Setahun lamanya menyemai cinta akhirnya komposer terkenal Sharon Paul Abdullah, 31 atau Sharon akan mendirikan rumah tangga dengan aktor popular Rusdi Ramli, 37.

Majlis pernikahan pasangan ini bakal diadakan pada 16 November ini di Shah Alam dengan dihadiri keluarga terdekat dan sahabat handai. Sewaktu dihubungi, Sharon ternyata gembira dengan keputusan diambil.

“Saya rasakan majlis pernikahan dirancang seperti temu janji kali kedua yang menguatkan lagi perasaan cinta antara kami.

“Jangan tanya bagaimana dan kenapa saya memilih untuk mengahwini Rusdi dan bernikah Ahad ini, kerana segala yang berlaku sekarang seperti sudah ditentukan.

“Tiada perkataan yang dapat menggambarkan perasaan saya mengenai majlis pernikahan bakal berlangsung. Mungkin seperti yang dikatakan Rusdi, ini adalah jodoh dan ketentuan Tuhan,” katanya kedengaran agak serius sewaktu menjelaskan mengenai keputusan dibuat.

Ternyata pertemuan yang berlaku tiga tahun lalu menjadi titik permulaan kepada kehidupan baru buat Sharon mahupun Rusdi sendiri.

“Saya sendiri tidak pernah terfikir akan mencintai Rusdi, begitu juga sebaliknya kerana di awal perhubungan kami tidak lebih sebagai teman rapat.

“Seperti yang diceritakan Rusdi, kami pertama kali bertemu sewaktu saya menghasilkan skor muzik filem Pontianak Harum Sundal Malam II dan terpaksa merakamkan suaranya bersama Maya Karin.

“Selepas daripada itu kami sering bertemu di majlis dianjurkan Pesona Pictures, kerana ada beberapa projek filem dihasilkan produksi milik Shuhaimi Baba itu seperti 1957: Hati Malaya saya masih terbabit sebagai pengarah muzik.

“Sehinggalah awal tahun ini, hubungan kami menjadi serius. Dalam pada berkawan saya lihat Rusdy seorang lelaki matang. Mungkin pengalamannya yang pernah berkahwin dan kemudian menjadi bapa tunggal memberinya kelebihan.



“Dia tahu bagaimana hendak menghargai saya, dan lebih penting Rusdi seorang lelaki bertanggungjawab,” katanya lagi.

Kedudukan Rusdi sebagai bapa tunggal kepada Efiezal (Efie) Ridza, 18 tahun tidak menjadi masalah buat Sharon. Malah sewaktu berbicara mengenainya, komposer yang terkenal dengan lagu Cinta Terhalang itu sudah pun memanggil Efie sebagai anak lelakinya.

“Saya tidak ada masalah dengan Elfie. Lagipun sebagai pensyarah muzik di Kolej Muzik Antarabangsa (ICOM), saya sudah biasa berhadapan dengan budak sebaya dengan anak bujang Rusdi.

“Sebagai ibu segera, menjadi tanggungjawab saya kini untuk memastikan segala yang diperlukan Efie seperti pendidikan lanjutannya dan perancangan masa depan dapat dilakukan dengan baik.

“Efie boleh menerima saya, malah apabila kami memberitahu mahu berkahwin dia gembira dengan keputusan bapanya. Sebelum ini lagi apabila Rusdi bercakap di telefon dengan saya, dengar Efie mengusik bapanya dengan berkata papa telefon kekasih hati,” katanya sambil ketawa.

Waktu sama jelas Sharon, antara dia dan Efie banyak persamaan memandangkan mereka lahir dalam bulan Disember dan berkongsi bintang yang sama iaitu Sagitarius.

Menyentuh mengenai majlis pernikahan dan persandingan ringkas yang bakal diadakan, kata Sharon dia sedikit tertekan kerana mahu memastikan segalanya berjalan lancar.

“Saya mendapat bantuan dari seorang teman juga perancang majlis perkahwinan. Apa yang boleh saya katakan walaupun ia ringkas tetapi anggun dengan cahaya lilin melatari suasana majlis. Idea untuk majlis ini datang daripada saya dan Rusdi sendiri. Tetapi biasalah orang perempuan pastinya mementingkan kesempurnaan.

“Tetamu kami tidak ramai tetapi bagaimanapun saya tidak melupakan rakan-rakan dalam industri muzik dan penyanyi yang biasa bekerja dengan saya untuk sama-sama meraikan hari bahagia kami itu nanti,” katanya.

Oleh Rudy Imran Shamsudin
Metro, Khamis, 13 November 2008

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top