Bertemu dengan Mawi pada Majlis Kemuncak Aidilfitri Bersama Bintang Akademi Fantasia malam Rabu lalu, anak kelahiran Kulai, Johor ini hanya mampu mengukir senyuman tatkala diusik dengan pertanyaan itu.
“Siapa kata saya tidak berdebar? Sekarang ini, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa berdebarnya hati saya untuk melangkah ke tarikh perkahwinan itu,” jelas Mawi ringkas sambil diperhatikan Ekin yang menemaninya ke majlis berkenaan.
Mawi turut ditanya tentang reaksi peminatnya selepas dia mengumumkan tarikh perkahwinannya baru-baru ini dan jelas Mawi, selepas pengumuman itu, dia tidak mempunyai sebarang masalah kerana semuanya dapat menerimanya dengan hati yang terbuka tentang jodohnya bersama Ekin.
“Semua yang datang kepada saya mengucapkan tahniah dan mendoakan yang terbaik untuk kami berdua. Tetapi, kalau mereka berkata yang bukan-bukan di belakang kami, tidak tahulah. Lagipun, saya tidak ambil pusing tentang apa yang diperkatakan tentang kami,” kata juara Akademi Fantasia musim ketiga ini penuh optimis.
Dalam pada itu, terdengar juga nada-nada sinis yang mengatakan bahawa pasangan merpati dua sejoli ini semakin galak menghadiri majlis keramaian berdua.
Bukan setakat itu, hadirnya mereka dengan berpakaian sedondon mengundang cebikan dan menimbulkan rasa tidak senang hati bagi sesetengah pihak.
Kata mereka, pasangan yang akan mendirikan rumah tangga ini mempunyai darah manis dan tidak elok seandainya sering dilihat berdua kerana bimbang sesuatu yang terjadi kepada mereka.
Baik Mawi dan Ekin, masing-masing mempunyai pandangan yang tersendiri dan apa yang berlaku sememangnya di luar jangkaan mereka.
“Kadang-kadang, kalau saya menghadiri majlis, saya hanya akan membawa Ekin seandainya dia tidak sibuk dan mempunyai kelapangan untuk menemani saya. Jadi, saya rasa tiada masalah untuk hal itu.
“Memang saya ada dengar tentang perihal darah manis ini. Tetapi, kami juga harus berjumpa hampir setiap hari untuk membincangkan tentang persiapan perkahwinan. Jadi, perkara itu tidak dapat dielakkan. Setakat ini, semuanya berjalan dengan lancar,” ujar Mawi yang cukup popular dengan lagu Aduh Saliha serta Angan dan Sedar ini.
Bagi Ekin pula, kehadirannya di samping kekasihnya dalam majlis keramaian adalah kerana jemputan yang diterimanya mengkehendaki dirinya hadir bersama Mawi.
“Apabila jemputan yang mahukan saya hadir bersama Mawi, tidak manis untuk saya tolak. Mahu atau tidak, saya berusaha memenuhi jemputan berkenaan.
“Selepas ini, saya akan pulang ke kampung untuk menyiapkan segala perihal perkahwinan kami. Kalau kami tidak jumpa pun, kami akan tetap berhubung menerusi telefon untuk membincangkan tentang perkahwinan kami,” kata Ekin lagi.
Buat masa ini, jelas mereka, apa yang begitu menggusarkan adalah persiapan dari segi hadiah untuk diberikan kepada tetamu dan juga senarai jemputan untuk tiga majlis mereka.
“Bukan apa. Bimbang juga nanti ada yang kecil hati seandainya mereka tidak dijemput terutama daripada kaum keluarga dan sanak-saudara. Hinggakan saya dan Ekin pening kepala memikirkan tentang jemputan ini,” kata Mawi berseloroh.
Untuk majlis persandingan Ekin yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Johor Bahru, dianggarkan seramai 1,200 orang akan hadir manakala untuk majlis di kampung Mawi seminggu selepas itu, jemputannya dikatakan seramai 6,000 orang.
Hanya jemputan terpilih sahaja yang akan menghadiri majlis resepsi mereka di Hotel Palace of the Golden Horses yang dianggarkan mampu memuatkan 1,500 orang tetamu.
Mengenai pemilihan Datuk Siti Nurhaliza dan Rossa yang dikatakan akan membuat persembahan pada majlis resepsi istimewa itu, Mawi menjelaskan, pihaknya belum bertemu dengan Siti untuk membincangkan perkara itu.
“Untuk Rossa pula, pihak saya ada cuba menghubunginya tetapi gagal. Apa pun, kami akan tetap mencuba,” jelas Mawi yang akan muncul dengan single terbarunya, Allah Habibi ciptaan Farihin Abdul Fatah dan Yassin tidak lama lagi.
Mengenai kursus perkahwinan mereka yang akan berlangsung pada 4 November ini di Masjid Putra, Putrajaya, Mawi memberitahu, dia tidak mempunyai sebarang masalah apabila ia akan dirakamkan kelak untuk tontonan umum sementelah ia disifatkan sebagai sesuatu yang peribadi.
“Waktu itu nanti, apa sahaja kemusykilan, saya akan bertanya. Saya tidak perlu risau kerana ia akan dirakamkan dan pastinya akan disunting sebelum ditayangkan,” jelasnya yang turut meluangkan masa membaca buku-buku tentang alam perkahwinan.
Sementara itu, Majlis Kemuncak Aidilfitri Bersama Bintang Akademi Fantasia yang diadakan di Dewan Toh Puan Rahah, Yayasan Tun Abdul Razak telah diadakan dengan cukup meriah sekali meskipun Syawal sudah melabuhkan tirainya.
Uniknya majlis ini, seramai 20 bintang AF yang telah diundang berpeluang mendekati dan beramah mesra dengan peminat yang telah membeli tempat yang berharga RM100 hingga RM400 seorang.
Setiap daripada bintang AF ini akan duduk di setiap meja bersama peminat mereka dan inilah masanya untuk mereka bertanyakan khabar serta perkembangan terbaru bintang AF pujaan mereka.
Antara bintang AF yang hadir adalah Mawi, Zahid, Mila, Stacy, Faizal, Toi, Saida, Farah, Nadia, Riz dan Alif.
Bukan sekadar itu, majlis ini juga sememangnya wajar dipuji kerana ia mampu merapatkan lagi hubungan antara artis dan peminat yang telah banyak menyokong mereka selama ini.
Majlis ini juga tidak ubah seperti sebuah majlis reunion bintang AF untuk mereka sama-sama menghiburkan para tetamu yang telah mengeluarkan belanja yang besar untuk menikmati persembahan mereka.
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL, Utusan 3 Nov 2008
0 ulasan:
Catat Ulasan