“Alhamdulillah, semuanya selesai dan saya rasa elok sama-sama ‘bertaubat’ untuk ke jalan yang lebih baik,” kata penyanyi kumpulan Lefthanded, Nash atau Jamaluddin Elias, 48, di luar Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, semalam.
Nash berkata demikian sejurus Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad membuat keputusan mengesahkan dia dan pengasas produk kecantikan Novelles Visage, Sosilawati Lawiya, 44, masih sah sebagai suami isteri.
Keputusan Wan Mahyuddin selepas mengambil kira beberapa perkara, termasuk sumpah nafi yang dilafaz Nash sejurus prosiding bermula kira-kira jam 11.20 pagi untuk mengesahkan dia tidak menyebut perkataan cerai terhadap Sosilawati.
Malah, Sosilawati didapati gagal mengemukakan dua saksi penting iaitu Mohamad Yusuf dan Ahmad Ibrahim, sebaliknya hanya mengemukakan seorang saksi iaitu penyelenggara syarikat pembangunan, Abdul Jalil Ismail, 49, yang juga rakan Nash.
Sosilawati gagal mengemukakan dua saksi yang dikatakan mendengar perbualan melalui telefon, sedangkan saksi berkenaan diperlukan untuk menyokong dakwaan berkaitan lafaz cerai yang diucapkan Nash.
Keterangan berdasarkan seorang saksi iaitu Abdul Jalil tidak diterima hukum syarak kerana dia tidak melihat Nash melafazkan perkataan itu.
“Wallahi wabillahi watallahi. Demi Allah, aku Jamaluddin Elias bersumpah dengan nama Allah bahawasanya aku tidak pernah melafazkan cerai ke atas Sosilawati melalui telefon pada jam 8.30 malam, 12 September 2007.
“Jika aku berdusta, nescaya dimurkai dan dilaknat Allah ke atas aku di dunia dan akhirat,” kata Nash sejurus melafazkan sumpah nafi di depan Wan Mahyuddin berhubung permohonan pengesahan perceraian Sosilawati.
Malah, sebelum menawarkan Nash sumpah nafi, Wan Mahyuddin memberi peluang kepada defendan itu sama ada ingin mengaku melafazkan cerai di luar mahkamah seperti didakwa plaintif yang berlaku pada jam 8.30 malam.
Nash yang tidak mengaku melafazkan cerai itu ditawarkan sumpah nafi oleh mahkamah selepas mendapat persetujuan Sosilawati bagi mengelak keraguan, manakala kebenaran lafaz cerai berlaku hanya Allah mengetahuinya.
Wan Mahyuddin ketika membacakan keputusannya, berkata berdasarkan rujukan, kesaksian saksi dikemukakan plaintif yang dikatakan mendengar perkataan: ‘Aku tak heran, aku dah ceraikan dia (Sosilawati) tidak diterima.
“Ini kerana saksi berkenaan tidak pernah melihat Nash menceraikan Sosilawati secara peribadi di hadapannya. Defendan juga tidak mengaku berkata perkataan itu ataupun beritahu kepada sesiapa.
“Ia tidak dapat gambarkan bila defendan menceraikan plaintif. Ini pertimbangan yang perlu diputuskan mahkamah sama ada defendan dalam sedar atau tidak dipaksa ketika menjatuhkan talak,” katanya.
Katanya, demi keadilan semua pihak, mahkamah memberi peluang kepada defendan untuk mengemukakan sumpah nafi dan plaintif perlu reda dengan keputusan berkaitan lafaz cerai berkenaan.
“Mahkamah berpendapat keterangan plaintif hanya disokong seorang saksi dan ia tidak mencukupi untuk menguatkan dakwaan. Keterangan saksi juga meragukan kerana tidak melihat defendan melafazkan. Percakapan saksi dengan defendan tidak dibuktikan.
“Selepas mendengar sumpah nafi defendan serta berdasarkan alasan penghakiman, mahkamah berpuas hati untuk membuat keputusan iaitu tidak sabit berlaku perceraian di luar mahkamah antara plaintif dan defendan,” katanya yang mengesahkannya pada jam 11.50 pagi, semalam.
Sementara itu, Sosilawati dalam afidavit dikemukakan berkaitan permohonan pengesahan lafaz cerai mendakwa Nash melafazkan perkataan: “Saya tidak ada hati dan perasaan lagi dengan awak. Saya dah (sudah) ceraikan awak. Kalau saya nak balik rumah, saya kena nikah semula dengan awak.”
Nash juga didakwa mengeluarkan perkataan “Buat apa I (saya) nak balik rumah. You (awak) bukan isteri I lagi. I dah ceraikan you. Kalau I nak balik rumah, I kena nikah semula dengan you.”
Ketika ditemui di luar mahkamah, kedua-dua peguam plaintif dan responden, iaitu Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain mewakili Sosilawati dan Amli Embong (Nash) berkata mereka hanya menunggu arahan selanjutnya daripada anak guam.
Namun, kedua-duanya enggan memperincikan tindakan susulan yang bakal diambil, selain menunggu sedikit masa untuk tindakan selanjutnya.
“Pada hari ini, bagi kami tidak ada kalah dan tidak ada yang menang. Cuma apa yang diperlukan kami ialah pengesahan berkenaan apa yang didakwa anak guam kami dan menerima keputusan dengan reda,” kata Mohd Zaidi.
Sosilawati yang ditemui pula akur dengan keputusan mahkamah, namun melahirkan rasa musykil mengapa Nash masih enggan pulang ke rumah untuk menunaikan tanggungjawab sebagai suami sejak pendaftaran pengesahan perceraian dilakukan sejak Oktober tahun lalu.
“Sudah hampir setahun dia tidak pulang memberikan nafkah zahir dan batin. Saya kecewa kerana tidak dilayan sewajarnya sebagai isteri sedangkan pada masa sama dia masih menganggap dirinya sebagai suami sah.
“Keadaan saya umpama gantung tidak bertali menyebabkan saya tidak mahu terus dianiaya dan bercadang untuk menuntut fasakh dalam tempoh terdekat,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan