Huruf J sebagai singkatan kepada Johan untuk digabungkan dengan nama Nora, tidak pernah dilihat akan mengundang satu pandangan yang negatif.

Sebaliknya, gabungan nama penyanyi yang popular dengan lagu Di Persimpangan Dilema hanya sekadar nama alternatif untuk mengelakkan kekeliruan apabila melakukan pencarian data maklumat di Internet.

Sayangnya hasrat Nora untuk tampil dengan nama pentas sebagai Nora J dikaitkan dengan pandangan yang cukup negatif.

Ada yang berpendapat, Nora J membawa maksud Nora Janda!

Pedih dengan kaitan istilah janda pada namanya sedangkan maksud huruf J yang sebenar ialah Johan Nawawi (nama suami Nora), Nora tenang dalam memberikan jawapan terhadap soalan-soalan bacul sesetengah pihak.

“Mengapa begitu cetek pandangan orang yang mengaitkan huruf J itu dengan istilah janda pada nama saya?

“Apakah saya tidak boleh mengkomersialkan nama saya sendiri tanpa ada niat untuk mengenepikan nama bapa saya?

“Sebagai anak seni, tidak salah jika saya komersialkan nama saya termasuk mahu dikenali sebagai Nora J iaitu Nora Johan dan bukannya Nora Janda.

Penyanyi Nora J

“Saya berasa pelik kerana hasrat saya itu turut dikaitkan dengan hukum hakam agama.

“Apakah sebelum ini, tidak pernah ada artis tanah air yang menggunakan nama suaminya di akhir namanya?” soal Nora dalam nada tenang walaupun terpalit rasa kesal kerana dipandang serong oleh mereka yang mudah melabelkan orang lain tanpa menggunakan landasan fikiran yang lebih rasional.

Nora atau nama sebenarnya, Wan Norafizah Wan Ariffin, 35, berkata, mengapa seniwati Datin Rosnani atau Mak Nani, menggunakan nama pentas yang digabung dengan nama suaminya, Jamil, tidak pernah dipersoalkan?

Begitu juga dengan Norlia Ramli (kini dikenali sebagai Norlia Ghani) dan Aida Khalida yang suatu ketika dahulu, muncul dengan menggunakan nama Aida Rahim, diubah kepada Aida Radzwil tidak pula dipandang serong?

“Kalau berdosa dan hukumnya haram kerana saya menggunakan nama suami sebagai alternatif untuk nama pentas saya, maka artis-artis lain yang sebelum ini melakukan perkara yang sama, pun berdosa dan haramlah hukumnya.

“Bukan saya mahu mengelak daripada memberi jawapan mengapa saya tidak menggunakan nama bapa saya, Ariffin , bukan nama suami dan dikenali sebagai Nora Ariffin.

“Untuk pengetahuan, saya pernah terfikir mahu menggunakan nama Nora Ariffin tetapi apabila disemak dalam Internet, sudah ada yang menggunakan nama itu.

“Apa yang saya cuba lakukan hanyalah untuk memudahkan peminat mencari data mengenai diri saya dalam Internet, bukannya mahu mencetuskan isu.

“Lagipun, Nora J bukannya didaftar atas kad pengenalan atau sijil kelahiran. Ia sekadar nama komersial,” tegas Nora.

Kata isteri kepada komposer Johan Nawawi ini lagi, dia tidak pernah mahu mengundang kontroversi sepanjang 17 tahun bergelar penyanyi.

Tetapi apabila ada pihak yang sengaja mahu mencetuskan isu kontroversi, dia sama sekali tidak senang dengan keadaan itu.

“Saya bukan artis yang mencari publisiti murahan.

“Pengalaman banyak mengajar saya erti kehidupan sebagai anak seni dan saya juga berharap, mereka yang lama berada dalam bidang yang berkaitan dengan hiburan agar membuka minda seluas-luasnya.

“Jangan berada di takuk lama kerana sebagai artis, saya juga perlukan sesuatu yang baru dan segar agar sesuai dengan imej saya hari ini,” ujar ibu kepada tiga orang anak ini bersungguh.

~ Utusan

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top