MEXICO CITY - OCTOBER 18:  Singers Avril Lavig...

Uji bakat program realiti terkenal terbitan Astro, Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) yang memulakan pencariannya hari ini mendapat sambutan hangat apabila dihadiri oleh lebih 1,000 peserta.

Sesi uji bakat pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil bermula pada pukul 9 pagi ini dibanjiri oleh mereka yang ingin menjadi bintang AF8 untuk menyusuri juara-juara sebelum ini iaitu Vince (AF1), Zahid (AF2), Mawi (AF3), Faizal (AF4), Mila (AF5), Stacy (AF6) dan Hafiz (AF7.

Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi berkata, sambutan hari ini membuktikan AF masih belum hilang taringnya kerana ia setanding dengan kehadiran pada uji bakat sebelum ini.

“Ia sekali gus menyangkal khabar angin yang mengatakan AF sudah tidak relevan kerana masih ramai yang suka menonton dan ingin menyertainya,” ujarnya ketika ditemui pada sesi uji bakat AF8 itu.

Beliau berkata, sesi uji bakat AF8 akan diteruskan pada keesokan hari di tempat yang sama sebelum menjelajah empat negeri lain iaitu Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Selepas Stadium Nasional Bukit Jalil, uji bakat seterusnya akan diadakan di The Zon, Johor Bahru (16 dan 17 Januari); Redbox Gurney, Plaza Gurney, Pulau Pinang (16 dan 17 Januari); Hotel Promenade, Kota Kinabalu, Sabah (22 hingga 24 Januari) dan Hotel Merdeka Palace, Kuching, Sarawak (23 dan 24 Januari).

Sesi itu akan kembali semula ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada 30 dan 31 Januari ini.

Masih lagi terbuka kepada mereka yang berusia antara 18 hingga 45 tahun, seperti tahun lalu, penyertaan diperluaskan lagi kepada mereka yang berasal dari Kota Singa.

Lagu-lagu yang disenaraikan untuk peserta wanita termasuklah Gagap (Stacy), Jika Kau Ubah Fikiran (Mila), Tak Mungkin Kerana Sayang (Alyah), Dan Sebenarnya (Yuna), Di Taman Teman (Datuk Siti Nurhaliza) dan sebuah lagu Inggeris, When You‘re Gone (Avril Lavigne).

Sementara lagu-lagu yang disenaraikan untuk peserta lelaki ialah Situasi yang dipopularkan oleh Bunkface, Hujan (Allahyarham Sudirman Haji Arshad), Ada Untukmu (Nubhan), Berdendang Dalam Tangisan (Jamal Abdillah), Fikirlah (Aizat) dan I’m Yours oleh Jason Mraz.

Peserta uji bakat juga diingatkan supaya menyediakan dua keping gambar berukuran 4R (gambar profil dan paras pinggang) serta salinan kad pengenalan.

Kaunter pendaftaran dibuka dari pukul 9 pagi hingga 1 petang.

Azlin turut mengingatkan agar peserta uji bakat melayari laman web www.astro.com.my/akademifantasia untuk maklumat lanjut mengenai uji bakat yang diadakan kerana ada yang masih datang walaupun tidak melepasi syarat.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top