berehat menyambut Aidilfitri," katanya ketika rakaman program raya di Auditorium Perdana, baru-baru ini.

Program gegar Raya Merdeka yang akan disiarkan di Rancangan Televisyen Malaysia (RTM) 1 pada raya ketiga turut menampilkan Saiful Apek, Dayang Nurfaizah, Azlan (Azlan & The Typewriter) dan Sepah.

Siti berkata, dia akan menyambut Aidilfitri pada tahun ini di kampung suaminya di Permatang Pasir, Kedah.

Katanya lagi, mereka sudah merancang menyediakan sedikit juadah sebagai sajian selepas selesai solat sunat pada hari raya pertama.

Jamuan yang dibuat itu satu cara mereka mengucap syukur ke hadrat Ilahi atas limpahan berkat dan kejayaan yang mereka kecapi. Menyedari kejayaan itu tidak datang bergolek dengan sendirinya tanpa doa mereka yang sentiasa menyokong Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Berkongsi cerita mengenai single terbarunya, lagu pertama Siti berbahasa Inggeris berjudul Falling In Love itu sudah mula berkumandang di corong radio tempatan.

Walaupun penyanyi yang menerima gelaran The Voice Of Asia oleh Alicia Keys pada majlis MTV Asia Awards 2005 di Bangkok, Thailand pernah terpalit dengan kontroversi tidak pandai berbahasa Inggeris, namun dengan terhasilnya lagu ini Siti membuktikan dia juga mampu menyanyikan lagu Inggeris dengan baik.

"Lagu Falling In Love ini adalah cubaan pertama saya untuk menyanyikan lagu berbahasa Inggeris yang lebih urban iaitu rentak lagu yang dihasilkan berkonsepkan 'dance house'.

"Lagu ini dihasilkan sesuai dengan trend dan selera pendengar sekarang yang amat gemarkan rentak house. Mungkin ada sesetengah pihak yang mengkritik sebutan bahasa Inggeris, tetapi saya sudah mencuba yang terbaik.

"Itulah yang termampu, tambahan pula saya bukannya lahir dalam keluarga yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan dan tinggal di sebuah kampung dengan masyarakat yang menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu," katanya.

Dalam pada itu, Siti yang turut menyertai askar wataniah turut meminta belia di luar sana untuk menyertai program itu kerana itu satu cara untuk menunjukkan rasa cinta dan sayang kepada negara.

Tambahan pula, menyedari tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia tidak ada salahnya dia turut terbabit dengan program berkenaan.

Sudah pasti masih segar dalam ingatan peminatnya ketika penyanyi tersohor tanah air yang juga anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu menjuarai Bintang Hiburan Minggu Ini (HMI) 1995 pada usia 16 tahun. Bermula dari situlah, Siti mula menempa nama sebagai artis yang mencapai jualan berbilang platinum.

Meniti usia yang masih muda menceburi bidang seni suara, Siti membuktikan dia mampu berjaya dan sehingga kini masih mampu membuatkan seluruh auditorium penuh sekiranya dia membuat persembahan.

Walaupun sudah berkahwin pada 2006, statusnya sedikit pun tidak mencalarkan imejnya sebagai seorang penyanyi malahan peminat dan penyokongnya masih setia mengikuti perkembangan karier Siti sebagai seorang penghibur. Lantunan vokal yang mantap mampu membuatkan seluruh auditorium menumpukan perhatian kepadanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top